June 6, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nana Tony Lancar Single Sulung Sengketa Asmara Luka

Spread the love

Penyanyi dan pempengaruh media sosial TikTok, Nana Tony atau nama sebenarnya Nur Aina Suhana, tampil melebarkan sayap dalam industri muzik tempatan menerusi pelancaran single sulungnya berjudul Sengketa Asmara Luka.

Lagu yang diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd dan Myoozikwav Entertainment itu merupakan hasil ciptaan sepenuhnya komposer Dearlynnns.

Menampilkan elemen balada moden, Sengketa Asmara Luka mengangkat tema penderitaan, kekecewaan dan konflik dalaman yang sering dialami pasangan apabila hubungan dicemari pengkhianatan serta kecurangan.

Lagu tersebut turut menyentuh realiti masyarakat yang berdepan isu ‘sondol’, yang boleh membawa kepada keretakan sesebuah hubungan.

Menurut Nana, beliau dapat menghayati sepenuhnya emosi yang ingin disampaikan menerusi lagu berkenaan.

“Apabila saya menyanyikan lagu ini, saya benar-benar dapat merasai kesakitan yang ingin disampaikan. Ia bukan sekadar lagu cinta sedih biasa, tetapi gambaran kekecewaan apabila kesetiaan dipermainkan.

“Saya percaya ramai yang pernah melalui pengalaman serupa dan saya menyampaikan lagu ini dengan sepenuh hati agar ia mampu menyentuh perasaan pendengar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Dearlynnns berharap mesej yang diketengahkan menerusi lagu tersebut dapat menyentuh hati masyarakat serta membuka mata orang ramai mengenai kesan emosi mendalam akibat pengkhianatan dalam hubungan.

Selain bergelar penyanyi, Nana Tony turut dikenali sebagai pempengaruh media sosial yang aktif menghasilkan kandungan hiburan, kecantikan dan solekan di TikTok sehingga meraih perhatian ramai.

Pelancaran Sengketa Asmara Luka dilihat sebagai langkah penting buat Nana dalam memperkenalkan identitinya sebagai penyanyi berbakat, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai pempengaruh digital.

Sebelum ini, Nana pernah tampil menerusi single raya berjudul Meriah Hari Raya terbitan Myoozikwav Entertainment dan Luncai Emas Sdn Bhd bersama beberapa penyanyi muda lain termasuk Azzam Sham, Sheryl Shazwanie, Kasih Lia dan Ikmal Dani.

Nana turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi, komposer, penulis lirik serta barisan pelakon yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut.

Beliau berharap isu pengkhianatan dan budaya ‘sondol’ dalam hubungan dapat dikurangkan demi memelihara keharmonian serta perasaan sesama insan.

Kisah penuh emosi yang diketengahkan menerusi lagu itu turut diterjemahkan secara visual melalui muzik video rasmi yang dilancarkan pada hari ini, jam 5.30 petang.

Sengketa Asmara Luka kini boleh didapati di semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas Sdn Bhd dan Myoozikwav Entertainment.

Bagi memastikan pengurusan karya yang lebih sistematik, Luncai Emas Sdn Bhd bertindak sebagai pengedar digital dan pentadbir hak cipta bagi single tersebut.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page