Fabio Asher Kembali ‘Rawat’ Jiwa Peminat

Tampil Lebih Gah Dengan Orkestra, Tiga Segmen Dan Keseluruhan Lagu; The Romanticist Live In Kuala Lumpur Dijanjikan Lebih Intim Dan Sarat Emosi
Baru lima bulan kembali ke Malaysia, penyanyi Indonesia, Fabio Asher sekali lagi bakal ‘mengubati’ jiwa peminat menerusi konsert Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur di Megastar Arena, Kuala Lumpur, pada 22 November ini.
Kali ini, Fabio mahu memberikan pengalaman berbeza apabila persembahan berkenaan akan tampil lebih besar dengan susunan muzik baharu, iringan orkestra serta setlist yang dibahagikan kepada tiga segmen.
Fabio berkata, berbeza dengan persembahan terdahulu yang hanya mengetengahkan kira-kira 12 lagu, kali ini dia akan membawakan keseluruhan karya dimilikinya.
“Kalau sebelum ini saya hanya membawakan kira-kira 12 lagu dan ada peminat merasakan persembahan tidak cukup, kali ini saya akan membawakan keseluruhan lagu saya.
“Penggunaan orkestra juga akan memberikan pengalaman berbeza. Saya mahu persembahan ini gah, tetapi pada masa sama tetap intim dan dekat dengan penonton,” katanya ketika ditemui di Heritage Club, Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Fabio, konsep The Romanticist yang dibawakan bukan sekadar berkisar mengenai kisah percintaan, sebaliknya merangkumi pelbagai sisi emosi manusia seperti kerinduan, kehilangan, patah hati, proses penyembuhan dan harapan.
“The Romanticist bukan hanya mengenai cinta, tetapi juga rindu, kehilangan, patah hati dan proses healing. Saya mahu penonton datang dengan kisah masing-masing. Ada yang mungkin sedang patah hati, jatuh cinta atau cuba melupakan seseorang.

“Saya harap mereka boleh mengaitkan lagu saya dengan cerita hidup sendiri dan pulang dengan kenangan yang bermakna,” katanya.
Fabio yang sinonim dengan karya balada sarat emosi mengakui kebanyakan lagu terdahulunya banyak mengangkat tema kesakitan dan patah hati.
Bagaimanapun, menerusi konsert kali ini, dia mahu memperlihatkan sisi romantis yang lebih luas kerana kehidupan, katanya, bukan semata-mata mengenai luka dan kehilangan.
“Selama ini banyak lagu saya mengenai sakit hati, tetapi hidup bukan hanya tentang itu. Kita juga mahu jatuh cinta, disayangi, memiliki seseorang dan tidak ditinggalkan. Itu yang saya mahu rangkumkan dalam konsert ini,” katanya.
Antara lagu popular yang dijangka mengisi malam penuh emosi itu termasuk Bertahan Terluka, Rumah Singgah, Hati Lain Di Hatimu dan Akhir Yang Manis.
Lebih menarik, Fabio turut memberi bayangan mengenai kemunculan single baharu yang bakal diperkenalkan bulan depan selain perancangan untuk menghasilkan album ketiganya.
Dari segi produksi, persembahan akan dibuka dengan iringan orkestra, manakala reka bentuk pentas turut diubah bagi membolehkan Fabio berinteraksi dengan penonton dengan lebih dekat.
Dia juga tidak menolak kemungkinan kemunculan tetamu istimewa pada malam konsert, namun memilih untuk merahsiakan identiti mereka.
Penganjur, Cerita Project & Events Sdn Bhd, menyifatkan Fabio sebagai pelaku seni yang mempunyai keistimewaan dalam menterjemahkan perasaan peribadi menjadi karya yang dekat dengan hati pendengar.
Wakilnya berkata, The Romanticist bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya perjalanan emosi yang membawa penonton menyelami pelbagai fasa cinta.
“Fabio Asher mempunyai keistimewaan dalam menterjemahkan perasaan peribadi menjadi lagu yang dekat dengan hati pendengar, walaupun setiap orang melalui pengalaman dan fasa cinta yang berbeza.
“Kami mahu memaknai romantika itu daripada jatuh cinta, kerinduan, patah hati, kenangan, rasa tidak pasti, sehinggalah kepada proses menerima dan penyembuhan.
“Setiap lagu mewakili satu babak dalam perjalanan cinta, membolehkan penonton menghayati emosi di sebalik muzik dan pada masa sama mengimbas kembali kisah mereka sendiri,” katanya.

Sementara itu, rakan strategik, Jiwa Kacau, melihat Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur sebagai pengalaman yang lebih daripada sekadar menonton persembahan muzik.
“The Romanticist mencipta sebuah ruang pertemuan apabila muzik dan emosi menyatu. Dengan suasana yang intim dan penuh perasaan, konsert ini mengajak penonton mengenali Fabio Asher bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi sebagai seorang ‘Romanticist’ dan pencerita, seseorang yang mengubah perasaan menjadi melodi dan kenangan menjadi lagu,” katanya.
Fabio sendiri tidak sabar untuk kembali bertemu peminat di Malaysia yang dianggap sebagai ‘rumah keduanya’.
“Selamat bersenang-senang dan menikmati romantisnya pertemuan kita nanti di Fabio Asher The Romanticist Live in Kuala Lumpur.
“Malam ini kelak akan menjadi yang paling romantis dalam pertemuan kita. Saya punya banyak ‘cinta’ untuk dikongsi dan biar bertebaran di ruang Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 November ini.
“Kalian tahu, kalian sentiasa membuat antusias saya mencipta muzik ‘berapi-api’. Terima kasih kerana telah menyambut cinta, galau lalu sentiasa mahu mendakap kehadiran saya dengan penuh bahagia”, katanya.
Konsert anjuran Cerita Project & Events Sdn Bhd dengan Jiwa Kacau sebagai rakan strategik itu menawarkan tiket serendah RM158 hingga RM1,288.
Tiket dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Everlast (RM158), Fabio (RM288), Asher (RM358), VIP (RM388), Super VIP B (RM1,188) dan Super VIP A (RM1,288).

Kategori Super VIP A dan Super VIP B turut menawarkan tempat duduk berpasangan serta pakej pertemuan dan ramah mesra bersama Fabio (Meet & Greet).
Tiket akan mula dijual pada 4 September, jam 3 petang menerusi IlassoTickets.
