BIGBANG Menggila, 25 Minit 31 Saat Tiket KL Lesap!

Penangan ulang tahun ke-20 ‘Kings of K-Pop’ luar biasa, V.I.P. Malaysia kembali berpusu-pusu selepas 11 tahun menanti
Penangan BIGBANG masih belum surut, buktinya hanya 25 minit 31 saat diperlukan untuk keseluruhan tiket BIGBANG 2026-2027 WORLD TOUR <XX : COSMOS> IN KUALA LUMPUR yang bakal berlangsung di TM Stadium Nasional pada 9 Januari 2027, habis disambar peminat.
Fenomena itu sekali gus membuktikan kemunculan semula kumpulan legenda K-pop berkenaan selepas 11 tahun masih memiliki tarikan luar biasa dalam kalangan V.I.P., gelaran rasmi peminat BIGBANG.
Lebih awal, tiket pra-jualan khusus untuk ahli BIGBANG V.I.P. yang dibuka pada 17 September lalu turut habis dalam tempoh hanya 90 minit.
Situasi itu menjadi semakin hangat apabila jualan umum dibuka hari ini dan tiket keseluruhan acara berkenaan licin dalam hanya 25 minit 31 saat.
BIGBANG kembali ke pentas dunia sempena sambutan ulang tahun ke-20 mereka pada 2026, sekali gus menjadikan jelajah BIGBANG 2026-2027 WORLD TOUR <XX : COSMOS> antara kemunculan yang paling dinantikan V.I.P. di seluruh dunia.
Jelajah itu dimulakan menerusi persembahan pembukaan di Goyang, Korea Selatan yang menghimpunkan ribuan peminat dari pelbagai negara.
Kehadiran luar biasa V.I.P. pada persembahan pembukaan berkenaan turut mencetuskan fenomena global, sekali gus meningkatkan lagi bahang menjelang siri persembahan BIGBANG di negara lain.
Kuala Lumpur pula mempunyai cerita tersendiri apabila BIGBANG bakal kembali menemui peminat Malaysia selepas 11 tahun.
Konsert pada 9 Januari 2027 itu dijanjikan dengan pengalaman audio visual serba baharu, selain produksi berskala besar yang pastinya menjadi antara tarikan utama sempena sambutan dua dekad perjalanan BIGBANG dalam industri muzik.
Kepulangan mereka turut hadir selepas BIGBANG melancarkan single terbaharu, BiiiG, pada 19 Ogos lalu yang menandakan fasa baharu kumpulan itu dalam perjalanan muzik mereka.
Namun, sebaik tiket Kuala Lumpur habis terjual, muncul pula satu persoalan besar dalam kalangan V.I.P. yang gagal mendapatkan tiket.
Mungkinkah ada konsert kedua?
Penganjur, iMe Malaysia, mengakui menerima banyak permintaan daripada peminat yang tidak berjaya mendapatkan tiket, khususnya berhubung kemungkinan pertunjukan tambahan di Kuala Lumpur.
iMe Malaysia memaklumkan perkara itu kini sedang dibincangkan dan persediaan berkaitan sedang dibuat. Dalam masa sama, peminat diminta terus mengikuti platform media sosial rasmi iMe Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terbaharu serta sebarang pengumuman lanjut.
Dengan tiket persembahan pertama sudah lesap dalam tempoh 25 minit 31 saat, bahang BIGBANG di Kuala Lumpur jelas baru bermula.
V.I.P. yang terlepas tiket kini hanya mampu menunggu satu perkara iaitu adakah <XX : COSMOS> bakal membuka satu lagi ruang untuk mereka bersama BIGBANG pada Januari depan?
