‘Ding Geding’ Bukan Sekadar Album, Tetapi Kisah Hidup Andi Bernadee
Sembilan tahun menunggu akhirnya berbaloi apabila Andi Bernadee merakam perjalanan jatuh bangun karier dan kehidupan menerusi album sulung yang paling peribadi.
Selepas hampir sedekad mengukuhkan nama dalam industri muzik tempatan, penyanyi dan penulis lagu popular, Andi Bernadee akhirnya merealisasikan impian yang lama tersimpan menerusi pelancaran album sulung berjudul Ding Geding.
Lebih daripada sekadar himpunan lagu, album yang memuatkan 12 karya itu menjadi catatan perjalanan hidup, kisah jatuh bangun serta evolusi seni yang dilalui Andi sepanjang sembilan tahun bergelar anak seni.
Bagi Andi, Ding Geding ibarat sebuah diari muzik yang merakamkan pelbagai emosi dan pengalaman yang pernah dilaluinya.
“Album ini adalah permulaan kepada satu rentak baharu dalam hidup saya. Ada momen gembira, kecewa, keliru dan bahagia. Semua emosi itu saya himpunkan dalam satu karya kerana itulah realiti kehidupan sebenar. Sebagai manusia, perasaan kita sentiasa berubah dan saya mahu pendengar merasai perjalanan itu bersama-sama saya,” katanya.
Antara lagu yang paling dekat di hatinya ialah Seksa Jiwa, sebuah karya berentak soul ballad yang dianggap mencabar kerana jauh berbeza daripada kebiasaan muzik yang sering dibawakannya.

Menurut Andi, proses menyiapkan lagu itu bukan sesuatu yang mudah kerana dia perlu keluar daripada zon selesa dan meneroka sisi muzik yang belum pernah diketengahkan sebelum ini.
“Genre itu bukan makanan saya. Namun selepas lagu itu siap sepenuhnya, ia menjadi antara karya kegemaran dalam album ini. Saya rasa lagu itu mempunyai emosi yang sangat kuat terutama apabila didengari bersendirian,” katanya.
Menerusi Ding Geding, Andi turut menampilkan sisi dirinya yang lebih berani bereksperimen tanpa meninggalkan identiti muzik yang sudah sinonim dengan peminat.
Menariknya, judul album itu diinspirasikan daripada frasa ikonik “berding-geding” yang diucapkan watak anak jin dalam filem klasik Melayu Ahmad Albab.
Daripada inspirasi itu, Andi membentuk sebuah konsep yang bersifat santai, menghiburkan dan mudah melekat dalam ingatan pendengar.
“Saya mahukan sesuatu yang unik. Apabila orang dengar perkataan Ding Geding, mereka terus tertanya-tanya dan ingin tahu. Sama seperti album ini, setiap lagu mempunyai warna dan identiti tersendiri,” katanya.
Namun di sebalik kegembiraan meraikan kelahiran album pertama, tersimpan kisah perjuangan yang tidak ramai tahu.
Pelancaran Ding Geding sebelum ini terpaksa ditangguhkan susulan masalah kesihatan yang dihadapi Andi, termasuk gangguan fizikal dan mental yang memberi kesan besar terhadap kehidupannya.
Mengimbau detik sukar itu, penyanyi berusia 34 tahun itu mengakui pernah berdepan keadaan apabila suaranya gagal berfungsi dan tubuhnya menggigil, namun dia tetap menggagahkan diri meneruskan proses rakaman.
“Sejujurnya saya sangat lega dan bersyukur. Saya menunggu selama sembilan tahun untuk menghasilkan album pertama.
“Ada ketika saya rasa sangat sukar kerana suara tidak keluar dan badan menggeletar, tetapi saya tetap ke studio. Selagi masih ada kudrat, saya teruskan juga,” katanya.
Pengalaman tersebut turut mengubah cara pandangnya terhadap kehidupan dan kerjaya seni.
Jika sebelum ini fokusnya lebih terarah kepada kejayaan dan hasil akhir, kini Andi lebih menghargai setiap proses yang dilalui sepanjang perjalanan sebagai pengkarya.
Bagi Andi, kejayaan sebenar bukan sekadar melahirkan sebuah album, tetapi kemampuan untuk terus bangkit dan berkarya meskipun diuji dengan pelbagai cabaran.

Melalui Ding Geding, beliau berharap setiap lagu yang dihasilkan mampu menjadi teman kepada pendengar dalam apa juga fasa kehidupan yang sedang mereka lalui.
“Saya harap mereka yang mendengar album ini akan tahu bahawa mereka tidak keseorangan. Jika ada satu lagu yang boleh menemani, memberi semangat atau membuatkan mereka rasa difahami, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.
Album Ding Geding kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital bermula 5 Jun ini.
