June 28, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Nando’s Ubah Konsep Happy Hour, Tampil Ruang Ekspresi Bakat Tempatan

Spread the love

Kolaborasi Bersama TONGTONG Asia Himpunkan LEAISM, Airliftz Dan MURTY Dalam Acara Santai Penuh Muzik, Makanan Dan Komuniti

Jika kebiasaannya istilah happy hour dikaitkan dengan promosi minuman dan waktu santai selepas bekerja, Nando’s Malaysia memilih untuk mentakrifkan semula konsep itu dengan cara tersendiri apabila menjadikannya sebuah platform meraikan bakat, kreativiti dan ekspresi diri anak muda.

Menerusi penganjuran Nando’s Happy Hour edisi sulung di Avenue K pada 27 Jun lalu, restoran terkenal dengan hidangan ayam PERi-PERi itu bukan sekadar menghidangkan makanan, malah mengubah ruang restorannya menjadi pentas yang menghimpunkan muzik, komuniti dan pengalaman gaya hidup dalam satu acara.

Dengan kerjasama komuniti muzik TONGTONG Asia, acara itu memberi peluang kepada bakat tempatan tampil lebih dekat dengan peminat dalam suasana santai, sekali gus membuktikan restoran juga mampu menjadi ruang untuk seni dan budaya berkembang.

Pengarah Pemasaran Nando’s Malaysia dan Singapura, Lim Siew Ling, berkata Nando’s Happy Hour diwujudkan sebagai platform yang membolehkan anak muda hadir sebagai diri mereka sendiri tanpa perlu mengikut acuan tertentu.

“Kami mahu Nando’s Happy Hour menjadi pentas yang membolehkan anak muda Malaysia hadir sebagai diri mereka sendiri dan diraikan. Setiap minat dan bakat mempunyai tempat di sini,” katanya.

Menurut beliau, muzik dipilih sebagai tema pembuka tirai kerana ia mempunyai kuasa menyatukan masyarakat serta menjadi medium yang cukup dekat dengan generasi muda.

Semangat itu turut dikongsi Pengasas TONGTONG Asia, Tang Eu-Jin atau lebih dikenali sebagai Old Head Jin, yang menyifatkan Malaysia tidak pernah ketandusan bakat, sebaliknya memerlukan lebih banyak platform untuk artis tempatan diketengahkan.

“Malaysia tidak kekurangan bakat. Apa yang kita perlukan ialah lebih banyak ruang untuk artis tempatan ditemui, disokong dan diraikan. Nando’s Happy Hour adalah salah satu ruang itu dan kami gembira dapat menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.

Sebagai pembuka tirai, tiga nama daripada gelombang baharu muzik Malaysia dipilih menghiburkan pengunjung iaitu LEAISM, Airliftz dan MURTY, yang masing-masing tampil dengan identiti muzik berbeza.

LEAISM memikat menerusi gabungan neo-soul, alternative R&B dan indie pop yang menjadi identitinya, manakala Airliftz mempertaruhkan gabungan hip hop serta UK garage, selain pernah membuka pentas untuk artis antarabangsa seperti Anderson .Paak dan Joji.

MURTY pula melengkapkan barisan persembahan dengan karya alternatif R&B yang diperkukuhkan menerusi vokal lembut dan personaliti uniknya, sekali gus menghidupkan lagi suasana sepanjang acara berlangsung.

Apa yang lebih mencuri perhatian, Nando’s turut melancarkan tiga botol sos PERi-PERi edisi khas yang menampilkan LEAISM, Airliftz dan MURTY. Setiap rekaan diilhamkan daripada identiti serta personaliti muzik artis terbabit, sekali gus menjadikan ia koleksi eksklusif sempena penganjuran Nando’s Happy Hour yang pertama.

Kolaborasi itu bukan sahaja memberi sentuhan segar kepada produk ikonik Nando’s, malah memperlihatkan bagaimana sebuah jenama makanan boleh mengangkat kreativiti artis tempatan menerusi pendekatan yang lebih dekat dengan peminat.

Selain menikmati persembahan muzik secara langsung, pengunjung turut dihidangkan ayam PERi-PERi bersama pilihan menu sampingan popular dan minuman tanpa had, selain berpeluang membawa pulang barangan eksklusif Nando’s serta baucar istimewa yang disediakan sepanjang acara.

Penganjuran Nando’s Happy Hour jelas memperlihatkan transformasi jenama itu daripada sekadar destinasi menikmati hidangan ayam panggang kepada sebuah platform yang meraikan komuniti kreatif tempatan.

Jika sambutan edisi sulung ini menjadi ukuran, Nando’s Happy Hour berpotensi berkembang sebagai platform yang dinantikan, bukan sahaja oleh pencinta makanan, malah peminat muzik tempatan yang mahu melihat lebih banyak bakat Malaysia diberi ruang untuk menyerlah. Dengan gabungan muzik, makanan dan kolaborasi kreatif seperti penghasilan sos PERi-PERi edisi khas artis, Nando’s berjaya membuktikan bahawa “happy hour” versi mereka bukan sekadar waktu untuk menjamu selera, tetapi masa untuk meraikan bakat tempatan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page