June 15, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

ALPHA Rai Ulang Tahun Pertama Dengan Pelancaran Album Sulung ‘The First Wave’

Spread the love

Selepas setahun mencipta gelombang tersendiri dalam landskap M-Pop tempatan, kumpulan sensasi ALPHA kini bersedia melakar satu lagi sejarah penting dalam perjalanan seni mereka menerusi pelancaran album studio penuh pertama berjudul The First Wave.

Lebih bermakna, pelancaran album tersebut diadakan bersempena ulang tahun pertama penubuhan ALPHA dan berlangsung meriah di Pavilion Damansara Heights pada 14 Jun lalu. Acara yang berlangsung dari tengah hari hingga malam itu bukan sekadar memperkenalkan album sulung mereka kepada umum, malah menjadi simbol penghargaan terhadap sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat yang sentiasa bersama mereka sejak hari pertama.

Dianggotai oleh Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky, ALPHA terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan lelaki paling menyerlah dalam industri hiburan tempatan. Dengan identiti muzik yang segar, persembahan bertenaga serta pengaruh yang semakin berkembang dalam kalangan generasi muda, ALPHA kini dilihat sebagai antara wajah utama gelombang baharu M-Pop Malaysia.

The First Wave merupakan album studio penuh pertama ALPHA sejak bernaung di bawah Rocketfuel Entertainment. Album ini menjadi manifestasi kepada perjalanan, perkembangan dan kematangan mereka sepanjang tahun pertama dalam industri.

Mengandungi 12 buah lagu, album tersebut menampilkan kepelbagaian warna muzik yang mencerminkan evolusi ALPHA sebagai sebuah kumpulan. Antara lagu yang dimuatkan termasuk Mona Lisa (Bang Bang), P. Ramlee Saloma, Bujang, Tiada Pengganti dan single hit terkini mereka, Gelato yang berjaya meraih sambutan memberangsangkan dalam kalangan peminat.

Lebih menarik, album ini turut memperkenalkan beberapa karya baharu seperti Mahkota Cinta, Gerak, Roman Empire, Dia bersama AG Coco serta beberapa lagu lain yang dijangka menjadi antara kegemaran peminat.

Antara lagu yang paling dinantikan dalam album ini ialah Burn It Down, sebuah karya yang dirakamkan ketika ALPHA menjalani latihan intensif di Korea Selatan menerusi program ALPHA Dreams Unlocked: Seoul Chapter yang boleh ditonton menerusi Astro GO.

Lagu tersebut mendapat sentuhan komposer antarabangsa Daniel Caesar dan Candace Sosa yang pernah menghasilkan karya untuk nama-nama besar K-Pop seperti BTS, TOMORROW X TOGETHER dan ENHYPEN.

Pengalaman berharga di Seoul bukan sahaja memperkasakan kemampuan persembahan dan vokal mereka, malah membuka ruang kepada ALPHA untuk bekerjasama dengan tenaga kreatif bertaraf dunia dalam menghasilkan karya yang lebih kompetitif dan berkualiti tinggi.

Menurut Daniel Sher, The First Wave merupakan hadiah paling bermakna buat peminat yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada perjalanan ALPHA sepanjang setahun lalu.

“Rasa macam baru semalam kami memulakan perjalanan ini bersama-sama. Dalam tempoh setahun, kami belajar banyak perkara, melalui pelbagai cabaran dan mencipta begitu banyak kenangan. The First Wave adalah simbol kepada segala usaha dan pengorbanan yang telah kami curahkan sepanjang perjalanan ini, dan kami mahu berkongsi momen istimewa ini dengan semua peminat yang sentiasa menyokong kami sejak hari pertama,” katanya.

Bagi Izat Ibrahim pula, album tersebut menampilkan sisi ALPHA yang lebih matang serta berani bereksperimen dengan pelbagai genre muzik.

“Album ini sangat istimewa buat kami kerana setiap lagu membawa identiti dan emosi yang berbeza. Kami bereksperimen dengan pelbagai genre dan mempersembahkan sisi ALPHA yang mungkin belum pernah didengar sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ray-D menyifatkan album ini sebagai rakaman perjalanan sebenar ALPHA sebagai sebuah kumpulan yang sedang mengejar impian besar mereka.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam menyifatkan pelancaran The First Wave sebagai satu pencapaian penting bukan sahaja buat ALPHA, malah untuk perkembangan industri muzik tempatan.

“Dalam tempoh yang singkat, ALPHA telah membuktikan bahawa mereka memiliki potensi besar untuk berkembang sebagai sebuah kumpulan yang mampu membawa identiti M-Pop Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Album ini merupakan manifestasi kepada dedikasi, disiplin dan kerja keras yang mereka tunjukkan sepanjang tahun lalu,” katanya.

Beliau percaya album sulung tersebut hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan yang bakal dikecapi kumpulan berkenaan pada masa hadapan.

Dalam perkembangan sama, ALPHA turut diumumkan sebagai duta jenama Sooka menerusi pelancaran Pelan Sooka x ALPHA yang mula ditawarkan bermula 15 Jun 2026.

Pelan khas berharga RM34.90 untuk tempoh tiga bulan itu menawarkan akses kepada sehingga 79 saluran hiburan, lebih 50 kandungan mikrodrama, pelbagai drama tempatan dan antarabangsa, rancangan realiti serta kandungan eksklusif ALPHA yang hanya boleh ditonton di platform tersebut.

Peminat juga berpeluang memenangi sesi Meet & Greet eksklusif, sesi hangout bersama ALPHA serta pelbagai barangan rasmi kumpulan itu menerusi pelan berkenaan.

Keterujaan peminat terhadap The First Wave terbukti apabila sesi pertama pra-tempahan album dan barangan eksklusif yang dibuka pada 6 Jun lalu habis dijual dalam tempoh singkat.

Album fizikal The First Wave dijual pada harga RM89.90, manakala pakej eksklusif yang mengandungi album, t-shirt, stokin, topi dan beg tote ditawarkan pada harga RM249.90.

Dengan pelancaran album sulung ini, ALPHA bukan sahaja meraikan ulang tahun pertama mereka sebagai sebuah kumpulan, malah membuktikan bahawa mereka kini berada di landasan tepat untuk menjadi antara nama terbesar dalam gelombang baharu muzik pop Malaysia.

The First Wave bukan sekadar sebuah album, tetapi simbol kepada permulaan era baharu ALPHA yang semakin bersedia untuk menakluk pentas yang lebih besar di peringkat serantau dan antarabangsa.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page