Jangan Pandang Muzik Sebelah Mata! RIM Mahu Pelaburan Strategik

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menggesa kerajaan memperkukuh sokongan terhadap industri muzik tempatan menerusi Belanjawan 2027, termasuk meningkatkan pelaburan dalam pembangunan bakat, kandungan dan pasaran antarabangsa.
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, industri muzik bukan sekadar sektor hiburan, sebaliknya mempunyai potensi besar sebagai pemacu ekonomi kreatif, ekonomi digital serta pembangunan harta intelek (IP) negara.
Menurutnya, kajian Economic Impact Study of the Malaysian Music Industry oleh PwC bagi tempoh 2016 hingga 2020 menunjukkan industri muzik tempatan menjana purata RM19.4 bilion output ekonomi setahun, selain menyumbang RM531 juta kutipan cukai dan menyokong kira-kira 111,000 pekerjaan.
Prestasi industri turut mencatat perkembangan positif apabila pendapatan muzik Malaysia pada 2025 mencecah RM428.3 juta, meningkat 17.7 peratus berbanding RM352.4 juta pada 2024, dengan penstriman digital dan kutipan Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) menjadi antara pemacu utama.
“Industri muzik Malaysia terus berkembang pesat, khususnya menerusi pertumbuhan muzik digital dan peningkatan nilai harta intelek muzik.
“Kami percaya dengan sokongan strategik kerajaan, industri ini mampu menyumbang lebih besar kepada ekonomi negara, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan menghasilkan kandungan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sehubungan itu, RIM mencadangkan penubuhan Dana Eksport Muzik Malaysia bagi membantu artis dan syarikat muzik tempatan menyertai acara muzik antarabangsa, promosi luar negara, pemasaran digital serta kolaborasi global.
RIM turut menggesa kerajaan memperkenalkan Potongan Cukai Berganda bagi perbelanjaan syarikat rakaman dalam latihan dan pembangunan bakat serta aktiviti penerbitan muzik.
Menerusi cadangan itu, syarikat rakaman yang layak boleh menuntut potongan cukai sehingga 200 peratus daripada perbelanjaan yang ditetapkan, tertakluk kepada syarat kerajaan.
“Insentif ini mampu menggalakkan lebih banyak pelaburan sektor swasta dalam pembangunan bakat, sekali gus memberi artis latihan dan sokongan profesional untuk membina kerjaya yang mampan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, RIM menyambut baik cadangan penubuhan Hari Muzik Negara sebagai sambutan tahunan bagi meraikan kepelbagaian muzik tempatan merangkumi pelbagai genre, bahasa, generasi dan wilayah.
RIM turut menggesa kerajaan memperkukuh perlindungan hak cipta dalam era kecerdasan buatan (AI), termasuk memastikan karya muzik berhak cipta tidak digunakan bagi tujuan pembangunan AI komersial tanpa kebenaran pemegang hak.
Selain itu, RIM mencadangkan tempoh perlindungan hak cipta rakaman bunyi dipanjangkan daripada 50 kepada 70 tahun bagi mengukuhkan perlindungan harta intelek dan menggalakkan pelaburan berterusan dalam industri muzik.
“Malaysia mempunyai peluang membina industri muzik yang bukan sahaja menghiburkan rakyat, tetapi turut mewujudkan pekerjaan, menjana nilai ekonomi, membangunkan harta intelek serta membawa budaya dan kreativiti Malaysia ke seluruh dunia.
“Pelaburan strategik kerajaan hari ini mampu membantu kita membina industri muzik Malaysia yang lebih kukuh dan berdaya saing untuk masa hadapan,” katanya.
