Ismail Izzani buka lembaran baharu dengan single ‘ONE ON ONE’

Penyanyi dan penulis lagu Ismail Izzani kembali dengan single terbaharunya berjudul ONE ON ONE, yang menjadi pembuka jalan kepada album penuh beliau yang dijadual dilancarkan tahun ini.
Diterbitkan oleh Universal Music Malaysia, lagu ciptaan dan terbitan ALYPH itu mengangkat tema cinta yang sederhana tetapi penuh makna, dengan mengisahkan keinginan untuk meluangkan masa bersama insan tersayang tanpa gangguan dunia luar.
Menurut Ismail, ONE ON ONE menggambarkan detik paling berharga apabila dua insan berkongsi ruang, masa dan perasaan sehingga menjadikan hubungan mereka lebih bermakna.
“Lagu ini sangat straightforward. Ia tentang seseorang yang kita benar-benar sayang dan bagaimana kita hanya mahu meluangkan masa bersamanya, walaupun hanya untuk seketika. Bila bersama orang itu, rasa macam dunia berhenti sekejap dan hanya tinggal kita berdua,” katanya dalam satu kenyataan.
Single itu turut menyaksikan kerjasama sekali lagi antara Ismail dan ALYPH yang sebelum ini pernah menghasilkan beberapa karya bersama.
Bagaimanapun, Ismail berkata proses penerbitan kali ini lebih istimewa kerana mereka mempunyai lebih banyak masa untuk membangunkan idea dan menghasilkan lagu secara organik.

“Setiap kali masuk studio dengan ALYPH, kami bukan hanya berbual tentang muzik. Kami banyak berkongsi cerita tentang kehidupan dan perkara-perkara peribadi. Hubungan yang rapat itu menjadikan proses menghasilkan lagu lebih mudah dan jujur.
“‘ONE ON ONE’ lahir daripada sesi brainstorming kami bersama, dan saya rasa itu yang menjadikan lagu ini lebih dekat dengan diri saya,” katanya.
Mengulas mengenai persamaan yang dikaitkan dengan lagu-lagu awalnya seperti Bidadari, penyanyi berusia 26 tahun itu berkata beliau tidak berniat mengulangi kejayaan lalu, sebaliknya mahu memperkenalkan identiti muzik yang lebih matang.
“Saya tak mahu orang membandingkan lagu ini dengan karya-karya saya sebelum ini. Setiap lagu mempunyai cerita dan tempatnya yang tersendiri.
“Bagi saya, ‘ONE ON ONE’ adalah permulaan kepada fasa baharu. Ia memberi gambaran tentang vibe dan arah muzik yang saya ingin bawakan menerusi album akan datang,” katanya.
Menurut Ismail, ONE ON ONE turut mempunyai nilai sentimental kerana menjadi lagu pertama yang dipilih untuk dimuatkan dalam album baharunya, sekali gus menjadi titik permulaan kepada projek yang telah lama dirancang bersama pasukannya.
Beliau berharap peminat dapat menerima evolusi muzik yang dibawakan serta terus memberikan sokongan menjelang pelancaran album penuh itu.
“Saya harap semua orang boleh rasa vibe lagu ini dan menikmatinya. Saya juga harap mereka terus bersabar kerana saya dan seluruh pasukan sedang bekerja keras untuk menyiapkan album ini. Insya-Allah, banyak perkara menarik sedang menanti,” katanya.
ONE ON ONE kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman digital.
