June 16, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Malam Qolbu Satukan Ummah Dalam Cinta Rasulullah SAW

Spread the love

Opick, Mawi, Rabbani, UNIC Dan The Rayhan Bakal Gegar Idealive KL Dalam Konsert Berkonsep Islamik Nusantara Sempena Maulidur Rasul 2026

Dalam era dunia moden yang dipenuhi pelbagai bentuk hiburan dan cabaran kehidupan, sebuah acara istimewa bakal mengajak masyarakat kembali menyuburkan cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW menerusi penganjuran Konsert Malam Qolbu yang akan berlangsung pada 24 Ogos 2026 di Idealive Kuala Lumpur.

Bersempena sambutan Maulidur Rasul, konsert berkonsep Islamik Nusantara Musik itu hadir bukan sekadar sebagai sebuah persembahan hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi platform dakwah dan pengisian rohani yang bertujuan menyatukan masyarakat melalui selawat, sirah serta penghayatan terhadap perjuangan Rasulullah SAW.

Menariknya, penganjuran sulung ini bakal menghimpunkan beberapa nama besar dalam industri nasyid dan muzik Islamik Nusantara seperti Opick dari Indonesia, Mawi, Rabbani, UNIC dan The Rayhan dalam satu pentas yang dijangka sarat dengan emosi, penghayatan dan mesej kerohanian.

Menurut wakil penganjur, idea penganjuran Konsert Malam Qolbu lahir daripada rasa tanggungjawab untuk menterjemahkan kecintaan kepada Rasulullah SAW menerusi medium yang dekat dengan masyarakat masa kini, khususnya golongan muda.

“Kami melihat penganjuran ini sebagai satu amanah yang sangat besar. Tanpa Rasulullah SAW, kita tidak akan mengenal Islam seperti hari ini. Maka menjadi satu kebanggaan buat kami apabila diberi peluang untuk menganjurkan sebuah majlis yang mengajak masyarakat berselawat, mengenang sirah Baginda dan menyemarakkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.

“Mungkin usaha ini kecil, tetapi jika ia mendapat keredaan Allah SWT dan menjadi sebab kita memperoleh syafaat Rasulullah SAW, maka itu adalah sesuatu yang amat bernilai buat kami,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat juga diseru melihat kehadiran ke Konsert Malam Qolbu sebagai satu bentuk pelaburan akhirat yang mampu memberi manfaat berpanjangan kepada diri dan keluarga.

“Dalam kehidupan ini kita sentiasa melabur untuk dunia. Namun sesekali, marilah kita melabur untuk saham akhirat. Setiap selawat, setiap doa, setiap ilmu dan peringatan yang diperoleh pada malam tersebut mudah-mudahan menjadi amal yang berpanjangan dan memberi ganjaran yang berlipat ganda,” katanya.

Lebih daripada sekadar persembahan muzik, Konsert Malam Qolbu disusun dengan jalan cerita yang menyentuh jiwa. Acara itu bakal dimulakan dengan segmen khas bertemakan Sirah & Cahaya yang mengangkat perjalanan hidup Rasulullah SAW sebelum diteruskan dengan Interlude Pantomim dan Visual Poetry yang membawa mesej kemanusiaan, kasih sayang serta pengorbanan.

Kemuncak acara pula dijangka menjadi detik paling menyentuh hati apabila seluruh hadirin bersama-sama mengalunkan Selawat Nabi sebagai simbol penyatuan ummah dan manifestasi kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Penganjur berharap program berteraskan dakwah seperti ini mampu membuka lembaran baharu dalam landskap hiburan Islamik negara dan membuktikan bahawa acara bercorak kerohanian masih mempunyai tempat yang kukuh dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan usia.

Menurut mereka, kejayaan program Islamik di negara jiran seperti Indonesia yang mampu menarik puluhan ribu penonton membuktikan bahawa masyarakat sebenarnya dahagakan pengisian yang mendidik jiwa di samping memberi ketenangan rohani.

“Kami percaya Malaysia juga mempunyai masyarakat yang menginginkan program sebegini. Anak-anak muda hari ini bukan sahaja mampu menganjurkan acara hiburan, malah mampu menjadi penggerak kepada program yang membawa manfaat kepada ummah,” katanya.

Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kolaborasi antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd dan Aftermusic Project dengan kerjasama strategik daripada Laskar Entertainment.

Gabungan ketiga-tiga pihak itu bertujuan merealisasikan sebuah penganjuran yang menggabungkan elemen seni, dakwah dan kerohanian dalam satu platform yang mampu menyentuh hati masyarakat.

Turut memperkukuhkan usaha berkenaan ialah penglibatan barisan tenaga muda berpengalaman dalam bidang haji dan umrah di bawah Duyufurrahman, termasuk Mualim Muda Anas, juara program Mualim Muda musim pertama, serta Mualim Muda Ashraf yang merupakan finalis program berkenaan.

Sementara itu, Konsert Malam Qolbu turut mendapat sokongan ZAYAN sebagai radio rasmi, manakala Gempak dan Salam Musik sebagai rakan media digital. Royal Chulan The Curve pula tampil sebagai penaja hotel rasmi.

Tiket konsert kini mula dijual pada harga antara RM250 hingga RM350, selain pakej khas untuk pelajar yang disediakan bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan muda menyertai acara berkenaan.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, layari: https://www.ticketmelon.com/ dan https://www.fantopia.io/


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page