IMAN’S LEAGUE Bersatu Dalam “Satu Suara”
Aska Rocket Rockers & Noh Salleh Gegar Kolaborasi Rentas Negara, Simbol Kekuatan Muzik Serantau
Selepas hampir dua dekad mewarnai landskap muzik alternatif serantau, kumpulan dari Singapura, Iman’s League kini kembali dengan ledakan baharu menerusi single terbaharu berjudul “Satu Suara” sebuah karya yang bukan sekadar lagu, tetapi manifesto perpaduan, ketahanan dan semangat untuk terus berdiri bersama walaupun berbeza latar.
Lebih mengujakan, single ini menyaksikan kolaborasi rentas sempadan apabila vokalis kumpulan punk rock Indonesia, Aska bergabung tenaga bersama penyanyi dan komposer Malaysia, Noh Salleh, menjadikan “Satu Suara” sebagai simbol penyatuan tiga negara serumpun dalam satu gelombang emosi dan tenaga muzik yang sama.

Dibalut dengan identiti Iman’s League yang sinonim dengan melodic punk rock serta sentuhan inspirasi budaya pop Jepun, lagu ini hadir dengan hentakan yang padu, melodi yang mudah melekat serta lirik yang sarat jiwa. Ia bukan sekadar karya baharu, tetapi cerminan evolusi hampir 19 tahun perjalanan band ini dalam mengukuhkan nama di pentas antarabangsa.
Sejak ditubuhkan, Iman’s League terus bergerak dari arena underground kepada pentas lebih besar, dan mula mencuri perhatian industri apabila merangkul gelaran Best Band dan Best Song di Anugerah Planet Muzik pada 2015, detik yang membuka pintu kepada pengiktirafan lebih luas di peringkat serantau.

Nama mereka kemudian terus mekar apabila berkongsi pentas dengan kumpulan antarabangsa seperti Sick of It All dan Neck Deep, selain menggegarkan festival muzik di Jepun, Australia, Taiwan dan pelbagai negara Asia lain.
Namun perjalanan itu tidak sentiasa mudah. Album Dead Planet (2020) yang menjadi antara karya penting mereka terpaksa berdepan gangguan besar apabila perancangan jelajah antarabangsa tergendala akibat pandemik COVID-19, termasuk pembatalan peluang membuka pentas untuk Green Day di Singapura.
Bangkit daripada tempoh mencabar itu, Iman’s League kembali lebih kuat dengan jelajah Asia pada 2022 sebelum melancarkan album Seventh pada 2023, diikuti rangkaian persembahan di beberapa negara Asia termasuk Jepun dan Korea.
Tahun 2025 menyaksikan fasa lebih agresif apabila mereka menembusi pasaran Eropah merangkumi Belanda, Perancis (ZEMO FEST), Belgium dan Jerman, sebelum melancarkan album studio ke-8, Where Do We Go From Here, yang mengukuhkan lagi identiti global mereka.

Kini, “Satu Suara” hadir sebagai nadi baharu yang mengikat perjalanan panjang tersebut. Sebuah lagu yang mengangkat mesej bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi jambatan yang menyatukan manusia tanpa mengira sempadan.
Lebih signifikan, Iman’s League turut menjalinkan kerjasama dengan label Malaysia, Luncai Emas Sdn. Bhd. bagi pengedaran digital serta pengurusan hak cipta, sekali gus mengukuhkan lagi jaringan industri muzik serantau.
Single “Satu Suara” telah pun dilancarkan pada 15 Mei lalu di semua platform digital termasuk YouTube, dan kini bergerak bersama misi besar iaitu menjelajah Taiwan, Malaysia dan Indonesia sepanjang Mei dan Jun ini, membawa satu mesej yang jelas: walau berbeza bahasa dan latar, kita tetap satu Suara.
