July 22, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Indiescovery Buktikan Muzik Alternatif Masih Bernyawa

Spread the love

Butterfingers, Bittersweet, Masdo Dan Bunkface Tampil Mengubat Rindu Peminat Dalam Konsert Yang Menyatukan Evolusi Muzik Alternatif Malaysia

Konsert Indiescovery 2026 akhirnya menjadi kenyataan apabila menghimpunkan empat nama besar muzik alternatif tempatan iaitu Butterfingers, Bittersweet, Bunkface dan Masdo di Zepp Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu.

Anjuran RR Music Entertainment itu bukan sekadar mempertemukan empat kumpulan dalam satu pentas, malah menjadi simbol perjalanan muzik alternatif Malaysia yang berkembang merentasi lebih dua dekad, daripada era rock alternatif 90-an sehingga gelombang indie dan pop punk yang membentuk cita rasa generasi hari ini.

Keistimewaan konsert ini terletak pada barisan artis yang mewakili zaman berbeza. Butterfingers menjadi lambang kebangkitan rock alternatif era 90-an, Bittersweet pula sinonim dengan ledakan muzik indie sekitar awal 2000-an, Bunkface mewakili gelombang pop punk yang pernah menguasai radio tempatan, manakala Masdo membawa nafas retro moden yang berjaya menarik perhatian generasi baharu.

Malam bermula dengan kemunculan Noise sebagai pembuka tirai. Walaupun sekadar bertindak sebagai pemanas pentas, mereka berjaya menaikkan mood penonton menerusi beberapa lagu popular daripada kumpulan yang bakal membuat persembahan. Kehadiran mereka juga memberi isyarat bahawa landskap muzik tempatan masih subur dengan kemunculan bakat baharu.

Masdo kemudian membuka tirai persembahan utama dengan penuh bergaya. Identiti retro yang menjadi kekuatan mereka segera menguasai suasana apabila lagu seperti Dinda, Janji Manis dan Teruna dan Dara mengundang nyanyian beramai-ramai daripada penonton.

Karisma setiap anggota serta interaksi santai bersama peminat menjadikan persembahan mereka terasa cukup dekat. Lebih menarik apabila mereka turut memperkenalkan single baharu, Teristimewa, sekali gus membuktikan Masdo tidak hanya bergantung kepada nostalgia, sebaliknya terus menghasilkan karya segar yang relevan dengan citarasa semasa.

Suasana kemudian berubah lebih emosional apabila Bittersweet mengambil alih pentas. Lagu-lagu seperti Capital E, Kucing Hitam dan A Perfect Match membawa penonton kembali ke era kebangkitan muzik indie tempatan yang pernah berkembang melalui sokongan komuniti dan peminat sendiri.

Walaupun persembahan mereka lebih sederhana dari sudut visual, kekuatan melodi dan emosi yang dibawa nyata cukup mengesankan.

Satu insiden yang mencemaskan berlaku apabila vokalisnya, Hafizan Razali atau Fizan, terjatuh dari pentas ketika sedang membuat persembahan. Namun beliau pantas bangkit dan meneruskan nyanyian tanpa menjejaskan momentum persembahan, sekali gus menerima tepukan gemuruh daripada penonton yang menghargai semangat profesionalnya.

Sorakan paling kuat malam itu hadir sebaik Butterfingers muncul di pentas.

Aura kumpulan legenda itu masih utuh apabila lagu Skew bergema di seluruh dewan. Emmett terus mempamerkan vokal yang menjadi identiti Butterfingers, manakala permainan gitar Loque membangkitkan semula karakter rock alternatif yang pernah meletakkan mereka sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam sejarah muzik tempatan.

Apa yang menarik, karya-karya Butterfingers tidak hanya bergantung kepada faktor nostalgia. Susunan muzik dan tenaga persembahan mereka masih kedengaran segar serta berjaya menghubungkan peminat lama dengan generasi baharu yang mungkin hanya mengenali nama mereka melalui platform penstriman digital.

Sebagai penutup, Bunkface memastikan malam itu berakhir dengan ledakan tenaga.  Lagu seperti Situasi, Ekstravaganza, Darah Muda dan Revolusi mengubah Zepp Kuala Lumpur menjadi sebuah koir besar apabila ribuan penonton menyanyikan setiap bait lagu bersama-sama.

Kemuncak persembahan berlaku apabila Sam turun dari pentas menyapa peminat sebelum menjemput seorang penonton naik ke atas pentas untuk menyanyikan Rentak Laguku bersama-sama. Momen spontan itu menjadi antara detik paling manis sepanjang konsert dan membuktikan kekuatan sebenar Bunkface bukan sekadar pada muzik, tetapi hubungan erat yang dibina bersama peminat.

Dari aspek penganjuran, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. Konsert bermula kira-kira 30 minit lewat daripada jadual asal, manakala proses pertukaran peralatan antara setiap kumpulan mengambil masa agak panjang sehingga sedikit mengganggu momentum persembahan.

Bagaimanapun, kelewatan itu berjaya dikurangkan kesannya menerusi celoteh pengacara Bob Ringgo yang bijak menghidupkan suasana sepanjang tempoh transisi. Paling penting, setiap kumpulan tetap diberikan tempoh persembahan yang sewajarnya tanpa perlu mengorbankan senarai lagu masing-masing.

Hakikatnya, kekuatan sebenar Indiescovery 2026 bukan hanya terletak pada barisan artis yang tampil, tetapi kemampuan konsert ini menghimpunkan pelbagai generasi dalam satu ruang. Ada yang hadir membesar bersama Butterfingers, ada yang melalui zaman remaja dengan Bittersweet dan Bunkface, manakala generasi lebih muda pula menjadikan Masdo sebagai pintu masuk mereka kepada muzik tempatan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page