Malaysia Hentian Keempat Jelajah Global Amazing Thailand Fest 2026
Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pasaran pelancongan paling penting bagi Thailand apabila dipilih menjadi destinasi keempat siri jelajah antarabangsa Amazing Thailand Fest 2026, yang kini berlangsung di Central i-City sehingga 27 Jun 2026.
Festival selama tiga hari itu bukan sekadar mempromosikan sektor pelancongan, malah menjadi platform memperkenalkan warisan budaya, gastronomi, hiburan dan gaya hidup Thailand kepada rakyat Malaysia menerusi pengalaman yang dibawakan terus dari negara jiran berkenaan.
Penganjuran festival itu merupakan hasil kerjasama antara Tourism Authority of Thailand (TAT) dan Central i-City, pusat beli-belah pertama milik Central Pattana yang dibangunkan di luar Thailand. Sebelum singgah di Malaysia, festival sama telah dianjurkan di beberapa lokasi ikonik Eropah termasuk Selfridges di London, KaDeWe di Berlin dan de Bijenkorf di Amsterdam.

Presiden Central Group dan Pengarah Central Pattana Plc, Wallaya Chirathivat, berkata pemilihan Central i-City sebagai lokasi pertama di Asia Tenggara untuk menganjurkan festival berkenaan membuktikan hubungan erat antara Malaysia dan Thailand, selain memperkukuhkan usaha mempromosikan budaya negara itu ke peringkat antarabangsa.
“Kami amat berbesar hati kerana Central i-City dipilih sebagai tuan rumah Amazing Thailand Fest 2026 selepas kejayaan penganjurannya di beberapa destinasi utama Eropah.
“Sebagai syarikat yang berasal dari Thailand dan mempunyai kehadiran kukuh di Malaysia, kami berbangga dapat membawa kehangatan, kreativiti, keunikan masakan serta kekayaan budaya Thailand lebih dekat kepada rakyat Malaysia, sekali gus mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Festival berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon, penyanyi dan anggota kumpulan TRINITY, Third Lapat, yang tampil dalam persembahan istimewa selain menyertai demonstrasi masakan Thailand. Kehadiran selebriti popular itu dijangka menjadi antara tarikan utama kepada peminat hiburan Thai di negara ini.
Sepanjang penganjuran, pengunjung disajikan dengan pelbagai hidangan autentik menerusi Thai Food Bazaar yang menampilkan makanan jalanan popular Thailand, selain persembahan kebudayaan tradisional seperti Nora, Phirom Ros Siam dan Pong Pai yang menggambarkan kekayaan seni warisan negara berkenaan.


Bukan itu sahaja, festival berkenaan turut menawarkan pelbagai aktiviti interaktif untuk seisi keluarga termasuk bengkel seni dan kraf, demonstrasi membuat pencuci mulut Thailand, pengalaman urutan tradisional, permainan interaktif serta bengkel Muay Thai untuk kanak-kanak.
Antara tarikan yang menjadi tumpuan ialah Sawasdee Lounge, ruang bertemakan pasar terapung Thailand yang membolehkan pengunjung menikmati pelbagai pencuci mulut, snek dan minuman asli Thailand dalam suasana santai, lengkap dengan persembahan busker dan sudut bergambar.
Gabenor Tourism Authority of Thailand, Thapanee Kiatphaibool, berkata Malaysia kekal menjadi antara pasaran utama pelancongan Thailand dan festival berkenaan memberi peluang kepada rakyat negara ini merasai sendiri keunikan budaya, makanan serta layanan mesra yang menjadi identiti Thailand.
“Malaysia terus menjadi antara pasaran pelancongan terpenting bagi Thailand. Amazing Thailand Fest 2026 memberi peluang kepada rakyat Malaysia menikmati sendiri budaya, masakan dan layanan mesra yang menjadikan Thailand antara destinasi pilihan pelancong dunia,” katanya.
Bersempena festival itu, Central i-City turut menawarkan pelbagai ganjaran kepada pengunjung, termasuk Teh Ais Thai ChaTraMue percuma bagi mereka yang berbelanja minimum RM200 di premis terpilih.
Malah, lima pelanggan dengan jumlah perbelanjaan tertinggi sepanjang festival berpeluang memenangi pakej percutian pergi dan balik ke Phuket, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Amazing Thailand Fest 2026 menjadi sebahagian daripada strategi global TAT untuk memperkukuhkan jenama pelancongan Thailand melalui pengalaman budaya, makanan dan gaya hidup, selari dengan aspirasi negara itu yang kini memberi penekanan kepada pelancongan berkualiti serta pengalaman autentik kepada pelancong antarabangsa.
