14,000 Jiwa Larut Bersama WALI BAND

Najwa Latif bukan sekadar pemanas pentas, sebaliknya menghidupkan nostalgia sebelum WALI BAND membawa Johor Bahru hanyut dalam lautan muzik, doa dan kenangan
Ada sesuatu yang istimewa apabila sebuah lagu mampu membuatkan ribuan manusia daripada latar berbeza menyanyi pada nada yang sama. Buktinya Educity Sports Complex, Johor Bahru, menjadi saksi kepada momen itu apabila lebih 14,000 penonton berkumpul untuk meraikan muzik, nostalgia dan kebersamaan menerusi Konsert WALI BAND Live in JB yang telah berlangsung pada 3 Oktober lalu.
Bukan sekadar sebuah persembahan muzik, konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dan Infinity Love Creative Ventures itu seakan menjadi sebuah pertemuan budaya yang merentasi sempadan Malaysia dan Indonesia.
Peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia hadir bersama-sama, menjadikan Johor Bahru seolah-olah sebuah persinggahan besar bagi mereka yang mahu kembali merasai lagu-lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup.
Lebih menarik, sekitar 70 peratus daripada keseluruhan penonton terdiri daripada Bangsa Johor. Angka itu bukan sekadar statistik. Ia mencerminkan bagaimana muzik Indonesia, khususnya WALI BAND, sudah lama mempunyai ruang tersendiri dalam jiwa peminat Johor.

Namun sebelum pentas menjadi milik WALI BAND, seorang anak kelahiran Batu Pahat terlebih dahulu menghidupkan suasana. Najwa Latif hadir bukan sekadar sebagai pembuka tirai tetapi beliau hadir membawa nostalgia.
Sudah agak lama Najwa tidak berdiri di hadapan ribuan penonton dalam suasana konsert berskala besar. Kini lebih banyak memberi tumpuan kepada kerjaya sebagai pensyarah di sebuah universiti tempatan, kemunculan penyanyi itu di Johor Bahru seakan mengingatkan kembali bahawa ada suara yang tidak pernah benar-benar meninggalkan pendengarnya.
Malah, meskipun tidak lagi seaktif dahulu dalam dunia nyanyian dan tanpa gitar yang selama ini menjadi antara trademarknya, Najwa tetap kelihatan selesa menguasai pentas.

Suara lunaknya masih mempunyai identiti tersendiri. Najwa membuka persembahan menerusi AdaMu, sebelum membawa penonton menyelusuri kembali perjalanan muziknya melalui Carta Hati, Satu Hari Nanti, Kosong dan Sahabat.
Setiap lagu seolah-olah membuka satu halaman lama dalam album kenangan penonton. Lebih intim apabila Najwa menyampaikan Untuk Dia tanpa iringan muzik. Dalam suasana yang tiba-tiba menjadi sunyi itu, Najwa seakan mengajak penonton menguji kembali ingatan terhadap lagu yang pernah dipersembahkannya bersama kumpulan Singapura, Sleeq.
Kemuncaknya hadir menerusi Cinta Muka Buku. Lagu yang pernah menjadi fenomena dan memperkenalkan nama Najwa kepada khalayak luas itu ternyata masih mempunyai kuasa yang sama.

Ribuan penonton menyanyi bersamanya, bukan sekadar menyanyi, tetapi seolah-olah mengembalikan Najwa kepada satu zaman ketika lagu itu begitu dekat dengan kehidupan generasi muda. Wajah Najwa turut kelihatan tersentuh dengan sambutan diterima.
Pada ketika itu, jelas bahawa nostalgia bukan sekadar tentang mengingati masa lalu. Nostalgia ialah apabila sesuatu yang pernah kita cintai masih mampu membuatkan hati bergetar apabila ia kembali hadir.
Malah, ada penonton yang melaungkan harapan agar Najwa kembali mengadakan konsert solo. Sebagai anak kelahiran Batu Pahat, persembahan itu tentunya mempunyai makna tersendiri buat Najwa. Dia bukan sekadar pulang ke pentas tetapi pulang kepada khalayak yang pernah membesar bersama lagu-lagunya.
Jika Najwa membuka pintu nostalgia, WALI BAND pula mengheret 14,000 penonton masuk ke dalam dunia mereka. Kemunculan Faank, Apoy, Tomi dan Ovie disambut sorakan yang menggoncang ruang Educity Sports Complex.

Tanpa perlu menunggu lama, Cari Berkah membuka persembahan. Ia disusuli Si Udin Bertanya, Kekasih Halal dan Nenekku Pahlawanku. Empat lagu itu cukup untuk membuatkan penonton bangun, bergoyang dan menyanyi bersama.
Namun WALI BAND tidak sekadar datang untuk menyanyikan lagu. Mereka datang untuk berkomunikasi. Faank beberapa kali berinteraksi dengan penonton, mencipta suasana santai dan dekat, seolah-olah ribuan manusia di hadapannya bukan sekadar penonton tetapi sahabat lama yang baru ditemui semula.
Mereka turut berkongsi cerita tentang makanan yang sempat dinikmati sepanjang berada di Johor, termasuk Nasi Lemak Lobster yang cukup popular dalam kalangan pengunjung dari Singapura dan Indonesia.
Persembahan kemudian bergerak pantas menerusi Emang Dasar, Abatasa dan Ada Gajah Di Balik Batu. Namun di sebalik muzik yang rancak, WALI BAND tetap membawa satu sisi yang menjadi identiti mereka sejak dahulu iaitu unsur religi.

