“Setiap Orang Ada Magis Masing-Masing” – Yantoi

Di sebalik kegemilangan album-album XPDC, ada tangan-tangan yang tidak pernah berdiri di hadapan pentas. Bagi Yantoi, merekalah ‘magis’ sebenar yang menjadikan setiap karya terus hidup sehingga hari ini.
Kredit Foto: PapaDin
Ada sesuatu yang tidak pernah berubah dalam dunia muzik rock. Bukan bunyi petikan gitar, bukan juga dentuman dram atau lenggok vokal yang menjadi siulan ramai. Sebaliknya, ia adalah keserasian sekumpulan manusia yang berkongsi impian sama untuk menghasilkan karya terbaik.
Itulah yang cuba disampaikan pemain bass berpengalaman, Amran Marsiman atau lebih dikenali sebagai Yantoi, apabila diminta mengimbau perjalanan panjangnya bersama beberapa nama besar dalam industri muzik tanah air.
Baginya, ramai hanya melihat siapa yang berdiri di hadapan pentas, tetapi tidak semua mengetahui ada begitu ramai insan di belakang tabir yang menyumbang jiwa, masa dan kreativiti demi melahirkan sebuah album yang akhirnya menjadi malar segar.
“Sebenarnya setiap orang ada magis masing-masing. Ada yang menyumbang idea, ada yang menulis lirik, ada yang menyusun muzik dan ada yang meniup semangat ketika proses rakaman berlangsung. Gabungan semua magis itulah yang menjadikan karya XPDC terus hidup sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui di Odeon Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagi Yantoi, muzik bukanlah perjalanan seorang individu. Ia sentiasa lahir daripada sebuah keluarga yang saling melengkapi.
Sebab itu, setiap kali nama XPDC disebut, fikirannya bukan hanya tertumpu kepada anggota kumpulan itu, tetapi turut mengingati nama-nama besar seperti J.S. Kevin, Loloq, Izo, Amy, Allahyarham Mael, Zuar serta ramai lagi yang pernah meninggalkan sentuhan tersendiri dalam pembikinan album-album legenda.
Masing-masing datang dengan kelebihan berbeza, namun apabila digabungkan, lahirlah karya yang masih bergema sehingga hari ini. Mengimbau perjalanan awalnya sebagai pemuzik undangan, Yantoi mengakui kehidupannya banyak dihabiskan di studio rakaman.

Di situlah beliau belajar bahawa menghasilkan sebuah album bukan sekadar merakam lagu, sebaliknya proses menyatukan idea daripada pelbagai individu yang mempunyai citarasa dan pendekatan berbeza.
“Dalam studio kita belajar menghormati pandangan orang lain. Kadang-kadang idea yang paling kecil itulah yang akhirnya menjadikan sesebuah lagu lebih hebat,” katanya.
Pengalaman itu kemudian membuka jalan apabila beliau mula terbabit secara langsung dalam pembikinan album-album penting XPDC seperti Kita Peng Yu, Brutal, Samurai dan V6.
Bagi Yantoi, setiap album membawa cerita tersendiri, namun satu perkara yang sentiasa menjadi pegangan ialah keikhlasan semua pihak yang terbabit.
“Karya yang dibuat dengan hati akan kekal hidup. Sebab itu lagu-lagu XPDC masih diminati walaupun sudah merentasi beberapa generasi,” katanya.
Menariknya, selepas bertahun-tahun membawa haluan masing-masing, muzik sekali lagi menemukan Yantoi dengan ramai sahabat lama.
Pertemuan bersama Man Keedal mengembalikan memori ketika mereka bergandingan dengan Allahyarham Samad dan Man Dayak dalam perjalanan muzik Lefthanded.
Tidak lama kemudian, beliau bertemu pula dengan Nash di Legend Rock Cafe, lokasi yang disifatkannya sebagai tempat yang menyatukan kembali ramai figura rock tanah air.
“Bila kami berjumpa semula, semuanya sudah lebih matang. Seronok dapat duduk semeja, berkongsi cerita dan menghasilkan muzik seperti dulu.
“Bagi saya, ini bukan sekadar menghasilkan lagu, tetapi mengeratkan semula persahabatan yang sudah lama terjalin,” katanya.
Yantoi mengakui usia banyak mengajar dirinya untuk lebih menghargai setiap detik bersama rakan-rakan seperjuangan. Katanya, setiap manusia pasti pernah melakukan kesilapan, namun masa turut mengajar mereka untuk saling memaafkan dan menghargai peluang kedua.

“Saya percaya semua yang berlaku adalah ketentuan Allah. Yang penting, hari ini kami masih diberi peluang untuk berkumpul semula. Bagi saya, muziklah yang menyatukan kami kembali,” katanya penuh makna.
Bercakap mengenai kepuasan sebagai seorang pemuzik, Yantoi tidak pernah meletakkan populariti sebagai ukuran utama. Baginya, saat paling indah ialah apabila setiap note yang dimainkan lahir daripada hati yang jujur dan berjaya sampai ke hati pendengar.
“Bila kita bermain dengan hati, orang di bawah pentas akan dapat merasainya. Itulah kepuasan paling besar sebagai seorang pemuzik,” katanya.
Mungkin itulah ‘magis’ sebenar yang dimaksudkan Yantoi. Magis yang tidak mampu dibeli dengan wang, tidak boleh dipelajari dalam sehari dan tidak pernah lapuk ditelan zaman. Kerana dalam dunia muzik, karya yang lahir daripada keikhlasan akan sentiasa menemui jalan pulang ke hati pendengarnya.
