September 25, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

MHLife 2026 Angkat Cita Rasa, Budaya dan Gaya Hidup Malaysia

Spread the love

Sasar 300,000 pengunjung, 250 pempamer serta 16 pavilion bakal hidupkan Shah Alam menerusi tiga hari pesta mesra Muslim

Bukan sekadar pesta makanan atau bazar halal, Malaysia Halal Lifestyle Festival (MHLife) 2026 tampil dengan misi lebih besar apabila menghimpunkan cita rasa, budaya, warisan dan gaya hidup Malaysia dalam satu pentas.

Berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober 2026 di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam, Selangor, festival sulung itu menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung serta penyertaan 250 pempamer sepanjang tiga hari penganjuran.

MHLife 2026 yang diperkenalkan sebagai festival gaya hidup dan pelancongan mesra Muslim premier negara membawa tema Rasa, Gaya, Warisan, selain mengangkat konsep Taste Malaysia, Wear Malaysia, Experience Malaysia.

Konsep berkenaan jelas mahu menjadikan festival ini sebagai gambaran lebih luas mengenai identiti Malaysia, daripada makanan dan fesyen sopan hinggalah seni, budaya, kraftangan, warisan, pelancongan dan hiburan.

Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata, MHLife 2026 direka untuk menawarkan pengalaman interaktif yang melangkaui konsep bazar tradisional.

“Pelancongan mesra Muslim bukan hanya tertumpu kepada satu produk atau perkhidmatan, tetapi merangkumi keseluruhan pengalaman pelancong sepanjang berada di sesuatu destinasi.

“Ini termasuk makanan yang dinikmati, tempat penginapan, destinasi yang dilawati, barangan yang dibeli, pengalaman baharu yang diterokai dan interaksi dengan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran MHLife 2026 di Istana Budaya, Kuala Lumpur, 24 September lalu, yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa.

Bagi merealisasikan konsep berkenaan, MHLife 2026 bakal menampilkan 16 pavilion yang mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, sekali gus memberi ruang kepada pengunjung meneroka kepelbagaian produk, makanan, budaya dan pengalaman dari seluruh negara.

Lebih menarik, elemen warisan turut diberi penekanan apabila persembahan Makyung, seni tradisional yang diiktiraf UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan, menjadi antara tarikan utama festival.

Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti membabitkan makanan dan minuman, fesyen sopan, kecantikan dan kesejahteraan, kraftangan, beli-belah, aktiviti keluarga, pertandingan serta hiburan secara langsung.

Antara acara yang dijangka menjadi perhatian ialah Harmony Night Concert yang menampilkan penghibur tempatan menerusi gabungan persembahan kontemporari dan tradisional.

Berdasarkan maklumat rasmi MHLife 2026, festival itu turut menyediakan elemen seperti Halal Food Village, Modest Fashion Runway, Heritage Games Arena, Nasyid & Islamic Arts serta ruang pengalaman pelancongan dan gaya hidup mesra Muslim.

Dalam masa sama, penganjuran MHLife 2026 hadir ketika Malaysia sedang memperkukuh sektor pelancongan menerusi Visit Malaysia 2026.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Chua Choon Hwa berkata, Malaysia merekodkan 9.7 juta pelancong Muslim pada 2025, jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan, dan angka itu dijangka meningkat kepada 15 juta menjelang 2030.

Katanya, perkembangan berkenaan membuka ruang kepada Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran pelancongan Muslim, selain memberi manfaat kepada pemain industri, komuniti tempatan dan ekonomi negara.

Selain mengetengahkan produk dan pengalaman tempatan, MHLife 2026 turut membawa manfaat berpanjangan kepada pemain industri.

Semua vendor yang menyertai festival akan disenaraikan secara automatik dalam Direktori Pelancongan Mesra Muslim rasmi ITC, membolehkan perniagaan mereka terus ditemui pengguna dan pelancong walaupun festival sudah berakhir.

Pada majlis sama, ITC turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysian Association of Hotels (MAH) bagi meningkatkan pengiktirafan dan nilai pasaran pelancongan mesra Muslim, selain memperkukuh keupayaan industri melalui latihan serta promosi bersama.

Dengan kemasukan percuma, MHLife 2026 bakal berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam sepanjang tiga hari penganjuran.

Bagi pengunjung, ia bukan sekadar peluang mencari makanan atau membeli-belah, sebaliknya ruang untuk menyelami semula kepelbagaian Malaysia menerusi satu pengalaman yang menggabungkan rasa, gaya dan warisan dalam satu lokasi.

Maklumat lanjut mengenai program, vendor, persembahan dan aktiviti boleh didapati menerusi laman rasmi MHLife 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page