Lee Chong Wei Sedia Kongsi Kisah Kehidupan Dalam ‘Beyond Greatness’ Oktober Ini
Selama lebih dua dekad, rakyat Malaysia mengenali Datuk Seri Lee Chong Wei sebagai jaguh badminton yang mengharumkan nama negara di pentas dunia. Namun, tujuh tahun selepas menggantung raket, masih banyak sisi kehidupan legenda sukan negara itu yang belum pernah dikongsikan kepada umum.
Buat pertama kalinya, bekas pemain nombor satu dunia itu bakal membuka lembaran kisah yang lebih peribadi menerusi sesi bicara inspirasi eksklusif, Beyond Greatness: From Inspiration to Impact, yang dijadual berlangsung pada 24 dan 25 Oktober depan di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Lebih daripada sekadar mengimbau kegemilangan di gelanggang, program yang menghimpunkan elemen motivasi, kepimpinan dan pembangunan diri itu bakal membawa khalayak menyelami perjalanan hidup Lee Chong Wei sebagai seorang suami, bapa, mentor serta individu yang tidak pernah berhenti menyumbang kepada masyarakat sejak bersara pada 2019.
Acara sulung itu merupakan hasil kerjasama AISEE LIFE bersama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan ASEAN Co-operatives Organization (ACO), dengan Plutoos Entertainment Sdn Bhd bertindak sebagai penganjur serta Softac Sdn Bhd selaku penganjur bersama.
Menurut Lee Chong Wei, penglibatannya dalam program itu didorong oleh matlamat yang sama untuk memperkasakan masyarakat dan mencetuskan impak positif.

“Saya berasa amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada Beyond Greatness dan bekerjasama dengan organisasi yang berkongsi komitmen untuk memperkasakan individu serta mencipta impak positif.
“Sepanjang perjalanan hidup saya, saya belajar bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui pencapaian semata-mata, tetapi juga ketabahan yang dibina ketika berdepan cabaran dan kehidupan yang mampu kita sentuh serta inspirasi yang dapat kita tinggalkan kepada orang lain.
“Saya berharap inisiatif ini dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk percaya kepada diri sendiri, berani menghadapi cabaran dan terus berusaha menjadi versi terbaik diri masing-masing,” katanya ketika di temui media di Hyatt Regency KL Midtown pada 23 Jun lalu.
Menariknya, sesi bicara berkenaan bakal menyentuh pelbagai sisi kehidupan beliau yang jarang diketengahkan sebelum ini, termasuk pengalaman selepas persaraan, peranannya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), selain usaha membentuk mentaliti generasi baharu pemain kebangsaan demi mengembalikan kegemilangan badminton negara.
Tidak hanya itu, Lee Chong Wei turut memberi bayangan kemungkinan berkongsi kisah percintaannya bersama isteri, Datin Seri Wong Mew Choo, yang mula berputik ketika kedua-duanya menuntut di akademi badminton pada usia 17 tahun.
Peminat juga berpeluang menjadi sebahagian daripada perjalanan istimewa itu apabila orang ramai boleh mengemukakan soalan atau topik pilihan menerusi laman Instagram rasmi Beyond Greatness, dengan soalan terbaik bakal dipilih untuk diketengahkan dalam sesi berkenaan.

Majlis pelancaran Beyond Greatness turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara AISEE LIFE dan ACO sebagai simbol komitmen bersama dalam memperkasa komuniti dan melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak sosial di Malaysia serta rantau ASEAN.
Penasihat Pembangunan Komuniti dan Pengarah AISEE LIFE, YM Sharifah Wani Jamalullail berkata, Beyond Greatness dibina atas kepercayaan bahawa setiap individu berhak untuk berkembang dan merealisasikan potensi diri.

“Melalui kerjasama bersama organisasi seperti ACO dan tokoh inspirasi seperti Datuk Seri Lee Chong Wei, kami berharap lebih ramai masyarakat akan terdorong untuk menghayati semangat ketahanan, pembelajaran sepanjang hayat serta tindakan positif,” katanya.
Sementara itu, Presiden ACO merangkap Presiden ANGKASA, Datuk Seri Prof Adjung Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, kerjasama berkenaan membuktikan bagaimana organisasi daripada pelbagai sektor mampu berganding bahu demi mencipta perubahan yang bermakna kepada masyarakat.

Tiket untuk Beyond Greatness: From Inspiration to Impact akan mula dijual bermula 1 Julai ini pada harga RM369. Menariknya, setiap tiket turut didatangkan dengan pakej premium penjagaan kulit dan kesejahteraan bernilai RM924 yang merangkumi produk terpilih serta baucar rawatan wajah bernilai RM598.
