Hazama, Black & Sheila Amzah Gegarkan Star Voyager

Selepas KRU cipta sejarah bawa muzik ke tengah lautan, kini Hazama, Black Hanifah dan Sheila Amzah pula bakal menghangatkan Star Voyager menerusi SUKA Showcase @ Sea.
Selepas kejayaan KRU membawa peminat berlayar sambil menikmati persembahan muzik menerusi STAR KRUise Showcase pada Januari lalu, konsep hiburan di tengah lautan kembali menghangatkan Star Voyager dengan barisan bintang popular tanah air.
Kali ini, giliran Hazama, Black Hanifah dan Sheila Amzah menjadi antara tarikan menerusi Suka Cruise Showcase @ Sea, anjuran Suka Travel & Tours Sdn Bhd (Suka Travel), yang menawarkan pengalaman menggabungkan pelayaran, percutian dan persembahan muzik secara langsung.
Menerusi pelayaran berkenaan, peminat bukan saja berpeluang menyaksikan persembahan artis kegemaran, malah dapat menikmati percutian bersama keluarga dan rakan dalam suasana lebih santai serta eksklusif.
Bagi showcase Hazama dan Black Hanifah, pelayaran dijadualkan bermula dari Port Klang pada 20 Disember 2026, menuju Phuket sebelum kembali ke Port Klang. Persembahan eksklusif kedua-dua penyanyi berkenaan pula dijadualkan berlangsung pada 21 Disember di Zodiac Theatre, Star Voyager.
Menariknya, pakej yang ditawarkan bukan sekadar tiket menonton persembahan kerana penumpang akan berada di atas kapal yang sama sepanjang pelayaran, selain menikmati penginapan kabin, hidangan, kemudahan rekreasi, aktiviti hiburan dan peluang singgah di Phuket.
Pakej ketika ini ditawarkan bermula sekitar RM1,899 seorang, bergantung kepada jenis kabin dan susunan pakej, termasuk caj pelabuhan sebanyak RM400 seorang serta tiket showcase Hazama dan Black.
Bagi Black Hanifah, peluang bergandingan dengan Hazama menjadi antara faktor utama dia menerima tawaran berkenaan, apatah lagi mereka sudah lama berkawan dan mempunyai keserasian tersendiri ketika bekerja.
Black berkata, hubungannya dengan Hazama tidak bermakna mereka ditawarkan sebagai satu pakej kerana kedua-duanya mempunyai pengurusan serta kadar bayaran berbeza.

“Kami bukanlah dibayar dengan harga pakej sebab pengurus pun lain. Harga Hazama dengan saya tidak sama, tetapi apa yang boleh saya katakan, apabila bersama Hazama, perkara paling menyeronokkan ialah mudah untuk bekerja.
“Mengenai bayaran, seperti saya cakap sebelum ini, ia nombor dua. Saya akan tanya kepada pengurus saya, saya buat dengan siapa. Kebanyakan acara memang ada Hazama dan dia pun okey,” katanya ketika ditemui pada sidang media Suka Cruise Showcase @ Sea di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Black, hubungan persahabatannya dengan Hazama sudah terjalin sejak mereka masih bujang, malah sebelum penyanyi itu dikenali seperti hari ini.
“Saya kenal dia sebelum dia dikenali sebagai Hazama yang sekarang. Dulu dia menyanyi sebagai penyanyi latar untuk saya. Saya tahu isi hati dia, cara dia berfikir dan bagaimana dia ikhlas dalam berkawan.
“Kami berkawan sebelum berkahwin, sejak kami bujang. Macam-macam perkara yang kami lalui bersama. Sampailah kami berkahwin, kami tahu perkembangan masing-masing,” katanya.
Black turut mengakui pernah berselisih faham dengan Hazama, namun pengalaman itu menjadikan persahabatan mereka lebih matang. Malah, dia menganggap peluang mengadakan persembahan berdua dengan Hazama sebagai sesuatu yang sudah lama dinantikan.
“Saya tidak pernah mengadakan konsert berdua saja bersama Hazama, jadi ini antara sebab apabila saya dengar ‘partner’ saya Hazama, saya terus kata ya.
“Ini bukan pasal duit. Saya dan keluarga Hazama pun rapat. Dalam industri pun orang akan kaitkan saya dengan Hazama sebab sejak saya keluar daripada program realiti, rakan duet pertama saya adalah Hazama menerusi Drama King.
“Jadi, saya bersetuju sebab Hazama. Selain itu, saya tidak pernah dapat peluang menaiki kapal ini dan kali ini dapat peluang bercuti dan bekerja sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suka Travel, Adam Kamal, berkata idea meneruskan konsep persembahan di atas kapal tercetus susulan permintaan peminat selepas kejayaan STAR KRUise Showcase pada Januari lalu.
Katanya, ramai pelanggan mahukan konsep sama tetapi dengan itinerari lebih pendek dan berlangsung ketika musim cuti sekolah bagi memudahkan penyertaan bersama keluarga serta rakan.
“Kami menerima banyak permintaan daripada peminat selepas kejayaan KRU Showcase pada Januari lalu. Ramai yang mahukan konsep yang sama tetapi dalam itinerari yang lebih pendek dan pada musim cuti sekolah.
“Jadi, kami mengambil kira permintaan tersebut dan mengambil keputusan untuk membawa pula Hazama dan Black ke pentas Star Voyager pada Disember ini,” katanya.

Suka Travel turut melantik 10 Suka Partners terpilih sebagai ejen rasmi jualan bagi Hazama & Black Showcase, selain mempunyai rangkaian lebih 600 Suka Partners di seluruh Malaysia.
Peminat juga berpeluang mendapatkan pakej pelayaran berkenaan menerusi MATTA Fair KL yang akan berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur, dari 3 hingga 5 September ini.
Selain persembahan, penumpang boleh menikmati pelbagai kemudahan di Star Voyager termasuk kolam renang, taman gelongsor air, rope course, zipline, rock climbing dan persembahan di Zodiac Theatre.
Bagi yang mahu meneroka Phuket, penumpang diberi masa kira-kira lapan jam untuk menikmati destinasi berkenaan sebelum kembali ke kapal. Malah, pemegang pas VVIP turut berpeluang bertemu Hazama dan Black menerusi sesi khas yang disediakan.
Sementara itu, nama Sheila Amzah turut menjadi antara tarikan dalam siri pelayaran muzik yang diperkenalkan Suka Travel untuk Disember ini. Kehadiran penyanyi itu tentunya memberi warna berbeza menerusi kekuatan vokal dan pengalamannya mengadakan persembahan di pentas antarabangsa, khususnya dalam pasaran muzik China.
Jika Hazama dikenali dengan vokal bertenaga serta kemampuan bergerak antara genre pop, rock dan balada, manakala Black tampil dengan karakter persembahan lebih bersahaja dan dekat dengan peminat, Sheila pula membawa kekuatan vokal yang tersendiri.
Konsep pelayaran muzik ini secara tidak langsung menawarkan pengalaman berbeza daripada konsert konvensional apabila peminat bukan sekadar hadir selama beberapa jam sebelum pulang.
Sebaliknya, mereka berpeluang meluangkan masa tiga hari dua malam di atas kapal yang sama bersama artis, sambil menikmati muzik, makanan, aktiviti rekreasi dan destinasi percutian.
