SevenBy7 Titip Pesan Buat Anak, Hormati Ibu Ayah

Single sulung ‘Pesan Baginda’ tampil dengan Pop Rock bertenaga, sarat nasihat dan mesej kekeluargaan
Sejauh mana manusia melangkah dalam kehidupan, keberkatan dan kebahagiaan sebenar tetap bermula daripada hubungan dengan ibu bapa.
Berpegang pada prinsip itu, kumpulan baharu SevenBy7 membuka langkah dalam industri muzik tempatan menerusi single sulung berjudul ‘Pesan Baginda’, sebuah karya bergenre Pop Rock yang bukan sekadar menawarkan hiburan, malah sarat dengan mesej kekeluargaan dan nilai keagamaan.
Menariknya, lagu berkenaan mendapat sentuhan komposer berpengalaman, Pakya, bersama penulis lirik Afad Raihan, yang mengangkat kisah mengenai tuntutan menghormati dan mentaati kedua-dua orang tua.
Secara keseluruhannya, ‘Pesan Baginda’ mengingatkan pendengar bahawa cara seseorang melayani ibu dan ayah mempunyai kaitan besar dengan keberkatan hidup serta perjalanan menuju akhirat.
Lagu itu turut mengetengahkan pepatah “Nak kenal bapak, tengoklah anak”, sebagai gambaran bahawa pembentukan akhlak seseorang banyak dipengaruhi oleh didikan dan acuan keluarga sejak kecil.
Menurut Pakya, karya berkenaan dihasilkan dengan harapan supaya mesej yang disampaikan mampu memberi manfaat kepada pendengar dan menjadi panduan dalam kehidupan.
“Semoga lagu ini memberi manfaat dan menjadi penunjuk arah kesejahteraan di dunia dan akhirat, bukan sekadar hiburan semata-mata,” katanya.
Bagi SevenBy7 pula, ‘Pesan Baginda’ mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana menjadi titik permulaan rasmi mereka dalam industri muzik tanah air.
Lebih menarik, kumpulan itu melihat lagu berkenaan bukan sekadar nasihat kepada pendengar, sebaliknya turut menjadi peringatan buat diri mereka sendiri yang masih baharu dalam dunia seni.
“Lagu ini adalah nasihat untuk diri kami dan semua untuk sentiasa menghormati serta membahagiakan ibu ayah yang menjaga kita dari kecil.
“Harapan kami ialah sokongan padu daripada anda semua,” kata wakil SevenBy7.
Dengan pendekatan Pop Rock yang lebih santai dan bertenaga, SevenBy7 berharap ‘Pesan Baginda’ mampu membuktikan bahawa karya berunsur dakwah tidak semestinya disampaikan dalam bentuk yang terlalu serius.
Malah, mereka mahu lagu berkenaan menjadi medium mudah untuk mengingatkan masyarakat, khususnya generasi muda, mengenai pentingnya menghargai pengorbanan ibu bapa.
Kemunculan SevenBy7 turut mendapat sokongan syarikat rakaman Luncai Emas Sdn Bhd yang terbabit dalam sokongan serta pengedaran karya berkenaan.
‘Pesan Baginda’ kini boleh didengarkan menerusi pelbagai platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.
