INSPIRE LIVE ARENA Buka Bab Baharu Industri Hiburan

Daripada Idea Live Arena kepada hab acara serba boleh berkapasiti 5,000 tetamu di IOI Mall Damansara
Selepas lebih setahun mengukuhkan kedudukan menerusi Idea Live Arena, pengurusan venue berkenaan kini membuka lembaran baharu dalam industri hiburan dan acara tempatan menerusi pelancaran rasmi INSPIRE LIVE ARENA, di IOI Mall Damansara, semalam.
Pelancaran yang berlangsung pada 16 Ogos 2026 itu bukan sekadar menandakan perubahan nama dan lokasi, sebaliknya menjadi titik penting kepada evolusi sebuah venue yang mahu bergerak lebih jauh daripada sekadar arena konsert.
Kini diperkenalkan sebagai Multi-Event Entertainment Hub, INSPIRE LIVE ARENA menawarkan ruang serba boleh untuk pelbagai acara termasuk persembahan langsung, konsert, acara korporat, persidangan, pameran, pelancaran produk dan program komuniti.
Dengan kapasiti sehingga 5,000 tetamu, venue itu menyasarkan untuk menjadi antara pilihan utama penganjur yang memerlukan ruang acara fleksibel, khususnya di kawasan Lembah Klang.
Dalam ucapan alu-aluan pada majlis pelancaran, Pengurus Besar INSPIRE LIVE ARENA, Cheah San San, berkata pembukaan venue berkenaan menjadi satu lagi pencapaian penting selepas perjalanan yang dimulakan menerusi Idea Live Arena pada 27 April 2025.

“Daripada Idea Live pada 2025 kepada INSPIRE LIVE ARENA pada 2026, ini bukan sekadar menggambarkan perkembangan kami, tetapi juga komitmen untuk memperluaskan keupayaan dan mewujudkan platform yang lebih versatil untuk industri,” katanya.
Idea Live Arena sebelum ini diperkenalkan di 3 Damansara pada 27 April 2025 dan menjadi antara venue tertutup berskala besar yang terletak dalam kompleks beli-belah. Dengan pengalaman mengendalikan pelbagai acara sejak pembukaannya, venue berkenaan menjadi platform kepada penganjur serta penggiat industri untuk meneroka konsep persembahan dan acara dalam skala lebih besar.
Cheah berkata, pengalaman yang dikumpulkan sepanjang perjalanan itu menjadi asas penting kepada perkembangan seterusnya sehingga membawa kepada kelahiran INSPIRE LIVE ARENA.
“Cerita kami bermula dengan pembukaan rasmi Idea Live Arena pada 27 April 2025. Sejak itu, kami terus mengembangkan pengalaman, mengukuhkan kerjasama dan membina kehadiran dalam industri hiburan serta acara langsung di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, perubahan kepada INSPIRE LIVE ARENA turut membawa visi yang lebih luas dengan memberi tumpuan kepada pelbagai kategori acara, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan pemain industri.
Pendekatan itu menjadikan INSPIRE LIVE ARENA bukan sekadar lokasi untuk persembahan muzik, sebaliknya sebuah ruang yang menghubungkan elemen hiburan, perniagaan, kreativiti dan komuniti.
Pemilihan IOI Mall Damansara sebagai lokasi baharu turut memberi kelebihan dari segi kedudukan strategik di Petaling Jaya dan kawasan Lembah Klang.

Kedudukannya dalam kompleks beli-belah memberi nilai tambah kepada penganjur kerana pengunjung bukan sahaja dapat menghadiri acara, malah mempunyai akses kepada kemudahan serta ekosistem komersial sedia ada di sekitar venue.
Dalam masa sama, pengurusan INSPIRE LIVE ARENA mahu membina hubungan lebih rapat dengan pelbagai pihak termasuk penganjur acara, artis, rakan perniagaan, agensi kerajaan dan komuniti tempatan.
“Kami melihat hari ini sebagai permulaan kepada satu bab baharu. Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan penganjur acara, artis, rakan niaga, agensi kerajaan dan komuniti tempatan untuk menghasilkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan serta memberi sumbangan positif kepada landskap acara dan hiburan Petaling Jaya,” katanya.
Majlis pelancaran rasmi itu turut mendapat perhatian dengan kehadiran Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah binti Sultan Sharafuddin Idris Shah, ACP Shamsudin bin Mamat, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, serta Yang Berhormat Lee Chean Chung, Ahli Parlimen Petaling Jaya, yang hadir sebagai tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Datuk Wira Brian Chow, Group Chief Executive Officer Superstar Arena Holding Sdn Bhd, barisan pengurusan kanan IOI Properties Group, rakan strategik, penganjur acara, penggiat seni, wakil media dan tetamu jemputan.
Pembukaan venue baharu itu hadir pada ketika Petaling Jaya terus berkembang sebagai antara kawasan penting bagi industri hiburan dan acara langsung, selain menjadi sebahagian daripada ekosistem kreatif Lembah Klang.
