August 31, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Empat Tahun Adelyn Heng ‘Takhta’ KamiSempoi

Spread the love

Pakcik Chin Swee pula terima kejutan Harley-Davidson Road Glide CVO, KamiSempoi Premier Academy dilancar

Empat tahun berturut-turut membuktikan dominasi Adelyn Heng dalam arena penstriman langsung apabila sekali lagi dinobatkan sebagai Top Creator of the Year dan My Creator of the Year 2025 pada KamiSempoi Golden Award 2025.

Kemenangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Adelyn sebagai antara nama paling konsisten dalam kalangan Live Host TikTok di bawah naungan KamiSempoi International Agency (KSIA).

Lebih istimewa, kejayaan itu diraikan dalam suasana penuh glamor pada malam anugerah bertemakan ‘Echoes of Gatsby’ yang berlangsung di Confetti KL Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2, Mines Wellness City, Seri Kembangan, pada 28 Ogos lalu.

Bagi Adelyn, kemenangan empat tahun berturut-turut bukan sekadar trofi, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus belajar, berkembang dan memperbaiki kualiti diri sebagai Live Host.

“Saya sangat gembira dan bersyukur kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerima pengiktirafan ini. Kemenangan empat tahun berturut-turut ini sangat bermakna buat saya dan pastinya menjadi pembakar semangat untuk saya terus belajar, berkembang dan menjadi Live Host TikTok yang lebih baik.

“Pada masa sama, saya juga ingin melihat rakan-rakan Live Host TikTok yang lain turut berjaya.  Saya percaya kita boleh bersaing secara sihat tetapi dalam masa sama saling menyokong, berkongsi ilmu dan membantu antara satu sama lain untuk berkembang,” katanya.

Menurut Adelyn, kejayaan sebenar bukan hanya apabila seseorang berjaya secara bersendirian, sebaliknya apabila kejayaan itu mampu mendorong orang di sekeliling untuk turut berkembang.

“Saya percaya kejayaan bukan hanya apabila kita berjaya seorang diri, tetapi apabila kita dapat melihat lebih ramai orang di sekeliling kita turut naik dan mencapai kejayaan,” katanya.

Sementara itu, kemeriahan malam anugerah anjuran KSIA itu turut dimeriahkan dengan kejutan istimewa buat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KSIA, Pakcik Chin Swee.

Beliau yang selama ini menjadi antara individu penting dalam membangunkan komuniti Live Host KSIA menerima hadiah tidak disangka-sangka apabila membawa pulang sebuah motosikal berkuasa tinggi, Harley-Davidson Road Glide CVO.

Pakcik Chin Swee mengakui dirinya terkejut dan tidak pernah menjangkakan segala usaha yang dicurahkan kepada komuniti KSIA selama ini akan berakhir dengan kejutan sedemikian.

“Saya rasa speechless. Saya tidak pernah menjangka apa yang saya buat selama ini akan mendapat balasan seperti ini.  Saya tidak pernah melakukan semua ini demi mengharapkan sesuatu sebagai balasan. Bagi saya, ini adalah malam untuk anak-anak saya.

“Saya memang tidak pernah terfikir saya akan menerima hadiah yang saya idamkan sebagai seorang lelaki, iaitu sebuah Harley-Davidson Road Glide CVO.  Saya sangat menghargainya dan saya anggap ini adalah satu kenangan yang sangat istimewa,” katanya.

Menurutnya, penganjuran KamiSempoi Golden Award untuk tahun keempat berturut-turut bukan sekadar acara penyampaian trofi, tetapi ruang untuk menghargai segala usaha komuniti KSIA sepanjang tahun.

“Bagi saya, kejayaan penganjuran setiap tahun sebenarnya membawa maksud yang sama, iaitu kita cuba menghargai semua anak-anak KamiSempoi yang telah memberikan usaha, komitmen dan semangat yang tidak pernah berputus asa.

“Ini adalah malam untuk menghargai mereka, untuk mereka berseronok, menerima anugerah dan meraikan kerja keras daripada hasil usaha mereka,” katanya.

Beliau berkata, menguruskan komuniti yang kini mempunyai kira-kira 4,500 Live Host TikTok bukan sesuatu yang mudah kerana setiap individu mempunyai perjalanan, cabaran dan matlamat berbeza.

“Benda ini melibatkan manusia. Bukan senang untuk kita pimpin semua orang berjalan bersama-sama.  Tetapi saya sangat bersyukur kepada mereka yang masih rapat dengan saya, masih percaya kepada KSIA dan masih memilih untuk bergerak bersama-sama,” katanya.

Dalam pada itu, Pakcik Chin Swee menegaskan impiannya bukan sekadar melahirkan beberapa nama besar dalam industri Live Host, sebaliknya mahu melihat lebih ramai pencipta kandungan berjaya membina kerjaya menerusi bidang berkenaan.

“Sejujurnya, saya bukan mahu hanya ada seorang Adelyn Heng, seorang IsseyMiyakeSg atau seorang love.lilysa.  Saya mahu ramai seperti mereka yang boleh berjaya dan berkembang bersama dalam bidang Live Host TikTok.  Kalau semakin ramai anak-anak KamiSempoi berjaya, bagi saya itulah kepuasan yang sebenar,” katanya.

Malah, hasrat itu diterjemahkan menerusi pelancaran KamiSempoi Premier Academy pada malam berkenaan. Akademi terbabit diwujudkan sebagai inisiatif KSIA untuk melatih dan membangunkan generasi baharu profesional Live Host yang mahu menjadikan bidang penstriman langsung sebagai kerjaya.

Antara aspek yang bakal diberi penekanan termasuk kemahiran komunikasi, pengendalian LIVE, pembangunan kandungan, personal branding, penampilan dan grooming, persembahan, interaksi bersama penonton serta kualiti produksi LIVE.

Penubuhan akademi itu dilihat sebagai langkah KSIA untuk membawa industri live streaming ke tahap lebih profesional selain membuka ruang lebih luas kepada bakat baharu membina kerjaya dalam ekonomi digital.

Pada edisi KamiSempoi Golden Award 2025, sebanyak 20 kategori dipertandingkan dengan pengiktirafan turut diberikan kepada Live Host, Sub Agency, Gifter dan Main Sponsor.

Antara penerima lain yang mencuri perhatian termasuk IsseyMiyakeSg yang dinobatkan sebagai SG Creator of the Year 2025, BossKlan (Sub Agency of the Year 2025), V 1 Asia Agency (Recruiter of the Year 2025) dan Master MTZ (Talent Manager Award 2025).

Penganjuran dengan nilai keseluruhan hadiah dan acara dianggarkan mencecah RM600,000 itu turut mendapat sokongan M Route 19 sebagai penaja utama dan MK Media Studios sebagai penaja bersama.

Lebih daripada sekadar malam penghargaan, KamiSempoi Golden Award 2025 memperlihatkan perkembangan ekosistem pencipta kandungan dan Live Host yang semakin berkembang merentasi Malaysia serta Asia Tenggara.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page