July 10, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Industri Kreatif Rayu Kerajaan Mansuh Cukai Hiburan

Spread the love

Persatuan Industri Dakwa Duti Hiburan Tingkat Kos Penganjuran, Bebankan Pengguna Dan Jejaskan Daya Saing Malaysia Menarik Acara Bertaraf Dunia

Selepas lebih tujuh dekad menjadi sebahagian daripada landskap percukaian negara, Akta Duti Hiburan 1953 kini kembali menjadi sasaran apabila pemain industri kreatif menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memansuhkannya kerana disifatkan tidak lagi selari dengan perkembangan industri hiburan moden.

Mereka berpandangan cukai yang dikenakan ke atas pelbagai acara berbayar bukan sahaja menyebabkan harga tiket semakin mahal, malah mengurangkan daya saing Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan penganjuran konsert antarabangsa, festival, teater, muzikal serta pelbagai acara seni.

Penasihat Kanan Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALife), Rizal Kamal berkata, persoalan yang wajar ditanya ketika ini bukan lagi sama ada akta berkenaan sudah lapuk, sebaliknya mengapa negara masih bergantung kepada undang-undang yang diperkenalkan sejak era penjajahan.

“Hiburan hari ini bukan lagi satu kemewahan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat, rekreasi keluarga, pemangkin pelancongan dan penyumbang penting kepada ekonomi kreatif negara,” katanya.

Menurut beliau, masih ramai menyangka cukai hiburan hanya dikenakan terhadap konsert antarabangsa berskala besar, sedangkan hakikatnya hampir semua acara berbayar termasuk teater, muzikal, persembahan komedi, festival seni dan konsert artis tempatan turut tertakluk kepada cukai itu.

Katanya, situasi itu paling dirasai penggiat seni di peringkat akar umbi termasuk pemuzik bebas, pelawak baharu dan syarikat teater kecil yang bergantung kepada harga tiket mampu milik bagi menarik penonton.

Beliau turut membangkitkan isu kadar cukai yang berbeza mengikut negeri selain proses kelulusan dan pentadbiran yang tidak seragam sehingga menyukarkan penganjur merancang jelajah persembahan ke bandar berpotensi seperti Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan Ipoh.

“Pendekatan yang berpecah-pecah ini meningkatkan kos operasi, menghalang jelajah domestik dan mengehadkan pertumbuhan ekosistem persembahan secara langsung di Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, ALife memuji langkah kerajaan Persekutuan yang mengecualikan duti hiburan bagi persembahan antarabangsa sehingga 2028, sambil menyifatkan dasar itu berjaya merangsang pertumbuhan industri serta memberi limpahan ekonomi terutama di Kuala Lumpur.

Menurut Rizal, insentif sama sewajarnya diperluaskan ke seluruh negara bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan menggalakkan lebih banyak acara bertaraf antarabangsa dianjurkan di Malaysia.

Katanya, berdasarkan pemodelan industri, pemansuhan cukai hiburan mampu menggandakan jumlah acara langsung dalam tempoh dua tahun, selain meningkatkan kehadiran penonton dan menjana hasil kerajaan menerusi aktiviti ekonomi yang lebih luas.

Sementara itu, gabungan Industries Unite yang mewakili kira-kira 3.3 juta perniagaan turut menggesa kerajaan menyemak semula Akta Duti Hiburan 1953 yang disifatkan semakin membebankan industri.

Jurucakapnya, Datuk David Gurupatham berkata, cukai hiburan yang boleh mencecah sehingga 33 peratus termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akhirnya dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga tiket.

“Kos menjalankan perniagaan meningkat dengan ketara. Ia bukan sahaja memberi tekanan kepada pemain industri, malah menjejaskan sektor pelancongan, artis tempatan dan kelangsungan syarikat hiburan,” katanya pada sidang media yang telah berlangsung di PJPAC pada 8 Julai lalu.

Presiden Persatuan Taman Tema dan Tarikan Keluarga Malaysia (MATFA), Tan Sri Richard Koh pula menyifatkan undang-undang berusia 73 tahun itu tidak lagi sesuai dengan realiti semasa kerana kini kebanyakan aktiviti dikenakan cukai adalah berteraskan rekreasi keluarga.

“Mengapa kita mengenakan cukai terhadap kegembiraan keluarga dan senyuman kanak-kanak? Hiburan keluarga tidak sepatutnya dianggap sebagai satu kemewahan,” katanya.

Beliau turut mendakwa Malaysia antara negara yang mengenakan cukai hiburan paling tinggi di rantau ini, sedangkan negara seperti Singapura dan Hong Kong sudah lama memansuhkan cukai berkenaan.

Pandangan sama dikongsi Penasihat Persatuan Pengurusan Kompleks Beli-Belah Malaysia (PPK), Tan Sri Teo Chiang Kok yang berkata hiburan dan rekreasi kini menjadi komponen utama dalam pembangunan pusat beli-belah moden.

Menurutnya, ruang hiburan kini merangkumi sehingga 30 peratus daripada keseluruhan ruang komersial pusat beli-belah berbanding hanya sekitar lima peratus 15 tahun lalu.

Beliau berkata, pemansuhan cukai hiburan bukan sahaja mampu menarik lebih banyak pelaburan serta acara antarabangsa, malah meningkatkan perbelanjaan pelancong dan menjana pulangan ekonomi yang jauh lebih besar berbanding hasil cukai yang dikutip ketika ini.

Gesaan pelbagai pihak itu sekali gus membuka semula perdebatan sama ada Akta Duti Hiburan 1953 masih wajar dikekalkan atau sudah tiba masanya ia digantikan dengan dasar percukaian yang lebih selari dengan aspirasi ekonomi kreatif negara.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page