September 3, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

‘Aku & Lelaki’ Buka Jalan Misha Omar Ke Konsert 25 Tahun

Spread the love

Showcase Eksklusif Jadi Pemanas Tirai Sebelum Penyanyi Tersohor Itu Meraikan 25 Tahun Perjalanan Seni Tahun Depan

Selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik tanah air, penyanyi tersohor Misha Omar bakal membuka lembaran baharu menuju sambutan 25 tahun perjuangan seninya menerusi showcase eksklusif, Aku & Lelaki, pada 24 Oktober ini.

Bakal berlangsung jam 8.30 malam di JioSpace, Petaling Jaya, Selangor, persembahan berkenaan bukan sekadar pertemuan istimewa bersama peminat, sebaliknya menjadi sebahagian daripada perjalanan Misha menuju konsert ulang tahun ke-25 yang dijadualkan berlangsung tahun depan.

Selepas kejayaan siri showcase Back to Basic dan DiA, Misha kali ini tampil dengan konsep yang lebih segar dan berbeza apabila mengetengahkan keseimbangan dua sisi yang saling melengkapi iaitu maskulin dan feminin, kekuatan dan kelembutan serta kehilangan dan harapan.

Lebih menarik, Misha tidak hanya bergantung kepada himpunan lagu popular miliknya, sebaliknya bakal memberikan interpretasi tersendiri terhadap beberapa lagu ikonik yang pernah dipopularkan penyanyi lelaki dari Malaysia, Indonesia dan antarabangsa.

Eksplorasi itu dijangka menjadi antara tarikan utama Aku & Lelaki, selain memberi peluang kepada Misha untuk memperlihatkan sisi artistik yang mungkin jarang diterokainya dalam persembahan sebelum ini.

Setiap lagu dipilih dengan teliti bagi membentuk sebuah penceritaan yang membawa penonton menyelami pelbagai emosi manusia, daripada cinta, kehilangan dan kerinduan, hinggalah kegalauan, kegembiraan serta harapan.

Bagi Misha, Aku & Lelaki adalah ruang untuknya keluar daripada kebiasaan dan meneroka karya yang dekat dengan jiwanya tanpa mengorbankan identiti sebagai penyanyi wanita.

“Saya tidak mahu peminat mendengar perkara yang sama setiap kali kita bertemu.

Aku & Lelaki adalah ruang dan peluang saya untuk meneroka lagu-lagu yang saya kagumi daripada penyanyi lelaki yang banyak memberi inspirasi kepada perjalanan muzik saya.

“Namun pada masa sama, saya masih dan akan tetap membawa identiti saya sebagai seorang penyanyi wanita.

“Saya mahu peminat menikmati sesuatu yang baharu dan saya berharap showcase ini dapat membuat penonton pulang dengan kenangan yang istimewa,” katanya.

Selain membawakan karya popular daripada katalog peribadinya, Misha dijangka menggunakan kekuatan vokal dan kehalusan emosi yang menjadi identitinya untuk memberi nafas baharu kepada setiap karya yang dipilih.

Justeru, Aku & Lelaki bukan hanya persembahan untuk menghiburkan peminat, tetapi turut menjadi sebuah perjalanan artistik yang menggabungkan nostalgia, penghargaan terhadap muzik dan pengalaman yang lebih intim.

Bagi memastikan persembahan mencapai standard produksi yang diidamkan, showcase itu menghimpunkan barisan tenaga kreatif berpengalaman dengan Ee Jeng selaku Pengarah Muzik yang bertanggungjawab menyusun keseluruhan muzik dan persembahan secara segar serta eksklusif.

Arah persembahan pula dipimpin Jennifer Thompson, manakala aspek teknikal dikendalikan Simon bagi memastikan pengalaman visual dan audio terbaik buat penonton.

Ak u & Lelaki dianjurkan Double M Productions dengan pengurusan konsert oleh Altus Prohouse.

Sebagai pembuka tirai menuju konsert ulang tahun ke-25 Misha Omar, showcase ini dilihat cukup signifikan dalam perjalanan seni penyanyi berkenaan yang telah mewarnai industri muzik tempatan selama lebih dua dekad.

Ia bukan sekadar mengimbas kembali karya yang pernah menemani peminat, tetapi turut memperlihatkan kesediaan Misha untuk terus bereksperimen dan menawarkan sesuatu yang baharu seiring kematangan dirinya sebagai seorang penghibur.

Menerusi Aku & Lelaki, Misha seolah-olah mahu mengajak peminat menoleh seketika ke belakang sebelum bersama-sama melangkah ke fasa lebih besar iaitu konsert yang bakal meraikan 25 tahun perjalanan seninya tahun depan.

Tiket Aku & Lelaki mula dijual hari ini, 3 September, jam 12 tengah hari menerusi Ticket2U.

Tiket VIP 1 dijual pada harga RM508 termasuk sesi fotografi, VIP 2 (RM488), CAT 1 (RM458), CAT 2 (RM288 – free standing), CAT 3 (RM188 – free standing) dan Mezzanine (RM458).

Sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi WhatsApp di +60 19-595 1931.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page