May 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Muar Metal Fest VI: Apabila ‘Roh’ Brotherhood Metal Kembali Membara

Spread the love

Oleh:  Jorn Seth

Ada sesuatu tentang gig underground di selatan tanah air yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Ia bukan sekadar muzik, bukan hanya sekumpulan manusia berbaju hitam berkumpul di ruang sempit penuh peluh namun sarat ikatan ukhwah yang sukar diterjemahkan. Ia adalah ritual atau lebih tepat ianya adalah perhimpunan jiwa-jiwa yang datang untuk meraikan kekacauan, kebebasan dan bunyi paling jujur yang masih tinggal dalam dunia muzik hari ini.

Pada malam 23 Mei lalu, QCBB Club House di Muar sekali lagi bertukar menjadi “katedral gelap” buat komuniti metal tempatan menerusi penganjuran Muar Metal Fest VI, sebuah acara yang bukan sahaja menghidupkan scene selatan, tetapi mengingatkan semua bahawa muzik ekstrem di Malaysia masih mempunyai denyut nadinya sendiri.

Walaupun acara bermula sedikit lewat daripada jadual asal, tiada siapa benar-benar peduli. Dalam dunia underground, masa bergerak mengikut dentuman kick drum dan raungan gitar, bukannya jarum jam. Seawal petang, kawasan venue sudah mula dibanjiri metalhead dari Johor, Melaka, Kuala Lumpur hingga Singapura. Mereka hadir dengan battle vest lusuh, patch band legenda, rambut panjang dan wajah-wajah yang seolah-olah sudah terlalu lama menunggu malam seperti ini.

Di luar venue, bunyi gelak tawa dan perbualan tentang demo lama, tape kaset rare serta sejarah scene tempatan berselang-seli dengan bau hujan dan rokok. Tetapi sebaik lampu malap dan amplifier mula berdengung, segala nostalgia bertukar menjadi ledakan.

Malam sepatutnya dibuka oleh Mu Aru, namun masalah teknikal perjalanan memaksa mereka menarik diri pada saat akhir. Kekosongan itu digalas G.O.D.A dan mereka langsung tidak memberi ruang untuk penonton “memanaskan badan”. Dari lagu Si Chaling hingga Sakhlat Ainulbanat, mereka menyerang pentas dengan riff kasar dan tenaga mentah yang terasa seperti tamparan terus ke muka.

Jika G.O.D.A membuka malam dengan agresi, SAKA pula membawa kegelapan. Dengan elemen black metal yang pekat dan aura mistik yang hampir teatrikal, mereka mencipta suasana seolah-olah seluruh QCBB Club House sedang ditelan kabus hitam. Lagu seperti Into Hell dan Prince Of Darkness bergema dengan tone gitar yang dingin dan vokal yang kedengaran seperti keluar dari dasar bumi. Walaupun tampil tanpa pemain bass, bunyi mereka tetap padat, liar dan hipnotik.

Veteran brutal death metal selatan iaitu Insinner bermain seperti sebuah mesin perang yang sudah terlalu lama dikurung. Lagu Of Ruin, Cest Of Evil dan The World That Decay menjadi peluru yang menghentam crowd tanpa belas kasihan. Moshpit mula terbentuk secara spontan meskipun tampak kasar, liar tetapi masih berlandaskan kod tidak tertulis komuniti underground: jatuh akan diangkat semula.

Penutup mereka, Supposed To Rot milik Entombed, terasa seperti surat cinta kepada era awal death metal Scandinavia yang kotor dan penuh distorsi.

Kemunculan Atrocious pula mengingatkan mengapa nama mereka terus disebut-sebut dalam sejarah black metal Johor. Persembahan mereka tidak cuba menjadi moden atau trendy dan itulah kekuatan sebenar mereka. Lagu seperti Burn In Fucking Hell dan Destroyer dibawa dengan aura dingin dan penuh kebencian, seolah-olah datang dari zaman ketika black metal masih dianggap ancaman budaya, bukannya sekadar genre muzik.

Tidak kurang hebat, Unveiled tampil dengan old school brutal death metal yang cukup ganas menerusi lagu seperti Inherited Decimation, Grotesque Impalement dan Human Synthetic Killer. Persembahan mereka nyata memberi impak besar kepada penonton yang terus aktif di ruang moshpit.

Kemunculan Tandus menjadi antara persembahan paling bertenaga malam itu. Dengan lagu seperti Manusia Petaka, Metal Selamanya, Die By The Sword dan Die Die Die, mereka berjaya menghidupkan suasana dengan riff thrash yang pantas dan agresif.

Logam kemudian hadir membawa warna heavy metal klasik yang lebih anthemic. Mereka bukan sekadar bermain lagu mereka meraikannya. Darah Di Hujung Sabil dan Braveheart kedengaran megah dengan elemen singalong yang membuat crowd bersorak bersama. Momen paling menarik muncul apabila Abu Hidden Silence secara spontan menyampaikan Hail and Kill milik Manowar sebelum Logam menutup set dengan Born To Raise Hell daripada Motörhead, satu penghormatan sempurna kepada semangat rock ‘n’ roll yang tidak pernah mati.

Kemuncak malam pastinya milik Narsamum yang menjadi penampilan paling dinantikan. Sejak intro pertama dimainkan, suasana venue terus bertukar gamat dengan sorakan peminat.

Lagu seperti Kematian, Dream Of Death, Kapal Bugis dan Penghuni Neraka dibawakan dengan cukup bertenaga. Penonton turut dikejutkan dengan kemunculan khas Bob Damokis untuk lagu cover daripada Hypocrisy.

Momen paling istimewa apabila drummer asal mereka, Pozy yang juga mengglas tugas di POH, kembali naik ke pentas untuk dua lagu terakhir iaitu Yell Of Lies dan Hellfire yang disambut penuh emosi oleh peminat.

Secara keseluruhannya, Muar Metal Fest VI membuktikan bahawa scene metal selatan masih kukuh, masih bernyawa dan terus mendapat sokongan padu daripada komuniti underground tempatan. Setiap band hadir dengan identiti tersendiri, membawa semangat perjuangan dan jiwa muzik ekstrem yang sukar diganti.

Penganjuran oleh komuniti “Muar Metal Maniacs’ ini juga menjadi simbol penghormatan terhadap legasi figura penting scene underground seperti Allahyarham Fadzil Muzik Box dan Bob Agigi yang banyak berjasa menghidupkan budaya gig di selatan tanah air.

Malam itu mungkin dipenuhi bunyi distorsi, blast beat dan growl yang kasar, tetapi di sebalik segala kekecohan tersebut, tersimpan satu perkara yang cukup jelas iaitu scene metal Johor masih berbisa dan terus hidup dengan jiwa underground yang sebenar.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page