NABILA RAZALI LEBIH BERANI BERKARYA, TAMPIL SEBAGAI PENCIPTA LAGU DAN PENULIS LIRIK MENERUSI “CUKUP SAMPAI SINI”

Bukan sekadar kisah perpisahan, karya terbaharu Nabila mengangkat mesej lagu tentang mengenali nilai diri, menetapkan batas dan keberanian untuk memilih diri sendiri
Selepas melalui pelbagai fasa dalam perjalanan seninya, Nabila Razali membuka lembaran baharu dalam kerjaya muziknya menerusi single terbaharu, Cukup Sampai Sini (CSS), sebuah karya yang mengangkat tema mengenali nilai diri, menetapkan batas dan keberanian untuk memilih diri sendiri.
Lebih istimewa, Cukup Sampai Sini turut menandakan perkembangan penting dalam perjalanan kreatif Nabila apabila beliau tampil sebagai pencipta lagu bersama Justin Seow Seng Tack, selain menjadi penulis lirik sepenuhnya untuk karya ini.
Penglibatan secara langsung dalam proses penciptaan memberi ruang kepada Nabila untuk menyampaikan emosi dan pandangan yang ingin dibawa menerusi lagu ini, daripada idea awal sehingga pembentukan melodi, karakter muzik dan lirik.
Bagi Nabila, pengalaman tersebut cukup bermakna kerana ia merupakan kali pertama beliau menghasilkan lagu sendiri. Bersama Justin Seow Seng Tack, mereka banyak berbincang bagi memastikan bunyi dan karakter lagu bersesuaian dengan identiti Nabila, di samping menghasilkan lirik yang mudah difahami dan dekat dengan kehidupan pendengar.

“Ini merupakan kali pertama saya menulis lagu sendiri dan pengalaman itu sangat menarik untuk saya. Bila saya dapat idea, saya teruskan proses ini bersama Justin Seow Seng Tack. Kami banyak berbincang tentang apa yang sesuai dari segi bunyi dan karakter lagu.
“Saya memang nak lagu ini kuat dari segi mesej, tetapi pada masa yang sama saya tak mahu ia terlalu berat. Dari segi muzik, saya rasa macam kembali kepada era lagu-lagu seperti ‘Vroom Vroom’ dan ‘Pematah Hati’, sebab saya juga banyak menerima permintaan daripada pendengar yang mahukan saya tampil dengan genre seperti ini semula.

“Jadi, kami cuba hasilkan sesuatu yang menyeronokkan dan mudah diterima. Cabarannya adalah bagaimana untuk menghasilkan bunyi yang mudah melekat di telinga, lirik yang senang difahami dan pada masa yang sama dekat dengan kehidupan serta perasaan anak-anak muda.
“Saya mahu bila mereka dengar lagu ini, mereka bukan sahaja boleh menikmati muziknya, tetapi juga rasa macam, ‘Eh, ini macam cerita saya,’” jelas Nabila.
BUKAN SEKADAR LAGU PUTUS CINTA
Walaupun Cukup Sampai Sini berkisar tentang seseorang yang akhirnya memilih untuk berhenti daripada sebuah hubungan yang dipenuhi alasan, drama dan kekecewaan, mesej lagu ini sebenarnya lebih luas daripada sekadar perpisahan.
Nabila melihatnya sebagai satu titik kesedaran apabila seseorang menyedari bahawa terlalu banyak memberi peluang dan terlalu lama cuba memahami orang lain boleh menyebabkan diri sendiri terlupa untuk dihargai. Perasaan sedemikian juga boleh berlaku dalam persahabatan, pekerjaan dan pelbagai bentuk hubungan dalam kehidupan.

“Kita semua pernah sampai satu tahap dalam hidup di mana kita terlalu banyak memberi peluang, terlalu banyak cuba untuk faham orang sampai terlupa menghargai diri sendiri.
“Cukup Sampai Sini bagi saya adalah tentang satu momen apabila kita sedar bahawa sudah cukup. Ada masanya, kita perlu berani untuk berkata, ‘it’s enough’ dan memilih untuk melangkah pergi.
“Kadang-kadang kita perlu tahu bila masanya untuk berhenti. Bukan kerana kita membenci seseorang, mengalah atau mahu membalas dendam, tetapi kerana kita sedar bahawa kita juga mempunyai had,” luahnya.
DARIPADA KECEWA KEPADA KEKUATAN
Dari segi muzik, Cukup Sampai Sini diterbitkan dan disusunJustin Seow Seng Teck yang turut bertindak sebagai produser muzik. Walaupun membawa tema kekecewaan dalam hubungan, Nabila tidak mahu lagu ini hadir dengan bunyi yang terlalu sedih atau sarat dengan kesedihan.
Sebaliknya, lagu ini membawa pendengar daripada rasa kecewa kepada kekuatan untuk bangkit dan meneruskan kehidupan, menerusi pendekatan muzik yang lebih ringan dan bertenaga.
“Bila kita dengar lagu tentang kecewa, selalunya kita bayangkan sesuatu yang sangat sedih dan galau. Tapi untuk lagu ini, saya tak mahu ia jadi begitu. Saya nak bawa perasaan kecewa itu kepada sesuatu yang lebih positif — bagaimana kita boleh bangkit, kuatkan diri dan terus bergerak ke depan.

