FAJAR NOOR TAMPIL DENGAN ALBUM SULUNG YANG MENYELAMI KISAH CINTA, KEHILANGAN DAN HARAPAN
Fajar Noor kembali mewarnai industri muzik dengan pelancaran album terbaharunya, “Sementara, Selamanya” yang merupakan karya paling peribadi sepanjang perjalanan seninya. Menerusi album ini, Fajar mengangkat kisah tentang kitaran sebuah percintaan, daripada detik pertama jatuh cinta, berdepan konflik, kehilangan, patah hati, sehinggalah kepada perasaan yang masih tertinggal dalam hubungan yang sebenarnya belum benar-benar berakhir.
Album ini menampilkan naratif tentang cycle of love, iaitu sebuah perjalanan emosi yang dekat dengan pengalaman ramai, namun disampaikan menerusi perspektif dan kisah peribadi Fajar Noor. Ia bukan sekadar mengisahkan sebuah percintaan yang dramatik, sebaliknya menyelami emosi-emosi yang sering hadir selepas segalanya berakhir, penyesalan, rasa yang terpendam serta kata-kata yang tidak pernah sempat diluahkan.

Setiap lagu dalam album ini membawa pendengar menyusuri pelbagai fasa emosi yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Daripada kebahagiaan saat menemui cinta, ketegangan apabila hubungan mula diuji, kehampaan akibat kehilangan, hinggalah kepada perasaan tergantung apabila sesebuah kisah tidak menemukan noktah yang benar-benar sempurna. Ada kalanya, emosi yang dipendam berbicara lebih kuat daripada kata-kata yang dilafazkan.
Bagi merealisasikan visi tersebut, Fajar Noor bekerjasama dengan barisan penerbit seperti Arsy Widianto dan Iqbal Siregar dalam menghasilkan susunan muzik pop balada yang sederhana namun moden. Gabungan aransemen yang bersih dengan melodi yang kuat menjadikan setiap lagu terasa dekat, jujur dan mudah dihayati tanpa perlu berlebihan.
Menerusi album ini, Fajar Noor turut memperlihatkan kematangannya bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, malah sebagai seorang pencerita yang mampu menterjemahkan perasaan-perasaan yang sering sukar diungkapkan. Hasilnya, lahirlah sebuah karya yang bukan sekadar mencerminkan perjalanan cinta versinya, tetapi juga menjadi cerminan kepada pengalaman emosi yang mungkin pernah dilalui oleh setiap pendengar.

Mengulas mengenai album sulungnya, Fajar mengakui bahawa karya ini merupakan naskhah yang paling dekat dengan dirinya kerana setiap lagu lahir daripada pengalaman dan emosi yang pernah dilaluinya.
“Cabaran terbesar adalah untuk jujur dengan diri sendiri. Banyak lagu dalam album ini datang daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya. Saya harap setiap lagu bukan sahaja mewakili kisah saya, tetapi juga dapat dirasai oleh sesiapa yang pernah melalui fasa cinta, kehilangan dan penyesalan,” ujar Fajar.
Menerusi sesi temu bual secara langsung di TikTok bersama ERA Sabah, ERA Sarawak dan Gempak, Fajar Noor turut berkongsi berita gembira buat para peminat di Malaysia apabila mengumumkan bahawa beliau bakal hadir ke negara ini bagi mempromosikan album sulungnya.
Dalam sesi tersebut, Fajar turut mendedahkan bahawa beliau akan mengadakan sebuah persembahan album secara langsung, sekali gus memberikan peluang kepada para peminat tempatan untuk menikmati lagu-lagu daripada album terbaharunya secara lebih dekat. Pengumuman itu nyata mengubat kerinduan peminat Malaysia yang selama ini setia mengikuti perjalanan seni Fajar dan kini tidak sabar menantikan kehadirannya.

“Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya. Saya sangat teruja untuk akhirnya bertemu kalian buat kali pertama. Saya harap persembahan album secara langsung ini akan menjadi momen yang istimewa buat kita semua, dan saya tak sabar untuk membawakan lagu-lagu daripada album ini secara live dan berkongsi pengalaman itu bersama kalian,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai tarikh, lokasi serta butiran persembahan album secara langsung tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat menerusi saluran media sosial rasmi Fajar Noor dan Universal Music Malaysia.
Album ini diharapkan mampu menemani pendengar dalam setiap fasa kehidupan, sekali gus mengingatkan bahawa setiap penghujung sebuah kisah sentiasa membuka ruang kepada permulaan yang baharu.
“Sementara, Selamanya” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.
