Siti Nurhaliza Ungguli AIM25 Dengan 14 Pencalonan

TokTi buktikan pengaruh masih utuh, tampil sebagai artis dengan pencalonan terbanyak pada edisi ke-25
Belum pun tirai Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) dibuka, nama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sudah mencuri perhatian apabila muncul sebagai artis paling banyak menerima pencalonan.
Bukan satu, bukan lima tetapi 14 pencalonan diraih Siti atau lebih mesra disapa TokTi, sekali gus membuktikan pengaruh serta kekuatan karya penyanyi tersohor itu dalam industri muzik tempatan masih belum tergugat.
Lebih menarik, pencalonan berkenaan hadir daripada pelbagai cabang muzik, bermula daripada kekuatan vokal, lagu tradisional, kolaborasi antarabangsa sehinggalah kepada aspek susunan dan produksi muzik.
Antara pencalonan utama TokTi ialah menerusi Kesuma bagi kategori Vokal Wanita Terbaik.
Beliau turut bersaing dalam kategori Kolaborasi Artis/Penulis Lagu Tempatan Bersama Artis/Penulis Luar Negara Terbaik menerusi tiga karya iaitu Cenderamaya, Kumbang Bunga dan Jenjang Cinta.
Tidak terhenti di situ, Siti turut menerima pencalonan dalam kategori Lagu Tradisional Terbaik menerusi Kesuma, Rencong; Hujung Bumi dan Pesanan Buat Diri.
Album Gema Bumantara pula mengukuhkan lagi kedudukan Siti apabila dicalonkan dalam kategori Album Terbaik selain Rakaman Album Terbaik.
Lagu Pesanan Buat Diri turut membawa nama Siti ke kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Negara, manakala Kesuma bersaing dalam kategori Rakaman Lagu Terbaik.
Siti turut menerima pencalonan bagi kategori Lagu Perayaan Terbaik menerusi lagu Raya Nak Ke Mana?
Deretan pencalonan itu memperlihatkan kepelbagaian karya Siti yang bukan sahaja menonjolkan kekuatan vokal, malah merangkumi muzik tradisional, karya perayaan, kolaborasi antarabangsa serta aspek susunan dan produksi muzik.
Sementara itu, Aisha Retno muncul antara pencabar terdekat dengan enam pencalonan, manakala Hael Husaini dan Mimifly masing-masing menerima lima pencalonan.
Kumpulan Alpha pula memperoleh empat pencalonan, sementara Shila Amzah dan Aina Abdul masing-masing meraih tiga pencalonan.
Dalam perkembangan berkaitan, penganjuran AIM25 pada 26 September ini disifatkan sebagai platform penting dalam memacu ekosistem industri muzik serta ekonomi kreatif negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, berkata industri muzik mempunyai ekosistem yang luas dan membabitkan pelbagai pihak, daripada proses penghasilan karya sehingga penyiaran dan pemasaran.
“Keberhasilan sesebuah karya muzik bukan hanya bergantung kepada artis yang berada di hadapan pentas, sebaliknya turut melibatkan pencipta lagu, penulis lirik, penerbit, pemuzik, jurutera bunyi, syarikat rakaman serta pelbagai tenaga profesional di sebalik tabir.
“Justeru, sokongan kepada platform seperti Anugerah Industri Muzik ini amat penting kerana ia bukan sahaja mengiktiraf kejayaan penggiat muzik, malah memberikan nilai dan keterlihatan kepada keseluruhan ekosistem industri muzik Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media AIM25 yang telah berlangsung di Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur pada 9 September lalu.
Abdul Halim berkata, Kementerian Komunikasi turut menyokong penganjuran AIM25 menerusi dana kandungan digital dan dana kandungan kreatif yang disalurkan melalui MyCreative Ventures kepada 16 pemenang kategori yang dipertandingkan.
Katanya, sokongan berkenaan diharap dapat memberi manfaat kepada penerima selain terus memacu penghasilan karya tempatan yang berkualiti, kreatif dan berdaya saing.
“Menerusi 600 pencalonan yang telah diterima, jelas sekali bahawa Malaysia mempunyai kumpulan bakat yang besar dan berpotensi untuk terus berkembang dalam industri muzik negara,” katanya.
Menurut beliau, kira-kira 65 peratus karya yang dicalonkan bagi salah satu kategori dalam AIM25 merupakan hasil yang pernah menerima sokongan menerusi dana kandungan kreatif kementerian.
Beliau turut melihat penganjuran AIM25 di Bumi Kenyalang sebagai usaha memastikan bakat dari seluruh negara mempunyai ruang dan peluang untuk mengembangkan potensi masing-masing.
AIM25 dijadual berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September ini, sekali gus mencatat sejarah apabila acara berprestij itu buat pertama kali dianjurkan di Bumi Kenyalang.
Sebanyak 32 kategori dipertandingkan pada edisi ke-25, termasuk dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik.
Dengan Siti Nurhaliza muncul sebagai penerima pencalonan terbanyak, perhatian pastinya terarah kepada sejauh mana dominasi TokTi itu mampu diterjemahkan kepada kemenangan apabila malam kemuncak AIM25 berlangsung di Kuching kelak.
