Labrich Lakar Sejarah Menerusi Pelancaran Produk di Puncak Menara Kuala Lumpur
Di sebalik landskap bandar raya yang menjadi nadi ekonomi negara, Menara Kuala Lumpur menjadi saksi kepada satu lagi pencapaian penting jenama kesihatan tempatan, Labrich, apabila melancarkan dua produk baharu yang disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperluaskan pengaruhnya dalam industri nutraseutikal.
Menerusi majlis The Labrich Reveal: Nurturing Generations, Empowering Vitality di Hemisphere Luxury Hall, Menara Kuala Lumpur, syarikat itu bukan sahaja memperkenalkan Labrich TriBio Women Wellness dan Labrich TriBio Kids, malah turut mengumumkan pelakon dan pengacara terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim, sebagai duta rasmi jenama.
Bagi sesetengah syarikat, pelancaran produk hanyalah aktiviti pemasaran. Namun bagi Labrich, ia menandakan permulaan fasa baharu dalam membina sebuah jenama kesihatan tempatan yang berteraskan penyelidikan saintifik, pendidikan pengguna dan inovasi berterusan.
Di sebalik jenama yang semakin dikenali itu berdiri seorang doktor perubatan yang percaya bahawa pencegahan jauh lebih bernilai daripada rawatan. Pengasas Labrich, Dr. Amy Murniza, berkata idea menubuhkan syarikat itu lahir bukan daripada peluang perniagaan semata-mata, sebaliknya daripada pengalaman sebenar merawat pesakit di klinik.
Menurut beliau, peningkatan kes penyakit kronik yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia membuka matanya bahawa ramai masih memandang ringan kesihatan metabolik dan fungsi usus.

“Sebagai seorang doktor, saya melihat sendiri bagaimana banyak penyakit kronik yang semakin meningkat hari ini sebenarnya berpunca daripada satu masalah asas yang sering dipandang ringan iaitu berat badan berlebihan dan insulin resistance. Keadaan ini menjadi pencetus kepada pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan gangguan metabolik yang lain.” Ujarnya ketika di temui media pada 26 Jun lalu.
Pemerhatian itu akhirnya mencetuskan idea untuk membangunkan Labrich TriBio, produk pertama syarikat yang menggunakan pendekatan sinbiotik menerusi gabungan prebiotik, probiotik dan postbiotik.
Bagi Dr. Amy, kesihatan usus bukan lagi sekadar topik dalam jurnal perubatan, tetapi asas kepada kesejahteraan manusia secara menyeluruh.
“Kami percaya kesihatan bermula dari usus. Apabila usus berada dalam keadaan sihat dan seimbang, ia membantu menyokong metabolisme yang lebih baik, mengurangkan keradangan dalam badan serta menjadi asas kepada kesejahteraan menyeluruh,” katanya.
Pendekatan itu selari dengan perkembangan dunia perubatan yang kini semakin memberi penekanan kepada penjagaan kesihatan pencegahan berbanding hanya merawat penyakit selepas ia berlaku. Trend global juga menunjukkan permintaan terhadap produk nutraseutikal dan penyelesaian kesihatan berasaskan sains terus berkembang seiring peningkatan kesedaran pengguna mengenai gaya hidup sihat.
Apa yang bermula dengan satu formulasi untuk kesihatan usus kini berkembang menjadi rangkaian produk yang menyasarkan pelbagai peringkat usia dan keperluan pengguna.
Selepas kejayaan TriBio, Labrich memperkenalkan TriBio SkinAX®, yang memfokuskan kepada kecantikan kulit dari dalam melalui gabungan bahan premium seperti KOMUCERA®, SkinAx²®, Niacinamide dan Glutathione.
Langkah itu membuka ruang kepada syarikat untuk memahami bahawa pengguna hari ini bukan sekadar mencari suplemen, tetapi penyelesaian menyeluruh yang mampu meningkatkan kualiti hidup. Kesedaran itulah yang membawa kepada pembangunan dua produk baharu yang diperkenalkan kali ini.

