July 25, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

“Bila Terima Pelawaan Itu, Saya Terus Sebak” – Marsha Milan

Spread the love

Impian berduet dengan Pasha yang sekian lama hanya disimpan dalam hati akhirnya menjadi kenyataan, bakal kongsi pentas bersama Ungu sempena konsert ulang tahun ke-30 kumpulan legenda Indonesia itu di Kuala Lumpur.

Demikian reaksi spontan penyanyi Marsha Milan sebaik dimaklumkan bakal berkongsi pentas dengan kumpulan legenda Indonesia, Ungu, pada konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur, 5 September depan.

Bagi Marsha, jemputan itu bukan sekadar memenuhi jadual persembahan, sebaliknya merealisasikan satu impian yang selama ini hanya dipendam dalam hati.

Rupa-rupanya, detik itu pernah dibayangkan penyanyi berusia 40 tahun itu ketika menyaksikan vokalis Ungu, Pasha membuat persembahan di pentas Gegar Vaganza (GV).

“Sejujurnya, ketika Pasha membuat persembahan di GV baru-baru ini, saya berada dalam kalangan penonton. Waktu itu saya hanya terfikir dalam hati, alangkah indahnya kalau suatu hari nanti saya dapat berkongsi pentas dan menyanyikan lagu duet bersama Pasha.

“Bila menerima pelawaan ini, saya terus sebak. Saya tak sangka impian kecil yang saya simpan selama ini akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.

Marsha berkata, peluang berdiri di pentas sama dengan antara kumpulan paling berpengaruh di Nusantara itu membawa makna yang cukup besar dalam perjalanan seninya.

Katanya, lagu-lagu Ungu bukan asing buat dirinya kerana membesar bersama karya-karya malar segar kumpulan itu yang sehingga kini masih menjadi siulan ramai.

“Bila orang sebut Ungu, terus datang macam-macam kenangan. Lagu mereka menjadi lagu cinta, lagu putus cinta, malah dimainkan pada majlis perkahwinan. Saya percaya ramai yang melalui pelbagai fasa kehidupan dengan ditemani lagu-lagu mereka, termasuk saya sendiri,” katanya.

Juara Anugerah Juara Lagu itu berkata, meskipun kini sedang memberi tumpuan kepada persiapan Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40), dia tetap berazam memberikan persembahan terbaik pada malam bersejarah itu.

“Kedua-dua pentas ini sangat penting buat saya. Buat masa sekarang saya fokus kepada AJL dahulu, tetapi sebaik selesai nanti, saya akan memberikan sepenuh perhatian kepada persiapan konsert bersama Ungu,” katanya.

Menurut Marsha, dia masih memilih lagu yang bakal dipersembahkan secara solo, manakala pemilihan lagu duet diserahkan sepenuhnya kepada Ungu.

“Saya mahu membawa beberapa lagu saya sendiri pada malam itu. Untuk lagu duet pula, saya serahkan kepada Ungu. Mereka mempunyai terlalu banyak lagu ikonik dan saya yakin apa sahaja pilihan mereka pasti akan menjadi sesuatu yang istimewa,” katanya.

Mengulas mengenai persembahannya nanti, Marsha berharap dapat membawa penonton menyelami perjalanan emosi yang pernah dilalui bersama lagu-lagu Ungu.

“Saya mahu penonton bukan sekadar menonton persembahan, tetapi sama-sama menyanyi, mengimbau kenangan dan menikmati setiap emosi yang pernah mereka lalui bersama lagu-lagu Ungu.

“Insya-Allah, saya harap malam itu akan menjadi malam yang penuh memori buat semua,” katanya.

Lebih istimewa, konsert sempena ulang tahun ke-30 Ungu itu turut menyaksikan kumpulan berkenaan bakal mempersembahkan sebuah lagu baharu buat kali pertama, selain menyampaikan rangkaian lagu hits yang mengangkat nama mereka di seluruh Nusantara.

Sementara itu, Pengarah Konsert COMs. Creative Studio, Zairul Addry Helmy, berkata pemilihan Marsha dibuat kerana percaya penyanyi itu memiliki kekuatan vokal dan kemampuan menyampaikan emosi yang mampu melengkapkan persembahan Ungu.

“Marsha mempunyai vokal yang cukup hebat dan mampu menyentuh hati penonton. Kami percaya kolaborasi ini akan menjadi antara momen paling bermakna sepanjang konsert nanti,” katanya.

Mengakhiri perbualan, Marsha berharap peminat tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert itu yang kini hampir mencatatkan jualan tiket penuh.

“Masih ada sedikit tiket yang tinggal. Jangan tunggu lama kerana saya sendiri sudah tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan Ungu dan mencipta malam yang pasti sukar dilupakan bersama semua peminat,” katanya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page