Transformasi Thee Marloes Dalam Album Kedua “ Di Hotel Malibu”
Selepas mencipta perhatian menerusi album sulung Perak, trio soul dari Surabaya, Thee Marloes kembali dengan karya kedua berjudul Di Hotel Malibu, sebuah naskhah yang bukan sahaja memperluaskan horizon muzik mereka, malah memperlihatkan keberanian untuk keluar daripada kerangka bunyi yang selama ini menjadi identiti utama kumpulan itu.
Diterbitkan oleh Big Crown Records, album ini hadir sebagai refleksi perjalanan dua tahun yang penuh warna buat Thee Marloes sejak pelancaran Perak. Jika album terdahulu memperkenalkan sisi soul vintaj mereka yang kemas dan nostalgik, Di Hotel Malibu pula membuka ruang lebih luas kepada eksperimen, dialog muzik yang lebih bebas serta pengaruh yang semakin matang.
Dianggotai oleh vokalis dan kibordis Natassya Sianturi, gitaris serta penerbit Sinatrya Dharaka, dan pemain dram Tommy Satwick, trio ini terus mengekalkan kekuatan utama mereka. Chemistry sebagai sebuah unit. Namun kali ini, bahasa muzik yang mereka bina bersama terasa lebih luas dan berani.

Susunan lagu bergerak merentasi pelbagai warna bunyi dengan penggunaan instrumen yang lebih berlapis, perubahan ritma yang tidak dijangka serta struktur komposisi yang lebih cair. Hasilnya, album ini kedengaran lebih hidup, organik dan penuh kejutan tanpa mengorbankan akar soul yang menjadi nadi utama mereka.
Menurut Thee Marloes, Di Hotel Malibu lahir sebagai respons terhadap pelbagai pengalaman yang mereka lalui sepanjang dua tahun kebelakangan ini daripada realiti sosial, perubahan dalam hubungan percintaan hinggalah tekanan dan keterujaan yang hadir bersama kejayaan yang semakin berkembang di peringkat antarabangsa.
Album ini memuatkan 14 lagu termasuk beberapa single yang telah mencuri perhatian lebih awal seperti Harap dan Ragu, I’d Be Lost, What’s On Your Mind dan lagu judul Di Hotel Malibu.
Apa yang menarik, album ini memperlihatkan bagaimana Thee Marloes tidak sekadar mahu kekal selesa dengan formula yang pernah berhasil. Sebaliknya, mereka memilih untuk berkembang dan menjadikan muzik soul sebagai asas, namun membiarkan eksplorasi bunyi dan emosi membawa mereka ke wilayah yang lebih segar.

Kejayaan yang diraih di luar Indonesia juga dilihat menjadi pencetus semangat baharu buat kumpulan ini. Peluang menjelajah dan mempersembahkan muzik mereka kepada peminat di seluruh dunia memberi keyakinan untuk terus bereksperimen dan memperluaskan identiti seni mereka.
Dengan Di Hotel Malibu, Thee Marloes membuktikan bahawa muzik soul dari Surabaya mampu berdiri megah di pentas global malah bukan sekadar sebagai nostalgia retro, tetapi sebagai karya kontemporari yang jujur, hangat dan penuh jiwa.
