October 1, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

‘Garah’ Bukan Sekadar Gurau, Hael-Mimi Bongkar Rahsia Hati

Spread the love

Di sebalik judulnya yang kedengaran ringan dan mengundang senyum, Garah sebenarnya menyimpan cerita tentang pencarian hati, perasaan yang tersembunyi dan jawapan yang mungkin selama ini berada paling dekat dengan diri.

Lebih menarik, rahsia itu kini dibongkar menerusi pertemuan dua nama besar industri muzik tempatan, Hael Husaini dan Mimi Fly, yang buat julung kalinya bergabung dalam sebuah lagu.

Diterbitkan Rocketfuel Entertainment, Garah hadir dengan acuan pop moden yang berani mencantumkan elemen muzik Nusantara bersama pop-rock dan hip-hop, menghasilkan bunyi bertenaga, dramatik selain sarat warna tempatan.

Namun, kekuatan Garah bukan hanya terletak pada eksperimentasi muzik, sebaliknya pada persoalan yang ditinggalkan kepada pendengar menerusi liriknya.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, ‘garah’ membawa maksud senda gurau atau lawak jenaka, namun karya berkenaan mengambil pendekatan berbeza apabila di sebalik judul bersahaja itu terselit kisah pencarian sesuatu yang sukar ditemukan.

Ungkapan “Cintersembunyi, di dalam dada” seolah-olah menjadi petunjuk bahawa apa yang dicari mungkin tidak pernah benar-benar hilang, sebaliknya tersimpan kemas di dalam hati.

Persoalan mengenai ke mana harus dibawa hati pula menghidupkan rasa resah, ingin tahu dan pencarian yang menjadi roh utama lagu berkenaan.

Bagi Hael, kolaborasi dengan Mimi membuka ruang untuknya menyelusuri warna muzik yang berbeza.

“Saya anggap kolaborasi dengan Mimi memang sesuatu yang sudah lama ditunggu kerana ini julung-julung kali kami bergabung dalam sebuah lagu.

“Garah mempunyai warna tersendiri dan kami mahu hasilkan sesuatu yang segar, tetapi pada masa sama masih mempunyai rasa tempatan. Gabungan pop, rock dan hip-hop memberikan lagu ini tenaga yang berbeza, manakala liriknya pula mempunyai sisi yang lebih mendalam.

“Saya harap pendengar dapat menikmati Garah bukan sahaja melalui muzik, tetapi juga cerita yang cuba kami sampaikan,” katanya.

Bagi Mimi pula, Garah menjadi medan untuknya bereksperimen dengan pendekatan yang lebih bebas apabila idea dan karakter muziknya disatukan bersama Hael serta komposer Iqie Hugh.

“Saya sangat teruja kerana sekian kalinya dapat bekerjasama dengan Hael dalam sebuah lagu.  Kami datang dengan karakter dan juga cara kerja yang berbeza, jadi proses penghasilan Garah memang menyeronokkan.

“Saya juga turut terlibat dalam penciptaan lagu ini dan kami cuba mencari keseimbangan antara elemen moden dengan bunyi yang dekat dengan identiti kita.

“Saya rasa pendengar akan dapat merasakan sesuatu yang berbeza apabila mendengar lagu ini,” katanya.

Pertemuan tiga kreativiti itu menjadi antara kekuatan utama Garah apabila Hael, Mimi dan Iqie Hugh berganding bahu dalam proses penciptaan bagi membentuk karya yang mempunyai identiti tersendiri.

Sentuhan Nusantara pula memberikan denyut tempatan, manakala pop-rock dan hip-hop menyuntik tenaga kontemporari, sekali gus menjadikan Garah sebuah karya yang bergerak antara nostalgia bunyi serantau dan keberanian muzik moden.

Jika lagu membawa pendengar menyelami persoalan hati, video muzik (MV) Garah pula membawa Hael menyelusuri sebuah dunia yang jauh lebih gelap dan misteri.

Berlatarbelakangkan Hauntu Malaysia @ The Linc KL, yang dikenali sebagai pengalaman teater imersif bertemakan seram pertama di Malaysia, MV berkenaan memperlihatkan Hael tiba di sebuah hotel lama dan usang.

Sebaik loceng kaunter dibunyikan, kemunculan lembaga misteri memaksanya melarikan diri. Namun, setiap usaha untuk mencari jalan keluar seakan-akan membawa Hael semakin jauh ke dalam perangkap penuh gangguan dan ketakutan.

Keadaan bertambah ngeri apabila dia ditangkap lembaga wanita sebelum dikenakan sumpahan.  Dalam usaha mencari jawapan, Hael kemudian menemukan sebuah buku daftar tetamu lama yang menyimpan petunjuk mengenai misteri hotel berkenaan.

Lebih mengejutkan, penemuan pada halaman terakhir buku itu seolah-olah membuka satu rahsia yang mengubah keseluruhan perjalanan ceritanya. Tanpa mendedahkan penghujung kisah, MV Garah menjanjikan transformasi daripada seorang mangsa yang diburu ketakutan kepada sesuatu yang langsung tidak dijangka.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam, berkata kolaborasi Hael dan Mimi memberi ruang kepada kedua-dua artis berkenaan meneroka sisi baharu dalam penghasilan karya.

“Apabila dua artis dengan karakter yang kuat seperti Hael dan Mimi digabungkan, kami mahu memastikan hasilnya mempunyai identiti yang istimewa.

“Garah memberi mereka ruang untuk bereksperimen, bukan sahaja dari segi muzik tetapi juga melalui dunia visual yang dibina untuk video muziknya.

“Kami percaya gabungan bunyi, tenaga dan elemen misteri ini akan memberikan pengalaman yang berbeza kepada pendengar dan penonton,” katanya.

Single Garah mula dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 25 September 2026, manakala MV rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Rocketfuel Entertainment.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page