September 21, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Wali Kembali, 5,000 Peminat Bakal Saksikan Malam Eksklusif di KL

Spread the love

Najwa Latif Buka Tirai WALI – EXCLUSIVE ONE NIGHT ONLY, 21 November

Selepas mencetuskan fenomena menerusi persembahan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada Mei lalu, kumpulan popular Indonesia, Wali, kembali menemui peminat di Kuala Lumpur menerusi WALI – EXCLUSIVE ONE NIGHT ONLY di Megastar Arena, Kuala Lumpur, 21 November ini.

Konsert yang dijadualkan bermula jam 8 malam itu dianjurkan 25th Studio dan Infinity Love Creative Venture, sekali gus menjanjikan sebuah malam istimewa buat peminat Wali menerusi persembahan yang mengetengahkan deretan lagu popular kumpulan berkenaan.

Lebih menarik, hanya 5,000 penonton bakal diberi peluang menyaksikan persembahan berkenaan, menjadikan acara itu lebih eksklusif dengan suasana yang lebih dekat antara Wali dan peminat.

Kehadiran Wali di Kuala Lumpur kali ini menyusuli Konsert Wali Kembali yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 1 Mei lalu, dengan hampir 12,000 peminat hadir menyaksikan persembahan solo kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, konsert pada Mei lalu dianjurkan pihak penganjur terdahulu dan merupakan acara yang berasingan daripada WALI – EXCLUSIVE ONE NIGHT ONLY yang dianjurkan 25th Studio dan Infinity Love Creative Venture.

Selain Kuala Lumpur, Wali turut dijadualkan menemui peminat di selatan tanah air menerusi WALI LIVE IN JB di EduCity Complex, Johor Bahru pada 3 Oktober ini.

Acara di Johor Bahru itu juga merupakan penganjuran berbeza dan tidak mempunyai kaitan dengan konsert eksklusif Wali di Kuala Lumpur pada November.

Bukan hanya Wali yang menjadi tumpuan, konsert ini turut menampilkan penyanyi dan penulis lagu popular tempatan, Najwa Latif, sebagai artis undangan khas.  Najwa akan membuka tirai persembahan sebelum Wali mengambil alih pentas utama untuk menghiburkan penonton.

Kemunculan Najwa sekali gus mempertemukan dua nama dari Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas, selain memberikan nilai tambah kepada pengalaman penonton yang hadir.

Sepanjang perjalanan muzik mereka, Wali cukup sinonim dengan lagu yang dekat dengan kehidupan serta emosi pendengar.

Antara karya yang terus menjadi ingatan peminat termasuk Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat.

Deretan lagu berkenaan dijangka menjadi antara momen yang paling dinantikan peminat apabila Wali kembali beraksi secara langsung di Kuala Lumpur.

Tiket WALI – EXCLUSIVE ONE NIGHT ONLY akan mula dijual pada 23 September 2026, jam 12 tengah hari menerusi www.myticket.asia.

Tiket ditawarkan pada harga berikut • CAT 1 – Dik: RM182 – Free Standing, CAT 2 – Baik-Baik Sayang: RM482 – Numbered Seating,  CAT 3 – Doaku Untukmu Sayang: RM322 – Numbered Seating, CAT 4 – Tobat: RM252 – Numbered Seating, VIP – Berkah: RM782 – Numbered Seating dan
VVIP – Cari Jodoh: RM2,222 – Numbered Seating

Dengan kapasiti penonton yang dihadkan kepada 5,000 orang, WALI – EXCLUSIVE ONE NIGHT ONLY dijangka menjadi satu lagi ruang buat peminat menikmati lagu-lagu yang sudah sebati dengan perjalanan muzik Wali dalam suasana persembahan yang lebih dekat dan eksklusif.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page