Griya Pecah Tembok Penstriman, Bukti Drama Malaysia Mampu Kuasai Platform Global
Dari Iqiyi Ke Netflix, Siri Misteri Psikologi Ini Cipta Fenomena Tersendiri Dan Kekal Enam Minggu Dalam Kelompok Rancangan Paling Popular
Bermula sebagai sebuah projek original dengan visi besar untuk mengangkat standard drama tempatan, Griya: Rahsia Seorang Lelaki kini muncul sebagai antara kisah kejayaan terbesar industri penstriman Malaysia tahun ini.
Apa yang pada awalnya dilihat sebagai sebuah percubaan berani meneroka genre misteri psikologi, kini berkembang menjadi fenomena yang membuktikan karya tempatan mampu berdiri sebaris dengan kandungan antarabangsa di platform penstriman utama.
Dilancarkan sebagai siri original iQIYI, Griya: Rahsia Seorang Lelaki pantas mencuri perhatian penonton dan muncul antara drama tempatan dengan prestasi terbaik di platform itu. Namun perjalanan naskhah berkenaan tidak terhenti di situ apabila ia kemudiannya melangkah ke platform lebih besar dan berjaya menawan hati khalayak yang lebih meluas.
Kejayaan paling membanggakan tentunya apabila siri berkenaan berjaya menduduki tangga nombor satu Netflix Malaysia, selain kekal dalam senarai lima rancangan televisyen paling popular selama enam minggu berturut-turut.
Pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan kekuatan penceritaan yang dibawakan, malah menjadi petunjuk jelas bahawa penonton tempatan semakin terbuka menerima kandungan berkualiti tinggi yang menawarkan sesuatu di luar kebiasaan.
Berbeza dengan kebanyakan drama Melayu yang sering berpaksikan kisah percintaan atau konflik keluarga konvensional, Griya tampil dengan pendekatan lebih berani menerusi gabungan elemen suspens psikologi, misteri dan konflik emosi yang mendalam.
Gabungan itu menjadikan setiap episod sarat dengan persoalan, teka-teki dan kejutan yang membuatkan penonton terus mengikuti perjalanan cerita sehingga ke penghujung.
Tidak hairanlah siri berkenaan menerima pujian daripada pengkritik dan pengamal media yang menyifatkannya sebagai antara naskhah yang membawa nafas baharu kepada landskap drama tempatan.
Kekuatan pembangunan watak, susunan plot yang kemas serta keberanian meneroka tema psikologi yang lebih gelap berjaya membezakan Griya daripada formula drama arus perdana yang sering menjadi pilihan.
Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam berkata, kejayaan siri itu membuktikan karya tempatan mempunyai potensi besar untuk berkembang apabila disokong oleh pelaburan yang strategik serta keberanian kreatif.
“Keberhasilan Griya menjadi bukti bahawa karya tempatan mampu melangkah lebih jauh apabila digerakkan oleh visi kreatif yang berani dan disokong oleh pelaburan yang strategik.
“Meskipun penonton mengenali siri ini menerusi pelbagai platform, segalanya bermula dengan satu kepercayaan bahawa cerita Malaysia layak dipersembahkan dengan kualiti produksi dan standard penceritaan bertaraf dunia,” katanya.
Menurut beliau, sambutan yang diterima turut membuktikan bahawa harta intelek (IP) tempatan memiliki nilai komersial yang tinggi dan berupaya bersaing dalam pasaran penstriman yang semakin kompetitif.
Sementara itu, Ketua Original Tempatan iQIYI International Malaysia, Zebedee De Costa berkata, pembangunan Griya sejak awal lagi bertujuan untuk meneroka ruang genre yang masih kurang diberikan perhatian dalam pasaran tempatan.
“Kami membangunkan Griya untuk meneroka sebuah genre yang masih kurang diberi perhatian dalam pasaran tempatan.
“Dalam era di mana penonton menikmati kandungan dari seluruh dunia, jangkaan terhadap produksi tempatan juga semakin tinggi. Sambutan terhadap Griya membuktikan bahawa terdapat permintaan yang kukuh terhadap penceritaan yang segar serta berbeza daripada kebiasaan,” katanya.
Di sebalik kejayaan carta dan angka tontonan yang memberangsangkan, Griya: Rahsia Seorang Lelaki sebenarnya membawa makna yang lebih besar buat industri kreatif negara.
Ia membuktikan bahawa cerita tempatan yang dihasilkan dengan teliti, disokong kualiti produksi yang tinggi serta keberanian bereksperimen dengan genre mampu menarik perhatian penonton arus perdana dan menembusi pelbagai platform.
Kejayaan itu sekali gus membuka lembaran baharu buat pembangunan IP tempatan serta memberi keyakinan bahawa karya Malaysia mempunyai ruang yang luas untuk berkembang bukan sahaja di dalam negara, malah di peringkat serantau dan global.
Berlandaskan pencapaian memberangsangkan Griya, iQIYI Malaysia kini berhasrat untuk terus memperkukuhkan pelaburan dalam kandungan original tempatan dengan bekerjasama rapat bersama penulis, pengarah dan syarikat produksi tempatan bagi menghasilkan lebih banyak karya premium pada masa depan.
