Wali Band ‘Cari Jodoh’, Najwa Latif Cari ‘Rasa’ di JB

Anak Johor teruja kongsi pentas dengan kumpulan popular Indonesia menerusi Wali Live In JB, 3 Oktober depan
Wali Band mungkin datang ke Johor Bahru untuk ‘Cari Jodoh’, namun buat penyanyi Najwa Latif, pentas Wali Live In JB bakal menjadi medan mencari satu ‘rasa’ istimewa sebagai anak kelahiran Johor.
Lebih daripada sekadar penyanyi undangan, Najwa diberi kepercayaan menjadi penyanyi istimewa untuk berkongsi pentas dengan kumpulan popular Indonesia itu menerusi Wali Live In JB di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor Bahru, 3 Oktober depan.
Peluang beraksi di negeri kelahirannya bersama kumpulan yang sudah lebih 25 tahun mencipta nama itu diakui cukup bermakna buat Najwa, malah dia tidak sabar untuk merasai sendiri kemeriahan konsert berkenaan.

“Saya sangat bangga dan berbesar hati kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada persembahan ini. Lebih istimewa kerana saya juga berasal dari Johor. Jadi, saya memang sangat teruja dan tidak sabar untuk bersama-sama dengan penonton di sini,” katanya.
Najwa berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Wali Live In JB di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur, 4 September lalu, yang turut disertai anggota Wali Band secara virtual dari Indonesia.
Menurut Najwa, keterujaannya bukan hanya kerana bakal membuat persembahan, sebaliknya dia juga mahu mengambil kesempatan menikmati aksi Wali Band yang cukup sinonim dengan lagu-lagu popular dan nostalgia dalam kalangan peminat Malaysia.
“Saya bukan sahaja datang untuk membuat persembahan, tetapi dalam masa sama mahu menikmati persembahan Wali Band dan keseluruhan suasana konsert.
“Insya-Allah, saya harap semuanya berjalan lancar dan kita dapat sama-sama menikmati malam yang istimewa ini,” katanya.
Wali Live In JB dianjurkan Nusantara Live Entertainment dengan kerjasama Infinity Love Creative Ventures, Tourism Johor dan EduCity Sports Complex, bermula jam 8 malam.

Konsert itu dijangka menjadi antara acara muzik berskala besar yang kembali menghidupkan suasana persembahan di Johor Bahru, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak penganjuran konsert di selatan tanah air.
Wakil Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz Abd Hamid dan Nur Liyana Abd Rahman, berkata Johor Bahru dipilih berdasarkan potensi bandar raya itu selain sambutan positif peminat dari selatan tanah air dan Singapura.
“Kami melihat JB mempunyai potensi besar untuk terus menjadi lokasi pilihan penganjuran konsert pada masa akan datang.
“Walaupun masih baharu sebagai penganjur, kami mempunyai pasukan berpengalaman dan amat menghargai sokongan semua pihak yang membantu merealisasikan projek ini,” katanya.

Sementara itu, wakil Infinity Love Creative Ventures, Mubarak Akhtar Mohd Aris, berkata kerjasama itu menggabungkan pengalaman pihaknya dengan tenaga dan idea baharu Nusantara Live Entertainment.
“Kami berharap kerjasama ini menjadi permulaan kepada lebih banyak acara berkualiti di Johor Bahru,” katanya.
Wali Band yang dianggotai Faank (vokal), Apoy (gitar/komposer), Tomi (dram) dan Ovie (keyboard) sememangnya mempunyai kelompok peminat besar di Malaysia.
Antara lagu popular mereka termasuk Cari Jodoh, Baik-Baik Sayang, Yank, Doaku Untukmu Sayang, Aku Bukan Bang Toyib, Nenekku Pahlawanku, Cari Berkah, Emang Dasar dan Tobat Maksiat.

Pertemuan Wali Band dan Najwa Latif pastinya memberikan warna tersendiri kepada konsert berkenaan apabila deretan lagu popular kumpulan itu yang sarat nostalgia bakal bertemu dengan identiti muzik Najwa yang mempunyai peminat tersendiri.
Malah, faktor lokasi yang berhampiran Singapura turut membuka peluang untuk peminat dari republik itu hadir memberikan sokongan, selain peminat dari negeri-negeri lain.

Tiket ditawarkan pada harga RM88 (Cari Berkah – CAT 3), RM128 (Cari Jodoh – GA), RM128 (Emang Dasar – CAT 2), RM168 (Nenekku Pahlawanku – CAT 1), RM388 (Tomat – VIP) dan RM1,188 (Yank – Super VIP).
Tiket boleh didapati menerusi MyTicket Asia.
