August 23, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Syasya Rizal Tak Padam Impian, ‘Different’ Jadi Suara Wanita Bergelar Isteri dan Ibu

Spread the love

Bergelar isteri dan ibu bukan alasan untuk Syasya Rizal melupakan impian dalam muzik, sebaliknya menjadi pembakar semangat menghasilkan karya solo terbaharunya, ‘Different’.

Fasa bergelar isteri dan ibu tidak pernah memadamkan impian Syasya Rizal untuk terus berkarya dalam industri muzik.

Sebaliknya, penyanyi itu melihat perubahan keutamaan dalam kehidupan sebagai satu proses yang perlu diraikan, tanpa perlu mengorbankan impian yang selama ini menjadi sebahagian daripada dirinya.

Menerusi single terbaharu berjudul Different, Syasya mahu menyampaikan mesej bahawa wanita tidak seharusnya berasa perlu memilih antara keluarga dan impian sendiri.

“Saya mencurahkan sepenuh hati dalam lagu ini. Mesej utamanya sangat ringkas, saya di sini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi untuk membina laluan saya sendiri.

“Fasa motherhood atau perkahwinan bukanlah penghalang untuk seorang wanita berhenti mengejar impian. Keutamaan kita mungkin berubah, tetapi impian tidak perlu dipadamkan.

“Saya berharap lagu ini dapat memberi peringatan kepada wanita di luar sana bahawa anda boleh terus membesar, berubah dan mengejar impian yang membuatkan anda berasa hidup,” katanya.

Lebih istimewa, Different turut menjadi pengalaman baharu buat Syasya apabila dia mula terlibat dalam proses penulisan lagu.

Mengakui masih baharu dalam bidang berkenaan, Syasya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada pasukan produksi yang memberi ruang untuknya menyuarakan pandangan dan idea secara kreatif.

“Meskipun saya masih baharu dalam bidang penulisan lagu, mereka sangat terbuka mendengar idea dan pandangan saya.

“Suasana kerja yang selesa dan saling menghormati membolehkan saya lebih berani untuk menyuarakan apa yang saya inginkan secara kreatif.

“Semua orang mahukan yang terbaik untuk lagu ini, dan daripada situlah lahirnya ‘Different’,” katanya.

Bagi Syasya, lagu berkenaan bukan sekadar karya baharu untuk diperdengarkan kepada peminat, malah menjadi satu bentuk peringatan bahawa perjalanan mengejar impian tidak mempunyai had usia atau keadaan.

Dia berharap Different dapat memberi tenaga positif kepada pendengar, terutama wanita yang mungkin sedang melalui fasa perubahan dalam kehidupan masing-masing.

“Saya berharap para pendengar dapat menikmati tenaga lagu ini, menari bersama dan memahami mesej di sebaliknya.

“Untuk semua yang telah sabar menanti saya mengeluarkan lagu solo, terima kasih atas kesabaran anda.  Insya-Allah, ini hanyalah permulaan kepada banyak lagi perkara menarik yang akan datang,” katanya.

Different kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page