Girls Just Wanna Have Fun Vol. 1 Himpunkan Kugiran Serantau Di Bintulu
Acara muzik bebas bertemakan wanita, Girls Just Wanna Have Fun Vol. 1 (GJWHF2026), bakal menghimpunkan kugiran dari Kuala Lumpur, Ipoh, Sarawak, Brunei dan Indonesia di YOLO, Times Square Megamall pada 27 Jun ini.
Acara yang dijadual bermula pada jam 3 petang itu dianjurkan bersama oleh The End-emic dan World Thrift Bintulu Store, sekali gus menandakan kerjasama pertama antara kedua-dua pihak dalam penganjuran acara muzik DIY tempatan.
Menurut pihak penganjur, objektif utama acara tersebut adalah untuk mengetengahkan bakat pemuzik wanita dalam arena muzik bebas selain menarik lebih ramai penonton daripada pelbagai latar belakang dan jantina.
“Girls Just Wanna Have Fun Vol. 1 akan menampilkan kugiran dari pelbagai wilayah termasuk Kuala Lumpur, Perak (Ipoh), Sarawak, Brunei dan juga Indonesia.
“Fokus utama acara ini adalah untuk memberi penekanan terhadap bakat muzik bebas yang diterajui pemuzik wanita serta memperluaskan lagi sokongan terhadap komuniti DIY tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Antara kugiran yang bakal membuat persembahan ialah T.O.Y.S., Kelibat, Quiet Abyss, Kosmik, Ya Bunayya, Svasta dan Disobey.
T.O.Y.S. merupakan kugiran emo punk yang dianggotai pemuzik dari Bintulu dan Sibu serta diterajui oleh Kai, yang juga merupakan vokalis kugiran Haram Jadah.
Kelibat pula ialah trio rock alternatif dari Kuching yang banyak dipengaruhi elemen rock alternatif era 1990-an dan bakal membuat penampilan sulung mereka di Bintulu.

Quiet Abyss yang berasal dari Kuching pula tampil dengan alunan shoegaze yang diinspirasikan kumpulan seperti Slowdive dan My Bloody Valentine.
Dari Brunei, Kosmik yang cukup dikenali dalam arena muzik bebas negara jiran itu bakal membawa muzik rock alternatif mereka ke pentas Bintulu selepas sebelum ini pernah membuat persembahan di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.
Sementara itu, Ya Bunayya dari Ipoh menjanjikan gabungan muzik rock emosional dan vokal screamo yang sinonim dengan genre skramz.
Svasta pula merupakan kugiran rap-metal dan rapcore dari Malaysia yang ditubuhkan sekitar 2024 dengan gabungan elemen hip hop dan hardcore bertenaga tinggi.
Turut mencuri perhatian ialah Disobey dari Medan, Indonesia, sebuah kugiran thrash hardcore yang aktif sejak 2011 dan telah menghasilkan empat album studio selain terlibat dalam pelbagai festival serta kompilasi muzik hardcore di Indonesia.
Tiket prajualan kini ditawarkan pada harga RM50 manakala tiket di pintu masuk berharga RM60 dan boleh didapati di World Thrift Bintulu Store.
Setiap pembelian tiket turut disertakan hadiah percuma daripada pihak kedai.
Selain itu, barangan rasmi GJWHF2026 seperti tote bag turut dijual pada harga RM40 manakala rekaan baju-T rasmi acara akan diumumkan kemudian.