Menurut Dr. Amy, inspirasi menghasilkan Labrich TriBio Women Wellness hadir daripada pemerhatian terhadap rutin wanita moden yang perlu mengimbangi kerjaya, keluarga dan komitmen harian.
Malah, beliau berkata idea itu turut diperkukuhkan ketika sesi penggambaran bersama Che Puan Sarimah Ibrahim pada Ramadan lalu apabila pasukan syarikat menyedari realiti kehidupan wanita yang sentiasa mengejar masa.
“Di klinik, saya juga sering menerima wanita yang mengadu cepat letih, kurang bertenaga, emosi tidak stabil serta mengalami masalah saluran kencing berulang. Semua ini memberi inspirasi kepada kami untuk menghasilkan formulasi yang lebih menyeluruh,” katanya.
Produk berperisa cranberry itu mengandungi 10 bilion CFU probiotik bersama gabungan prebiotik dan postbiotik, selain diperkaya dengan L-Carnitine, Taurine, L-Citrulline, Chromium Picolinate, Myo-Inositol, Magnesium Glycinate serta D-Mannose.
Gabungan formulasi itu direka bagi menyokong kesihatan usus, metabolisme, tahap tenaga, keseimbangan emosi dan kesihatan saluran kencing.
Tidak hanya memberi perhatian kepada golongan dewasa, Labrich turut melihat potensi besar dalam segmen kanak-kanak.
Menurut Dr. Amy, penghasilan Labrich TriBio Kids sebenarnya bermula daripada maklum balas pelanggan sendiri yang mahu formulasi khas untuk anak-anak mereka. Ramai ibu bapa memberitahu bahawa anak mereka gemar mengambil TriBio yang terdapat di rumah, namun beliau berpendapat kanak-kanak memerlukan formulasi yang dibangunkan khusus mengikut keperluan tumbesaran mereka.
Hasilnya lahirlah TriBio Kids, tablet kunyah berperisa strawberi yang mengandungi lima bilion CFU probiotik bersama DHA, Zinc, Vitamin C, Choline, Lutein dan Lysine.
Produk itu bukan sahaja menyokong kesihatan usus, malah membantu perkembangan otak, meningkatkan sistem imun serta menyokong tumbesaran kanak-kanak secara menyeluruh.

Pelantikan Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai duta rasmi Labrich pula bukan sekadar strategi pemasaran. Bagi syarikat itu, personaliti Sarimah yang aktif, mementingkan kesihatan dan sentiasa menampilkan imej positif seiring dengan aspirasi jenama yang mahu mendidik masyarakat bahawa kesihatan bermula dari dalam.
Kerjasama itu dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan Labrich dalam pasaran tempatan, khususnya dalam kalangan wanita dan keluarga muda yang semakin mementingkan penjagaan kesihatan secara proaktif.
Dalam pasaran yang semakin kompetitif dengan kehadiran pelbagai jenama antarabangsa, Che Puan Sarimah percaya syarikat tempatan juga mampu bersaing sekiranya menawarkan produk berkualiti yang disokong penyelidikan serta pendidikan kepada pengguna.
Beliau berkata, setiap produk yang dibangunkan tidak hanya memberi perhatian kepada kandungan formulasi, malah mengambil kira keperluan sebenar pengguna berdasarkan pengalaman klinikal. Pendekatan itu menjadi identiti utama Labrich sepanjang perjalanan syarikat.

“Bagi saya, kesihatan bukan sekadar menghilangkan penyakit. Kesihatan adalah tentang membantu setiap individu menjadi versi terbaik diri mereka pada setiap fasa kehidupan. Itulah komitmen yang terus memacu perjalanan dan inovasi Labrich.”
Pelancaran TriBio Women Wellness dan TriBio Kids bukan noktah kepada perjalanan Labrich, sebaliknya permulaan kepada perancangan yang lebih besar.
Dengan portfolio produk yang kini merangkumi kesihatan usus, kecantikan kulit, kesejahteraan wanita dan tumbesaran kanak-kanak, syarikat itu dilihat sedang membina sebuah ekosistem kesihatan yang mampu memenuhi keperluan pengguna pada setiap peringkat kehidupan.

Dalam keadaan pengguna semakin cenderung memilih pendekatan pencegahan bagi menjaga kesihatan, strategi yang digerakkan oleh Dr. Amy Murniza meletakkan Labrich pada kedudukan yang semakin kukuh dalam industri nutraseutikal tempatan.
Daripada sebuah idea yang lahir di bilik rawatan, Labrich kini berkembang sebagai jenama yang membawa misi lebih besar iaitu membantu masyarakat menjalani kehidupan yang lebih sihat, lebih yakin dan lebih berkualiti, bermula dari dalam.
