September 30, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

AKAR//NEXT 2026 Satukan Warisan, Muzik dan Kreativiti Nusantara

Spread the love

Tiga Hari Central Market Berdenyut Dengan Muzik, Seni, Fesyen Dan Kreativiti Generasi Baharu

Jika akar adalah nadi yang menghidupkan sebatang pohon, AKAR//NEXT 2026 pula mahu membuktikan warisan Nusantara bukan sekadar tinggalan masa lalu, sebaliknya boleh terus tumbuh, bercabang dan berbunga dalam wajah baharu.

Bakal berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November ini di Central Market, Kuala Lumpur, festival budaya kontemporari anjuran Goodseed Event itu menghimpunkan warisan, muzik dan kreativiti Nusantara dalam satu perayaan yang merentasi generasi.

Membawa tema “One Root. Infinite Futures.”, AKAR//NEXT 2026 bukan sekadar pesta muzik atau ruang jualan, sebaliknya sebuah pengalaman budaya yang menyatukan muzik, seni, fesyen, makanan, produk kreatif, aktiviti komuniti dan teknologi digital.

Di sinilah denyut tradisi bertemu denyut masa kini dengan warisan menjadi akar, kreativiti menjadi cabang dan generasi baharu pula diberikan ruang untuk menentukan ke mana pohon budaya itu bakal tumbuh.

Ketua Pegawai Eksekutif Goodseed Event, Hilli Fahmi berkata, AKAR//NEXT diwujudkan bagi membawa budaya ke satu ruang yang lebih segar, terbuka dan relevan dengan generasi hari ini.

“AKAR//NEXT lahir daripada idea untuk membawa akar budaya kita ke satu ruang yang lebih segar, terbuka dan relevan dengan generasi hari ini.  Kami mahu menunjukkan bahawa budaya bukan sesuatu yang statik atau hanya untuk dikenang, tetapi boleh terus berkembang melalui muzik, seni, fesyen, kreativiti dan teknologi.

“Melalui tema ‘One Root. Infinite Futures.’, kami melihat satu akar sebagai permulaan kepada pelbagai kemungkinan. AKAR//NEXT adalah ruang untuk kita meraikan apa yang telah membentuk kita, sambil memberi peluang kepada generasi baharu untuk mencipta apa yang akan datang seterusnya,” katanya ketika di temui media di Pasar Seni Kuala Lumpur pada 30 September lalu.

Lebih istimewa, AKAR//NEXT merupakan festival terbesar yang pernah dianjurkan Goodseed Event, sekali gus mencerminkan keberanian penganjur membawa konsep festival budaya ke skala lebih besar.

Tidak hanya menyusun persembahan di atas pentas, Goodseed Event mahu setiap sudut festival mempunyai cerita untuk diterokai.

Daripada makanan dan minuman, produk tempatan, kraftangan serta fesyen hingga karya seni, bengkel, aktiviti kreatif dan pengalaman digital, pengunjung bakal disajikan perjalanan budaya yang berubah mengikut waktu.

Antara pengisian yang bakal menghidupkan AKAR//NEXT termasuk persembahan kebudayaan, persembahan muzik, DJ, muzik elektronik, persembahan secara langsung serta kolaborasi antara muzik tradisional dan moden.

Elemen seni dan budaya turut diberi ruang menerusi tekstil, warisan, penceritaan, seni visual dan instalasi yang menawarkan perspektif berbeza terhadap khazanah Nusantara.

Ruang pasaran kreatif pula bakal menghimpunkan pengusaha serta jenama tempatan menerusi fesyen, gaya hidup, kraftangan, aksesori, barangan koleksi dan pelbagai produk kreatif.  Pendek kata, AKAR//NEXT tidak mahu pengunjung sekadar menjadi penonton.

Mereka diajak menyentuh, merasa, meneroka, mencuba dan berinteraksi dengan setiap elemen yang tersedia.

Ketua Pegawai Operasi Goodseed Event, Syarafina Shaffi berkata, pengalaman pengunjung menjadi antara keutamaan dalam perancangan festival berkenaan.

“Kami mahu pengunjung datang ke AKAR//NEXT bukan sekadar untuk melihat satu persembahan atau membeli sesuatu, tetapi untuk meluangkan masa dan menikmati keseluruhan pengalaman yang kami sediakan.

