Peterpan Terus Terbang, Konsert Tetap Jalan
Hiatus Ariel Tidak Halang Anggota Asal Terus Menghidupkan Legasi Kumpulan Legenda Indonesia Di Malaysia Dan Singapura
Ketiadaan vokalis ikonik Peterpan, Ariel, dalam siri konsert The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita tidak menghalang kumpulan legenda Indonesia itu untuk terus menghidupkan karya-karya yang pernah menjadi soundtrack kehidupan jutaan peminat di rantau ini.
Sebaliknya, anggota pengasas Peterpan memilih untuk meneruskan perjalanan muzik yang dibina sejak lebih dua dekad lalu menerusi dua konsert istimewa di Singapura dan Malaysia, sekali gus membuktikan legasi kumpulan itu masih kukuh meskipun tanpa figura yang sinonim dengan kejayaan mereka.
Wakil penganjur Black Sky Enterprise, Thata Joyce Sigar berkata, Ariel kini sedang menjalani tempoh hiatus daripada sebarang aktiviti berkumpulan termasuk bersama Noah, selain memberi tumpuan kepada projek solo dan kerjaya lakonannya.

“Ariel sedang berehat dan bergerak dengan projek solonya sendiri. Selain itu, dia juga baru selesai menjalani penggambaran filem dan kini memberi fokus kepada beberapa projek kolaborasi bersama artis lain.
“Bagaimanapun, Ariel mahu rakan-rakan seperjuangannya terus berkarya. Sebab itu Peterpan masih bergerak sebagai sebuah band dan perjalanan ini diteruskan,” katanya ketika sidang media antarabangsa konsert berkenaan yang berlangsung serentak di Jakarta, Kuala Lumpur dan Singapura.
Menurut Thata, walaupun tanpa kehadiran Ariel di atas pentas, konsert itu tetap membawa semangat dan legasi Peterpan yang sudah terpahat dalam sejarah muzik Nusantara.
“Ariel mahu rakan-rakannya terus berkarya. Walaupun perjalanan ini tetap membabitkan dirinya dari segi sejarah dan legasi, ia juga membuka peluang kepada generasi baharu untuk mengenali Peterpan dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui media di Restoran Cili Kampung, Bandar Sunway pada 4 Jun lalu.
Selepas 18 tahun, Peterpan kembali menghidupkan nostalgia menerusi siri konsert The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita yang menghimpunkan anggota pengasas kumpulan itu iaitu Ilsyah Ryan Reza, Loekman Hakim, Andika Naliputra Wirahardja dan Hendra Suhendra.
Turut memeriahkan pentas ialah barisan penyanyi terkenal Nusantara seperti Marcello Tahitoe, Tantri Syalindri, Rony Parulian, Arda Hatna, Charly Van Houten dan Hael Husaini.

Konsert berkenaan bakal membuka tirainya di The Star Theatre pada 3 Julai sebelum diteruskan di Idea Live Arena pada 11 Julai depan.
Bagi peminat setia Peterpan, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan nostalgia. Sebaliknya, ia menjadi medan mengimbau kembali kenangan yang pernah diiringi lagu-lagu malar segar seperti Mimpi Yang Sempurna, Semua Tentang Kita, Ada Apa Denganmu, Mungkin Nanti, Tak Bisakah, Menunggumu dan Bintang di Surga.
Menariknya, penganjur turut memperkenalkan program pencarian bakat Vokalis Peterpan ERA di Malaysia yang memberi peluang kepada generasi baharu berkongsi pentas bersama anggota asal kumpulan legenda itu.
The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita dianjurkan oleh PT Aloka Persada selaku pemegang hak harta intelek bersama Project Glokalise Sdn Bhd bagi Malaysia dan Onephoria Entertainment Pte Ltd bagi Singapura.

Tiket bagi konsert Singapura kini boleh didapati menerusi SISTIC, manakala tiket konsert Malaysia boleh diperoleh melalui Ticket2U dan Fantopia.
Selain itu, promosi istimewa Couple Price turut ditawarkan kepada peminat dengan tiket Cat 1 berharga RM450 untuk dua orang dan Cat 2 pada harga RM280 untuk dua orang, terhad kepada 100 pasangan bagi setiap kategori.
