August 27, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

PAK NIL REALISASI IMPIAN & CIPTA SEJARAH 3 DEKAD KARIER

Spread the love

K4LAM TAMPIL DENGAN ‘MUSA’, BAWA EKSPERIMEN AI KE PENTAS MUZIK

Ketika kecerdasan buatan (AI) semakin mengubah landskap penghasilan karya kreatif, salah seorang pesohor seni Malaysia, Datuk Aznil Haji Nawawi atau sinonim dengan panggilan Pak Nil memilih untuk tidak sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya bereksperimen serta memanfaatkan teknologi tersebut dalam evolusi muzik.

Pak Nil, 63, menyifatkan penggunaan AI dalam penghasilan muzik tidak sewajarnya dilihat sebagai fenomena yang menafikan peranan manusia dalam seni, sebaliknya sebagai perkembangan teknologi yang boleh memperluas kemungkinan kreatif seseorang pengkarya.

Justeru, setelah lebih 30 tahun menekuni dunia hiburan yang membuat namanya mekar subur dalam pelbagai cabang terutama dunia pengacaraan, lakonan, dee jay radio, penerbitan dan nyanyian, figura yang diberi julukan Pengacara Nombor 1 Malaysia ini mencipta sejarah baharu sekaligus merealisasikan impian yang disimpan lama.

Dengan bangga, Pak Nil memperkenalkan penubuhan kumpulan vokal yang menampilkan kekuatan harmoni sebagai identiti utama, hasil cetusan idea beliau yang diberi nama K4LAM.

K4LAM yang dibentuk secara berperingkat bermula Februari 2026 dianggotai oleh gabungan empat lelaki yang dipercayai Pak Nil mampu mengetengahkan konsep terutama eksperimen gabungan AI dan manusia.

Bukan ‘orang asing’, empat pengemudi K4LAM telah memiliki portfolio tersendiri dalam bidang seni kreatif. Mereka adalah Isa Khan, 33, Danny, 22, Zulhilmi Zolkefli, 28, dan Allif Firdaus , 25, yang kesemuanya mendapat bimbingan daripada penerbit berprofil tinggi, AG Coco.

K4LAM juga ditubuhkan hasil pertemuan Pak Nil bersama Isa Khan sebelum Danny, Zulhilmi dan Aliff menyertai kumpulan ini setelah lulus uji bakat terbuka dan disifatkan sesuai dengan konsep yang diketengahkan berasaskan idea besar Pak Nil sebelum AG Coco memberi sentuhan emasnya memperkemas dan mempersiapkan K4LAM dalam pasaran muzik.

Bercerita mengenai idea menggunakan AI lewat karya K4LAM, Pak Nil memberitahu mula mendalami penggunaan AI dalam muzik selepas mempelajari cara membentuk ‘prompt’ yang tepat bagi menghasilkan struktur bunyi, irama dan suasana muzik yang menepati gambaran kreatifnya.

“Bagi saya, AI seperti satu lagi alat dalam dunia muzik. Kita sudah lama menggunakan teknologi untuk membantu menghasilkan muzik. Bezanya sekarang, alat itu semakin pintar dan mampu memberi lebih banyak kemungkinan,” ujar Pak Nil membuka bicara.
Menurutnya, sejarah muzik sendiri memperlihatkan bagaimana teknologi berulang kali mengubah kaedah manusia menghasilkan karya daripada teknologi rakaman, instrumen elektronik dan synthesizer misalnya, kepada produksi muzik berasaskan komputer serta teknologi digital sesuai dengan evolusi muzik.

Justeru, beliau melihat AI sebagai kesinambungan daripada evolusi tersebut, bukannya pengakhiran kepada kreativiti manusia.
“AI ini bukan datang untuk menggantikan manusia. Ia cuma membuka satu lagi ruang untuk manusia mencuba sesuatu yang sebelum ini mungkin mengambil masa atau memerlukan pendekatan yang berbeza.