“Saya sangat suka cara Justin menghasilkan muzik untuk lagu ini sebab dia berjaya beri karakter yang lebih ringan dan bertenaga, tanpa menghilangkan emosi dan mesej yang saya mahu sampaikan,” jelas Nabila lagi.
Pendekatan tersebut turut diterjemahkan menerusi bahagian “NO MORE, NO MORE”, yang menjadi antara pernyataan paling tegas dalam lagu ini, sekali gus memperkukuhkan mesej yang ingin disampaikan Nabila.
Bagi Nabila, bahagian tersebut menggambarkan keberanian untuk berhenti memberikan ruang kepada alasan dan drama yang berulang.
“Kadang-kadang kita takut nak cakap ‘no’ dan terlalu jadi yes man. Saya suka bila bahagian itu dinyanyi ramai-ramai sebab ia macam satu manifest — no more excuses, no more drama, no more bagi peluang,” luahnya.
NABILA KINI LEBIH BERANI MENENTUKAN ARAH SENI SENDIRI
Perkembangan sebagai pencipta lagu dan penulis lirik turut hadir seiring dengan perubahan Nabila dalam mengenali dirinya sebagai seorang artis.
Menurutnya, jika dahulu beliau lebih memikirkan pandangan dan jangkaan orang lain, kini beliau lebih berani menentukan perkara yang ingin disampaikan menerusi karya.
“Sekarang saya rasa saya lebih kenal diri saya. Kalau dulu saya asyik fikir apa yang orang cakap pasal diri saya atau apa yang orang fikir dan harapkan, tapi sekarang saya lebih berani dan tahu apa yang saya nak sampaikan sebagai seorang artis,” kata Nabila dengan penuh keyakinan.

Melalui Cukup Sampai Sini, Nabila juga mahu memperlihatkan sisi dirinya yang lebih santai, berani dan terbuka untuk bereksperimen, termasuk menerusi penglibatan yang lebih dekat dalam aspek penulisan, muzik dan visual.
Bagi Nabila, lagu ini akhirnya bukan sekadar sebuah lagu tentang perpisahan, tetapi tentang bangkit selepas menyedari apa yang perlu dilakukan untuk diri sendiri.
“Bagi saya, lagu ini bukan sekadar break-up song, tetapi lebih kepada lagu untuk bangkit semula. Saya memang dari dulu suka membawa mesej tentang bagaimana seorang wanita, walaupun pernah kecewa atau terluka, tetap boleh bangun, bangkit dan memilih dirinya sendiri.
“Selepas kita sedar apa yang kita perlukan, kita belajar untuk melepaskan apa yang tidak lagi baik untuk kita dan terus melangkah. I will be fine, I choose myself. Bagi saya, itulah kekuatan sebenar yang saya mahu sampaikan melalui lagu ini,” katanya.
DUNIA HIGH SCHOOL PENUH WARNA-WARNI DAN MENYERONOKKAN
Jika mesej lagu membawa elemen refleksi diri, muzik video Cukup Sampai Sini pula tampil dengan pendekatan yang lebih berwarna dan menghiburkan menerusi konsep high school.
Nabila memilih latar persekolahan kerana ia merupakan pengalaman yang dekat dengan ramai orang — daripada kisah cinta pertama dan persahabatan hinggalah kepada pelbagai karakter serta hubungan yang terbentuk ketika zaman tersebut.

