Awal, Scha Dan Sheera Diumum Pengacara AIM25

Jerebu Bukan Penghalang, Malam Jubli Perak Ke-25 Kekal Berlangsung Di Bcck
Gandingan suami isteri, Awal Ashaari dan Scha Alyahya, bakal mengemudi malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur, di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September ini.
Pemilihan trio berkenaan dijangka memberikan suntikan tersendiri kepada malam Jubli Perak AIM25 yang buat pertama kali dibawa ke bumi Kenyalang, sekali gus membuka lembaran baharu dalam sejarah penganjuran anugerah muzik berprestij berkenaan.
Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim berkata, pemilihan pengacara, penyampai anugerah dan artis yang membuat persembahan dilakukan secara bersama dengan rakan penyiar, TVS.
“Untuk pemilihan hos, penyampai anugerah dan juga artis yang membuat persembahan, semuanya dipilih bersama dengan pihak TVS.
“Kami percaya hos, Scha Alyahya dan Awal Ashaari akan memberi gandingan yang terbaik,” katanya pada sidang media AIM25 di Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 9 September lalu.
Gandingan Awal dan Scha yang cukup sinonim dengan dunia pengacaraan acara hiburan dijangka membawa keserasian tersendiri, manakala kehadiran Sheera pula memberi sentuhan tempatan yang sesuai dengan penganjuran AIM25 di Sarawak.
Malam kemuncak itu bakal diserikan dengan persembahan barisan nama besar industri muzik tanah air termasuk Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adira Suhaimi bersama anak sulungnya, Anggrek, Akim Ahmad, Alena Murang, Amir Masdi, Azlan Typewriter, Bunga, Estranged, Fajar Noor, Firdhaus, Hael Husaini, Hafiz Suip, Hujan, Luqman Podolski, Marsha Milan dan Mimifly.
Tidak ketinggalan, empat finalis kategori Artis Baharu Terbaik iaitu Rezza Shah, Ary Hussin, Qal-G dan Yusuf Kassim turut diberi ruang untuk mempersembahkan bakat mereka di pentas AIM25.
Barisan penyampai anugerah pula menampilkan gabungan artis dan personaliti daripada pelbagai cabang industri hiburan termasuk Amir Jahari, Wany Hasrita, Nisa Kasnon, Anggrek, Azeva, Aina Abdul, Kaka Azraff, Yonnybooi, Iman Troye, Hujan, Noraniza Idris, Lah Ahmad, Hazama, Dr Soo Wincci dan Mila Jirin.
Menurut Rosmin, gabungan pengacara, penyampai anugerah dan penghibur daripada pelbagai generasi itu dirangka bagi mewujudkan pengalaman malam anugerah yang lebih menarik dan dinamik.
Pada masa sama, AIM25 mahu meraikan kepelbagaian genre, bakat serta evolusi muzik Malaysia sepanjang 25 edisi penganjurannya.
Dalam persiapan menuju malam bersejarah itu, keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak tidak menjejaskan perancangan AIM25 apabila acara berkenaan kekal berlangsung seperti dijadualkan pada 26 September ini.

Rosmin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25 berkata, setakat ini tiada sebarang perubahan dibuat terhadap tarikh dan lokasi penganjuran.
“Berkenaan jerebu, kami berdoa agar debu itu akan hilang ketika AIM25 berlangsung nanti. Selebihnya, kita lihat bagaimana nanti,” katanya.
Pihak penganjur berharap keadaan cuaca dan kualiti udara di Sarawak kembali pulih sebelum ketibaan barisan artis serta penggiat industri muzik dari seluruh negara.
Edisi Jubli Perak AIM25 turut menerima Geran Acara Pelancongan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Selain itu, AIM25 menerima peruntukan RM950,000 daripada Kementerian Komunikasi menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK), yang akan disalurkan kepada 16 pemenang AIM25 melalui MyCreative Ventures (MyCV).
Malam kemuncak AIM25 dijadualkan bermula jam 9 malam, didahului segmen karpet merah pada jam 8 malam.
AIM25 akan disiarkan secara langsung ke seluruh negara menerusi TVS saluran 122 dan TVS Inspire.