“AI adalah alat dan yang menentukan bagaimana alat itu digunakan tetap manusia. Apa yang penting bukan semata-mata siapa atau apa yang menghasilkan bunyi itu. Persoalannya bagaimana manusia menggunakan teknologi tersebut dan bagaimana kita bertanggungjawab terhadap hasilnya,” hujahnya lagi.

Maka dengan niat memanfaatkan AI sebagai sebuah eksperimen, AG Coco menyempurnakan hasrat Pak Nil menerusi penghasilan single pertama K4LAM yang diberi judul MUSA.

LIRIK MUSA TERJEMAHAN AL QURAN

Menariknya, pembikinan MUSA lahir dalam ‘bungkusan’ eksplorasi antara kreativiti Pak Nil dan AG Coco yang ‘disandingkan’ dengan bentuk melodi dan irama bersesuaian konsep yang diinginkan.

Lebih mengujakan, lirik MUSA juga mempunyai dimensi kerohanian apabila menggunakan ayat terjemahan al-Quran daripada Surah Taha dan Surah An-Naml.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak pernah menganggap karya tersebut sebagai ciptaan peribadi. Selain sangat memegang erat soal etika sebagai prinsip utama, beliau juga menyentuh tentang pengiktirafan terhadap penerbitan MUSA.

“Saya tidak akan mengakui MUSA adalah lagu ciptaan Pak Nil. Pada saya, soal pengiktirafan itu penting. Kalau kita menggunakan AI dalam proses menghasilkan karya, kita kena jujur tentang bagaimana karya itu terhasil.

“Kalau kita menggunakan AI untuk membantu menghasilkan sesuatu, kemudian kita ambil seluruh kredit dan mengaku ia ciptaan kita, saya rasa itu juga tidak beretika.

“Sebab itu saya tidak pernah dan akan mengakui MUSA adalah lagu ciptaan Pak Nil,” katanya.

Bagaimanapun, proses penghasilan MUSA tetap mempunyai sentuhan manusia dalam aspek produksi dan vokal menerusi kemudi AG Coco sebagai penerbit, manakala rakaman suara K4LAM dilakukan di studio milik beliau, Kamar Seni.

Malah akui Pak Nil, MUSA juga tidak dirancang sebagai karya untuk dipertandingkan. Sebaliknya, beliau melihat ia sebagai sebuah eksperimen kreatif yang cuba mempertemukan teknologi kontemporari dengan mesej yang jauh lebih besar daripada dirinya sendiri.
“Saya tahu mungkin ada yang suka dan mungkin ada yang tidak selesa dengan pendekatan ini. Saya terima dengan berlapang dada.

“Cuma secara peribadi Pak Nil berpendapat, jika teknologi yang ada hari ini boleh kita gunakan untuk membawa seseorang lebih dekat kepada kalam Allah, saya rasa itu sesuatu yang wajar diusahakan,” hujahnya lagi.

K4LAM, dengan demikian juga, bukan sekadar sebuah kumpulan baharu yang mahu memperkenalkan empat suara dalam satu harmoni.

Ia menjadi gambaran bagaimana generasi baharu pencipta karya berhadapan dengan perubahan teknologi iaitu bukan dengan menafikannya. Sebaliknya penggiat seni mula mempelajari, menguji dan pada masa sama memahami batas etika dalam penggunaannya.

Daripada eksperimen itulah lahir MUSA, sebuah karya yang mempertemukan suara manusia, teknologi AI dan ayat terjemahan al-Quran dalam satu percubaan muzik yang cukup berbeza.

Pada akhirnya buat Pak Nil, nilai sebenar eksperimen itu bukan sejauh mana teknologi AI mampu menghasilkan sebuah lagu atau terletak pada siapa yang mendapat kredit, tetapi pada apa yang mungkin tercetus selepas seseorang selesai mendengarnya.

“Kalau selepas dengar MUSA, ada yang rasa ingin buka al-Quran, mencari Surah Taha atau Surah An-Naml dan membaca sendiri, bagi saya itu sudah cukup bermakna,” katanya.

MUSA kini sudah boleh didengari keindahan karyanya dan dinikmati video muzik sejak 26 Ogos 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page