July 1, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

‘Buruk Siku’ Demi Istana Menanti, Awie Akhirnya Tunaikan Impian 30 Tahun Bersama M. Nasir

Spread the love

Lagu yang asalnya dicipta untuk Awie akhirnya kembali ke pangkuan penyanyi itu menerusi duet istimewa bersama M. Nasir dalam Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4, Sabtu ini.

Ada impian yang mengambil masa puluhan tahun untuk menjadi kenyataan. Bagi legenda rock tanah air, Datuk Awie, penantian hampir tiga dekad akhirnya bakal berakhir apabila diberi peluang menyampaikan lagu Istana Menanti bersama penciptanya, Dato’ M. Nasir, dalam Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 di Unifi Arena, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Lebih mengujakan, persembahan itu bukan sekadar sebuah kolaborasi biasa, sebaliknya menjadi penutup kepada kisah yang tersimpan sejak penghujung era 1980-an apabila lagu berkenaan sebenarnya pernah ditulis khas untuk Awie.

Menurut Awie, tidak ramai mengetahui bahawa Istana Menanti pada asalnya dicipta sebagai lagu runut bunyi filem Fenomena dengan dirinya sebagai penyanyi.

Namun, disebabkan beberapa kekangan ketika itu, lagu berkenaan akhirnya diberikan kepada individu lain, sekali gus menyebabkan impiannya untuk merakamkan karya ciptaan M. Nasir itu tidak pernah menjadi kenyataan.

“Memang saya yang minta sendiri kepada Datuk M. Nasir supaya dapat menyanyikan semula lagu itu dalam konsert ini.

“Dulu lagu itu sebenarnya untuk saya, tetapi akhirnya bertukar tangan. Jadi kali ini bolehlah saya kata saya ‘buruk siku’. Saya ambil balik lagu itu,” katanya sambil ketawa ketika ditemui pada sesi latihan konsert berkenaan di Sungai Buloh pada 30 Jun lalu.

Di sebalik gurauan itu, tersimpan rasa syukur dan penghargaan yang mendalam kerana akhirnya diberi peluang menyampaikan lagu yang begitu dekat di hatinya.

Lebih bermakna, Istana Menanti akan dipersembahkan secara duet bersama M. Nasir sendiri, insan yang dianggapnya sebagai guru pertama yang membentuk perjalanan karier nyanyiannya.

“Saya sangat teruja apabila dijemput menyertai konsert ini. Guru pertama yang mengajar saya menyanyi ialah Datuk M. Nasir.  Jadi dapat berkongsi pentas dengan beliau dan menyanyikan lagu ini bersama-sama memang sesuatu yang sangat istimewa buat saya,” katanya.

Bagi peminat muzik tempatan, persembahan berkenaan pastinya menjadi antara momen paling dinantikan pada malam konsert kerana bukan sahaja menyatukan dua figura besar industri muzik, malah melengkapkan sebuah kisah yang tertangguh selama hampir 30 tahun.

Sementara itu, M. Nasir berkata, segala persiapan menuju malam konsert kini berada pada fasa akhir dengan latihan intensif sudah dijalankan sejak beberapa minggu lalu.

Menurut maestro berusia 68 tahun itu, beliau bersama barisan pemuzik dan pasukan produksi kini hanya memperhalusi setiap segmen bagi memastikan persembahan yang disajikan benar-benar mencapai standard yang diinginkan.

“Bagi saya, soal keterujaan itu memang sentiasa ada. Sebagai penghibur, itu tanggungjawab kami.  Kalau keterujaan itu tiada, kami kena ciptakan supaya penonton turut dapat merasainya,” katanya.

Mengulas mengenai senarai lagu, M. Nasir berkata sekitar 30 hingga 40 karya bakal dipersembahkan sepanjang hampir tiga jam konsert berlangsung.

Katanya, pemilihan lagu dilakukan secara bersama dengan mengambil kira cadangan semua pihak termasuk permintaan peminat yang mahu mendengar karya-karya ikonik beliau dipersembahkan secara langsung.

“Kita semua beri cadangan lagu dan cuba seimbangkan pilihan supaya peminat dapat menikmati karya-karya yang mereka nantikan,” katanya.

Anjuran Icon Entertainment, Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 menjadi kesinambungan kepada siri konsert CIPTA yang sebelum ini mencipta fenomena menerusi CIPTA 1, CIPTA 2, CIPTA 3 dan CIPTA Raya, yang masing-masing menerima sambutan luar biasa daripada pencinta muzik tempatan.

Selain Awie, konsert kali ini turut menampilkan penyanyi, komposer dan penulis lagu terkenal Indonesia, Melly Goeslaw, sebagai artis jemputan istimewa, sekali gus menjanjikan sebuah malam yang sarat dengan karya malar segar dan kolaborasi eksklusif.

Bagi peminat yang masih belum mendapatkan tempat, peluang masih terbuka kerana tiket Konsert DATO’ M.N47IR CIPTA 4 masih dijual dalam beberapa kategori menerusi platform Ticket2U, selagi stok masih ada.

Dengan gabungan karya agung M. Nasir, kemunculan istimewa Awie dan Melly Goeslaw serta detik bersejarah apabila Istana Menanti akhirnya kembali kepada penyanyi yang pernah diimpikan untuk membawakan lagu itu, malam 4 Julai nanti dijangka menjadi satu lagi episod yang akan terpahat dalam sejarah muzik tanah air.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page