‘Pria Terhebat’ Satukan Sal Priadi Dan Raim Laode Di SICC Oktober Ini

Selepas dua edisi berjaya menghimpunkan pencinta muzik, Sembang Kari Entertainment kembali menghidupkan pentas Melodi Malam menerusi edisi ketiga yang menjanjikan malam sarat emosi apabila dua penyanyi sensasi Indonesia, Sal Priadi dan Raim Laode, berkongsi pentas buat pertama kali di Sabah.
Konsert Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat dijadual berlangsung pada 2 Oktober depan, jam 8 malam di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, sekali gus menjadi medan pertemuan istimewa dua figura yang cukup sinonim dengan lagu-lagu puitis dan menyentuh hati.
Bagi Sal Priadi, peluang mengadakan persembahan di Kota Kinabalu adalah impian yang sudah lama dinantikan selepas sering mendengar kehangatan sokongan peminat muzik di negeri itu.

“Saya sentiasa mendengar betapa hangatnya sambutan peminat muzik di Sabah. Akhirnya peluang itu tiba dan saya sangat teruja untuk bertemu mereka. Saya berharap kita dapat menyanyi bersama dan berkongsi malam yang penuh emosi serta kenangan indah,” katanya.
Turut berkongsi keterujaan ialah Raim Laode yang melihat konsert berkenaan sebagai peluang terbaik untuk lebih dekat dengan peminat di Malaysia.

“Muzik sentiasa menjadi medium yang menyatukan hati dan perasaan. Saya berharap setiap lagu yang dipersembahkan nanti dapat mencipta memori indah bersama peminat di Kota Kinabalu. Terima kasih kerana sentiasa memberikan sokongan kepada karya-karya saya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Teknikal Sembang Kari Entertainment, Alif Rafiq berkata, Melodi Malam 3.0 bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah pengalaman yang meraikan hubungan antara artis dan peminat menerusi karya-karya yang dekat di hati.
“Melodi Malam 3.0 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah pengalaman muzik yang menghubungkan artis dan peminat dalam suasana yang lebih dekat dan bermakna. Kami yakin gabungan Sal Priadi dan Raim Laode mampu memberikan persembahan yang akan dikenang oleh semua yang hadir.
“Sabah sentiasa mempunyai komuniti pencinta muzik yang luar biasa. Melalui Melodi Malam 3.0, kami berharap dapat menghadiahkan satu malam yang penuh emosi, nostalgia dan kenangan buat semua yang hadir. Kami mengajak orang ramai mendapatkan tiket lebih awal kerana kami menjangkakan sambutan yang sangat menggalakkan,” katanya.
Konsert itu menawarkan satu kategori tiket sahaja iaitu Pria Terhebat pada harga RM229. Tiket kini sudah mula dijual menerusi platform Ticket Empire.

Dengan gabungan dua penyanyi yang terkenal menerusi karya-karya beremosi, Melodi Malam 3.0 dijangka menjadi antara konsert paling dinantikan peminat muzik Nusantara di Sabah tahun ini.