“Sebab itu program kami disusun dari siang hingga malam dengan suasana yang berbeza. Pengunjung boleh datang bersama keluarga pada waktu siang, meneroka marketplace, menyertai aktiviti dan menikmati makanan, sebelum menikmati persembahan muzik dan pengalaman yang lebih bertenaga pada sebelah malam.  Kami mahu setiap ruang dan aktiviti mempunyai sesuatu untuk diterokai,” katanya.

Konsep festival yang bergerak mengikut waktu itu membolehkan AKAR//NEXT merangkul pelbagai kelompok pengunjung.

Pada siang hari, Central Market bakal menjadi ruang santai buat keluarga dan pelancong untuk menikmati makanan, meneroka pasaran kreatif, menyertai bengkel serta menghayati karya seni. Apabila malam menjengah, nadinya berubah.  Muzik, persembahan secara langsung, muzik elektronik, visual dan cahaya bakal mengubah suasana menjadi lebih dinamik untuk generasi muda, peminat muzik dan komuniti kreatif.

Dalam masa sama, AKAR//NEXT membuka ruang lebih luas kepada artis, pemuzik, DJ, pereka, pengusaha kraf, usahawan, pencipta kandungan dan komuniti kreatif tempatan untuk memperkenalkan karya masing-masing.

Program pembelajaran kreatif seperti bengkel dan sesi perkongsian turut memberi peluang kepada pengunjung mendekati pencipta serta penggiat industri.

Elemen digital pula diserap ke dalam pengalaman festival menerusi kandungan dalam talian, aktiviti berasaskan kod QR, penglibatan media sosial dan pengalaman interaktif yang menghubungkan ruang fizikal dengan dunia digital.

Walaupun berlangsung hanya tiga hari, cita-cita Goodseed Event terhadap AKAR//NEXT jauh lebih panjang.  Festival itu dibangunkan dengan aspirasi untuk berkembang menjadi sebuah platform tahunan yang mempertemukan budaya, kreativiti, komuniti dan ekonomi kreatif Nusantara.

Atas sebab itu, ruang kerjasama turut dibuka kepada jenama, syarikat, agensi kerajaan, organisasi kebudayaan, media, pencipta kandungan, usahawan, artis serta komuniti kreatif.

Kerjasama yang diterokai merangkumi tajaan dan pengaktifan jenama, kerjasama strategik, media dan kandungan, penyertaan vendor serta jenama kreatif, penglibatan artis dan komuniti budaya selain kerjasama produk dan perkhidmatan.

Penganjuran AKAR//NEXT 2026 turut mendapat sokongan Hotlink selaku Rakan Telco Eksklusif, Commerce Dot Com (Rakan Strategik CSR), JBS Solution (Rakan Produksi Persembahan), Temerloh Catering (Rakan Katering Rasmi), Jom Printing (Rakan Kelengkapan Kru) dan Pasar Seni (Rakan Lokasi Rasmi).

Pemilihan Central Market atau Pasar Seni sebagai lokasi rasmi pula seakan melengkapkan cerita festival berkenaan.

Lokasi yang sinonim dengan denyut budaya dan sejarah Kuala Lumpur itu bakal menjadi titik temu antara khazanah yang diwarisi dengan cara baharu untuk generasi masa kini menikmatinya.

AKAR//NEXT 2026 akhirnya membawa satu gagasan mudah tetapi besar maknanya dimana budaya tidak seharusnya terperangkap dalam bingkai masa lalu.  Sebaliknya, akar yang kukuh mampu melahirkan cabang baharu, mencetuskan kreativiti dan membuka jalan kepada masa depan yang lebih luas.

Itulah denyut AKAR//NEXT 2026  meraikan akar yang membentuk kita, sambil membuka ruang untuk generasi seterusnya mencipta cerita mereka sendiri.

AKAR//NEXT 2026 berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November 2026 di Central Market, Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi Instagram @goodseed_event, TikTok @goodseed.event, Threads @goodseed_event dan Facebook Goodseed Event. Festival AKAR//NEXT pula boleh diikuti menerusi Instagram dan TikTok @akarnext.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page