September 14, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Malcolm Todd Gegarkan Kuala Lumpur Disember Ini

Spread the love

Bintang pop yang semakin mencuri perhatian dunia, Malcolm Todd bakal menemui peminat Malaysia menerusi konsert sulungnya di Kuala Lumpur, Disember ini.

Penyanyi, penulis lagu dan gitaris kelahiran Los Angeles itu akan menjayakan Malcolm Todd: Do That Again Tour di Zepp KL pada 9 Disember 2026, sekali gus membuka peluang kepada peminat tempatan menyaksikan persembahan bertenaga penyanyi berusia 22 tahun berkenaan secara langsung.

Kemunculan sulung Malcolm di Malaysia hadir selepas kejayaan besar siri jelajah Amerika Utara yang menyaksikan beliau tampil di venue terbesar sepanjang kariernya.

Lebih menarik, Malcolm turut memiliki kelompok peminat yang semakin berkembang di Malaysia apabila lagu popularnya, Earrings, pernah menduduki tangga ke-13 carta Spotify Malaysia.

Album terbarunya, Do That Again, yang dilancarkan pada 5 Jun lalu menerusi Columbia Records, memperlihatkan sisi lebih matang Malcolm sebagai seorang pengkarya.

Menggabungkan elemen pop moden dengan pengaruh R&B, album berkenaan mengetengahkan penulisan lagu yang tajam, penceritaan peribadi serta pendekatan muzik yang cukup tersendiri.

Kesemua 13 lagu dalam album itu turut mencatatkan kemunculan dalam carta Spotify Amerika Syarikat, manakala album berkenaan mencapai kedudukan kelima carta Apple Music Top 200 Albums.

Malah, karya itu turut mendapat pujian kritikal termasuk ulasan empat bintang daripada Rolling Stone.

Tidak terhenti di situ, Malcolm juga membuat penampilan sulung di program The Tonight Show Starring Jimmy Fallon menjelang pelancaran album, dengan mempersembahkan lagu I Saw Your Face selain Earrings.

Perjalanan Malcolm sebagai bintang yang semakin meningkat naik sememangnya cukup pantas.

Tiga tahun lalu, dia belum pernah membuat persembahan secara langsung, namun tahun lalu, Malcolm berjaya menjual 100,000 tiket di tiga benua dalam satu kitaran jelajah.

Kini, momentum itu semakin kukuh apabila jelajah Do That Again Tour di Amerika Utara dilaporkan menjual lebih 145,000 tiket ketika fasa presale artis, sekali gus mendorong penambahan 11 tarikh persembahan.

Jelajah itu turut merangkumi dua malam di Radio City Music Hall, New York dan tiga malam di Greek Theatre, Los Angeles.

Dalam perkembangan sama, album Do That Again turut mencatat pencapaian membanggakan apabila membuat debut di kedudukan kelima carta Billboard 200 serta mengumpul 277 juta penstriman global sejak dilancarkan.

Bagi peminat yang tidak mahu terlepas peluang menyaksikan aksi sulung Malcolm Todd di Kuala Lumpur, Artist Presale dibuka pada 21 September, jam 11 pagi hingga 11.59 malam.

Presale untuk ahli Live Nation pula berlangsung pada hari yang sama, manakala jualan tiket kepada orang ramai bermula 23 September, jam 11 pagi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page