Yusry Kembali ‘Bersuara’
Jiwa & Raga Ubat Kerinduan Peminat Selepas 23 Tahun Tanpa Album Solo
Selepas lebih dua dekad memberi tumpuan kepada pelbagai cabang seni termasuk pengarahan filem, penerbitan dan projek bersama KRU, Datuk Yusry Abdul Halim akhirnya kembali menyapa peminat sebagai penyanyi solo.
Kali terakhir Yusry tampil dengan album solo yang melahirkan lagu popular Dekat Padamu adalah pada 2003. Kini, selepas 23 tahun berlalu, peminat bakal disajikan dengan sebuah EP baharu yang menjadi simbol kebangkitan semula perjalanan solonya dalam dunia muzik.
Menurut Yusry, semangat untuk kembali aktif sebagai penyanyi tercetus selepas kejayaan Konsert GenKRU tahun lalu yang menyaksikan sambutan luar biasa daripada peminat.
“Selepas Konsert GenKRU, saya, Norman dan Edry pernah berbincang bahawa kami mahu fokus menjadi penyanyi sahaja dan tidak lagi memikirkan soal penganjuran konsert seperti sebelum ini.
“Tetapi selepas kembali berada di atas pentas dan merasai keseronokan itu, timbul semula semangat untuk terus berkarya. Bezanya kali ini kami mahu bernaung di bawah pengurusan dan fokus kepada muzik,” ujarnya ketika ditemui media di Convivencia Café, Kuala Lumpur pada 5 Jun lalu.
Langkah baharu itu menyaksikan Yusry bernaung di bawah Sony Music Entertainment Malaysia yang akan menerbitkan EP solo terbaharunya mengandungi enam lagu.
Menariknya, pada peringkat awal, Yusry sebenarnya tidak bercadang menghasilkan lagu ciptaannya sendiri.
“Saya beritahu Sony Music bahawa saya mahu menyanyikan karya komposer muda. Saya mahu lagu yang dekat dengan cita rasa generasi sekarang, terutama lagu yang lebih emosional dan ‘galau’.

“Dua lagu iaitu Jiwa & Raga dan Hancur & Kecewa adalah ciptaan Luca Sickta. Namun apabila saya menerima banyak demo daripada komposer lain, kebanyakannya balada.
“Saya tak mahu keseluruhan album dipenuhi lagu balada, jadi empat lagu lagi saya hasilkan sendiri supaya ada keseimbangan dengan lagu yang lebih rancak,” katanya.
EP itu kini sudah siap sepenuhnya dan hanya menunggu masa untuk dilancarkan kepada umum.
Bagi Yusry, proses menghasilkan album solo jauh lebih santai berbanding ketika bekerja bersama KRU.
“Apabila buat rakaman solo, saya ada kebebasan untuk menentukan hala tuju muzik yang saya suka. Kalau dengan KRU, ada tiga suara dan tiga pendapat yang perlu diambil kira. Julat vokal saya, Norman dan Edry juga berbeza. Jadi banyak perkara perlu dikompromi supaya semuanya seimbang,” katanya.

Sebagai pembuka tirai kepada projek solo itu, Yusry mempertaruhkan single Jiwa & Raga. Pelancaran lagu berkenaan turut disertai sesi tontonan khas drama lakonannya, Dendam Seorang Mentua, bersama peminat.
Menurut Yusry, fenomena drama tersebut sedikit sebanyak membantu memperkenalkan dirinya kepada generasi baharu.
“Saya sangat bersyukur kerana watak Muzaffar mendapat perhatian ramai. Saya harap populariti drama itu juga dapat membantu memperkenalkan lagu baharu ini kepada penonton muda,” katanya.
Selain muzik, kemunculan semula Yusry sebagai pelakon utama selepas lebih sedekad memberi tumpuan kepada pengarahan turut mencuri perhatian ramai.

Drama bersiri 50 episod Dendam Seorang Mentua menyaksikan beliau kembali berada di hadapan kamera dalam watak utama, sesuatu yang tidak pernah dijangka pada usia 53 tahun.
“Saya sudah lama menjadi pengarah sehingga kadang-kadang rasa jemu melakukan perkara yang sama. Saya perlukan sesuatu yang baharu. Sebagai pengarah, saya orang pertama sampai ke lokasi dan orang terakhir pulang. Jadi apabila kembali berlakon, ia memberi pengalaman yang segar kepada saya,” katanya.
Lebih mengejutkan, beliau ditawarkan watak hero yang digandingkan dengan pelakon muda, Tracie Sinidol.
“Saya sangka mereka mahu saya melakonkan watak bapa kerana faktor usia. Tetapi apabila diberitahu saya akan memegang watak utama, saya rasa itu peluang yang menarik. Selama ini ramai pelakon senior mengeluh kerana kurang diberi watak utama. Jadi apabila peluang itu datang kepada saya, sudah tentu saya mahu mencubanya,” katanya.
Bagi peminat setia yang membesar dengan lagu-lagu Yusry, Jiwa & Raga pastinya menjadi penawar rindu yang dinanti-nantikan. Pada masa sama, lagu itu membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengenali sisi seorang penghibur yang telah mewarnai industri hiburan tanah air selama lebih tiga dekad.
Kini, Jiwa & Raga boleh didengari menerusi semua platform penstriman digital utama dan menjadi permulaan kepada babak baharu perjalanan solo Yusry Abdul Halim.