“Saya nak sesuatu yang menyeronokkan. Saya percaya ramai anak-anak muda boleh kaitkan diri mereka dengan suasana sekolah. Ada crush, persahabatan dan perhubungan. Jadi kita nampak elemen-elemen yang berwarna-warni dan ceria. Saya nak keseluruhan visual memiliki elemen tersebut sehingga ia nampak menyeronokkan,” jelasnya.
Keseluruhan set sekolah tersebut turut dibina khas di dalam sebuah studio, membolehkan pasukan produksi menghasilkan suasana tersendiri untuk muzik video Cukup Sampai Sini.
“Bila kita hasilkan sendiri, kita lebih mudah mengawal keseluruhan suasana dan mendapatkan apa yang kita bayangkan. Set-set yang dibina juga mempunyai identiti tersendiri. Setiap kali kita berpindah dari satu set ke set yang lain, ia memberikan rasa seperti membawa peminat masuk ke dalam dunia Cukup Sampai Sini,” jelasnya lagi dengan penuh keterujaan.
12 CAMEO, 12 KARAKTER
Pembikinan muzik video Cukup Sampai Sini turut menampilkan 12 cameo terdiri daripada pempengaruh dan selebriti, yang masing-masing membawa karakter tersendiri bagi menghidupkan suasana sekolah yang dicipta Nabila.
Antara yang terlibat ialah Ain Edruce, Yaya Zahir, Siti Khadijah, Adriana Adnan, Riena Diana, Lunia Ara, Syieda, Tengku Ratu, Eusoff, Kahoe Hon, Fadhli Masoot, Aimien dan Irfan Hifny, manakala Nabila sendiri membawa karakter “The One Who Had Enough”.
Pemilihan setiap personaliti dibuat berdasarkan karakter dan tenaga yang mampu mereka bawa ke dalam dunia Cukup Sampai Sini.
“Saya suka tengok personaliti seseorang, tenaga yang mereka berikan dan vibes yang mereka bawakan. Saya tak nak semua orang nampak sama. Ada yang bawa karakter pelajar popular, yang bijak, ada class clown, yang kelakar dan ada yang misteri.

“Mereka datang dengan karakter masing-masing dan kehadiran mereka sedikit sebanyak membantu menjadikan keseluruhan muzik video ini seolah-olah sebuah kumpulan pelajar sekolah yang sebenar,” jelasnya.
Pengalaman bekerja bersama kesemua personaliti tersebut turut menjadi antara perkara yang paling menyeronokkan buat Nabila, dengan sebahagian daripada mereka hadir bersama idea dan karakter sendiri.
“Sangat menyeronokkan dan sangat mudah bekerja dengan mereka. Ada antaranya yang saya dah kenal dan berkawan, dan ada yang baru saya kenal sewaktu penggambaran muzik video ini.
“Tapi yang penting, rata-rata mereka cukup teruja untuk bekerja dalam muzik video ini. Ada yang sampai set sahaja sudah datang dengan karakter mereka, malah ada yang muncul dengan idea sendiri untuk mencantikkan lagi karakter mereka.
“Saya sangat hargai usaha mereka. Penggambaran muzik video ini sampai rasa macam satu pertemuan semula kawan-kawan sekolah pula,” sambungnya.
SISI BAHARU NABILA RAZALI
Secara keseluruhannya, Cukup Sampai Sini memperlihatkan satu sisi baharu Nabila Razali — bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi sebagai seorang artis yang semakin aktif dalam proses penciptaan dan menentukan arah kreatif karyanya sendiri.
Daripada mencipta lagu bersama Justin Seow Seng Tack dan menulis keseluruhan lirik, sehinggalah kepada pembentukan karakter muzik bersama Justin Seow serta konsep visual yang dibangunkan untuk muzik video, karya ini memberi ruang kepada Nabila untuk bereksperimen dengan pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan pendengar.

Cukup Sampai Sini bukan sekadar lagu tentang kekecewaan, tetapi sebuah karya yang membawa perasaan tersebut kepada satu titik kesedaran — bahawa ada waktunya seseorang perlu berhenti, mengenali nilai diri dan memilih untuk terus melangkah.
Dengan gabungan muzik, lirik dan visual yang saling melengkapi, Nabila berharap karya ini dapat memberikan pengalaman yang berbeza kepada para pendengar.
Karya lagu terbitan Nabila Razali Entertainment, Malika Entertainment & Management serta edaran Sony Music Entertainment Malaysia ini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 11 September 2026, manakala muzik video rasmi mula ditayangkan di YouTube pada 22 September 2026.
KREDIT LAGU – “CUKUP SAMPAI SINI”
Artist: Nabila Razali
Songwriter (Lyricist): Nabila Razali
Composer: Justin Seow Seng Tack & Nabila Razali
Producer: Justin Seow
Arranger: Justin Seow
Original Publisher/Sub Publisher: Faithful Publishing Sdn Bhd
Sub-Publisher: Warner Chappell Malaysia
