Three Man Down Akhirnya Temui Peminat Malaysia

Lagu Mereka Menjadi Peneman Jutaan Pendengar, Kini Kumpulan Rock Sensasi Thailand Itu Bakal Mencipta Sejarah Menerusi Konsert Sulung Di Kuala Lumpur Pada 5 September Ini
Ada kalanya muzik tidak memerlukan bahasa untuk menyatukan manusia. Cukup dengan melodi yang menyentuh hati dan lirik yang lahir daripada emosi, ia mampu merentasi sempadan negara, budaya dan bahasa. Itulah magis yang dimiliki kumpulan rock terkenal Thailand, Three Man Down.
Selepas bertahun-tahun mencipta fenomena di negara sendiri dan mengumpul jutaan peminat di seluruh Asia Tenggara, impian peminat Malaysia akhirnya bakal menjadi kenyataan apabila kumpulan itu mengadakan konsert sulung mereka di negara ini menerusi Three Man Down Live in Kuala Lumpur, pada 5 September 2026 di ODEON KL.
Lebih istimewa, konsert anjuran YOLO Malaysia itu bukan sekadar persembahan pertama Three Man Down di Malaysia, malah menjadi simbol kepada hubungan yang semakin kukuh antara industri muzik Thailand dan peminat tempatan yang selama ini setia mengikuti perjalanan seni mereka.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Three Man Down berkembang daripada sebuah kumpulan indie kepada antara nama paling besar dalam industri muzik Thailand. Lagu-lagu mereka bukan sahaja mendominasi carta penstriman digital dengan ratusan juta pendengaran, malah setiap konsert yang dianjurkan sering menerima sambutan luar biasa sehingga tiket habis dijual dalam masa singkat.
Populariti mereka bukan sekadar bersandarkan angka. Kualiti muzik dan persembahan pentas yang bertenaga turut diiktiraf menerusi pelbagai anugerah berprestij termasuk JOOX Thailand Music Awards, The Guitar Mag Awards, Kazz Awards dan LINE Thailand People’s Choice Awards, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam generasi muzik moden Thailand.
Kini giliran peminat Malaysia pula menjadi sebahagian daripada perjalanan istimewa itu. Malam 5 September nanti dijangka dipenuhi lautan suara apabila ribuan peminat menyanyikan bersama lagu-lagu popular seperti Fon Tok Mai, Tha Ther Chan Jing, Khang Kan, Pleng Rak serta beberapa lagi karya yang begitu dekat di hati peminat di seluruh Asia.
Kehangatan konsert itu sudah mula dirasai apabila sambutan terhadap jualan tiket jauh mengatasi jangkaan penganjur.
Kategori Premium Seats dan CAT 2 dilaporkan telah habis terjual, membuktikan betapa besarnya penantian peminat untuk menyaksikan Three Man Down beraksi secara langsung buat pertama kali di Malaysia. Lebih mengujakan kini hanya tinggal beberapa kategori tiket dengan jumlah yang semakin terhad.
Bagi Ib Harun dari YOLO Malaysia, kejayaan jualan awal itu membuktikan bahawa peminat tempatan sudah lama menantikan detik bersejarah ini.
“Konsert ini sudah lama berada dalam perancangan kami. Kami sentiasa melihat sokongan luar biasa yang diberikan peminat Malaysia terhadap Three Man Down dan membawa mereka ke sini buat kali pertama adalah sesuatu yang sangat bermakna.
“Sambutan yang diterima benar-benar melebihi jangkaan kami. Kami kini memberi sepenuh tumpuan untuk memastikan setiap peminat menikmati pengalaman konsert yang akan dikenang untuk tempoh yang sangat lama,” katanya.
Sementara itu, wakil YOLO Thailand, Nam Warunnasorn, menyifatkan konsert berkenaan sebagai titik permulaan kepada misi lebih besar untuk memperkukuhkan hubungan industri hiburan Thailand dan Malaysia.
“Malaysia sentiasa menjadi pasaran yang kami yakini. Kami melihat bagaimana peminat di sini menerima muzik, budaya dan hiburan Thailand dengan penuh keterbukaan. Sambutan terhadap Three Man Down mengesahkan lagi keyakinan kami bahawa masih banyak peluang yang boleh diterokai.
“Konsert ini hanyalah permulaan. Kami berharap dapat membawa lebih ramai artis Thailand yang mempunyai kelompok peminat yang besar di Malaysia untuk mengadakan persembahan di sini.
“Kami mahu membina jambatan yang lebih kukuh antara industri hiburan kedua-dua negara agar lebih banyak pengalaman konsert berkualiti dapat dinikmati oleh peminat pada masa akan datang,” katanya.
Melihat kepada sambutan luar biasa yang diterima setakat ini, satu perkara pasti Three Man Down Live in Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah konsert.

Ia adalah detik yang menandakan bermulanya hubungan lebih erat antara salah satu kumpulan rock terbesar Thailand dengan ribuan peminat Malaysia yang akhirnya berpeluang menyanyi, bersorak dan berkongsi emosi di bawah satu bumbung buat kali pertama.
Peminat yang masih belum mendapatkan tiket dinasihatkan berbuat demikian segera kerana hanya baki tiket bagi beberapa kategori sahaja masih ditawarkan menerusi yoloasia.com.