Salah satu kekuatan WALI BAND ialah kemampuan mereka menggabungkan hiburan dengan mesej kehidupan. Pada malam itu, mereka mengambil sedikit ruang untuk menitipkan doa dan harapan buat penonton.
Daripada golongan pelajar hingga mereka yang sudah bekerja, daripada yang masih bujang kepada yang sudah berumah tangga, termasuk mereka yang sedang melalui ujian kesihatan dan kehidupan, WALI BAND mendoakan agar semuanya diberikan rezeki, kesihatan, keberkatan dan keampunan.
Potongan ayat suci al-Quran termasuk Surah al-Fatihah turut dibacakan. Untuk beberapa ketika, ruang konsert yang sebelumnya dipenuhi sorakan berubah menjadi lebih tenang. Ia mengingatkan bahawa persembahan WALI BAND bukan hanya tentang bergoyang dan menyanyi.
Ada ruang untuk berhenti seketika, ada ruang untuk mengingati Tuhan dan ada ruang untuk melihat kembali diri sendiri. Faank tetap menyelitkan gurauan ringan sehingga suasana tidak menjadi terlalu berat. Keseimbangan antara hiburan dan mesej itulah yang menjadikan persembahan WALI BAND mempunyai warna tersendiri.

Segmen akustik kemudian memberikan perubahan suasana. Doa Untukmu Sayang dipersembahkan dengan lebih santai sebelum Baik-Baik Sayang mengambil tempat. Pada bahagian korus, muzik dihentikan seketika, penonton mengambil alih lantas 14,000 suara bergabung menjadi satu.
Kemudian hadir Harga Diriku, petikan gitar Apoy menjadi latar kepada pesanan Faank yang cukup dekat dengan peminat “Kalian adalah harga diri Wali.” Ia bukan sekadar kata-kata di atas pentas.
Ia seolah-olah menjadi penghargaan kepada peminat yang terus berdiri bersama WALI BAND selepas bertahun-tahun.
Satu kejutan kemudian mengubah persembahan menjadi lebih istimewa. Ketika WALI BAND menyampaikan Yank, Najwa Latif kembali muncul di pentas. Difahamkan kemunculan itu berlaku secara spontan tanpa latihan terlebih dahulu.

Namun ada kalanya sesuatu yang tidak dirancang menghasilkan momen paling jujur. Vokal Najwa yang lembut bergandingan dengan suara Faank, menghasilkan sebuah duet yang sederhana tetapi cukup manis.
Pertemuan dua nama daripada era muzik yang hampir sama itu seolah-olah membawa penonton kembali kepada satu zaman ketika lagu-lagu mereka mula mengisi radio, telefon bimbit, laman sosial dan kehidupan anak muda.
Najwa dan WALI BAND mungkin datang dari dua negara berbeza, tetapi muzik menemukan mereka pada satu titik yang sama. Malam itu, sempadan Malaysia-Indonesia seakan hilang di antara bait lagu.
Selepas suasana akustik, WALI BAND kembali menghidupkan pentas. Tobat Maksiat menjadi antara persembahan yang paling mencuri perhatian apabila permainan dram Tomi digabungkan dengan pencahayaan pentas yang bergerak mengikut hentakan muzik.

Bunyi dan cahaya berpadu menghasilkan tenaga visual yang kuat namun di sebalik persembahan yang rancak, mesej lagu itu tetap jelas iaitu mengajak manusia bermuhasabah, kembali bertaubat dan mengingati kematian.
Itulah keunikan WALI BAND, mereka mampu membuatkan penonton menari pada satu ketika, kemudian mengajak mereka berfikir pada detik berikutnya.
Dan akhirnya, tiba lagu yang seolah-olah menjadi ritual wajib setiap kali WALI BAND bertemu peminat iaitu Cari Jodoh. Sebaik intro dimainkan, ruang Educity Sports Complex kembali bergema.
Ada yang datang bersama pasangan, ada yang hadir bersama keluarga, sahabat dan mungkin juga mereka yang berharap lagu itu suatu hari nanti menjadi sebahagian daripada kisah cinta sendiri.
Di luar kekuatan persembahan WALI BAND dan nostalgia Najwa Latif, konsert itu turut membawa satu mesej yang lebih besar. Pengenalan Zapin dan Kain Benang Johor sebelum acara utama memberikan ruang kepada identiti budaya tempatan untuk berdiri bersama hiburan moden.

Ia memperlihatkan bagaimana sebuah konsert boleh menjadi lebih daripada sekadar pentas muzik. Ia boleh menjadi jendela untuk memperkenalkan budaya kepada tetamu dari luar negeri dan luar negara.
Dengan kehadiran peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia, acara sebegini turut mempunyai potensi besar dalam menggerakkan ekonomi setempat daripada hotel dan restoran hinggalah pengangkutan serta perniagaan kecil.
Konsert berkenaan turut dihadiri YB Datuk Haji Pandak bin Ahmad, ADUN Iskandar Puteri dan Pengarah Tourism Johor, Encik Mohammad Nazrul bin Abd Rahim.
