May 6, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Tiket Laku Keras! 60% Sudah ‘Licin’, Aznan Alias, Jobranko Dan Kid Search Jadi Taruhan

Spread the love

Kehangatan konsert The Grand Slam Unplugged 2 semakin memuncak apabila jualan tiket sudah mencecah 60 peratus, menandakan keterujaan luar biasa peminat terhadap kemunculan semula kumpulan legenda Slam di pentas berskala besar.

Konsert yang dijadual berlangsung pada 20 Jun 2026 di Mega Star Arena itu dilihat bukan sekadar mengangkat nostalgia, sebaliknya tampil dengan pendekatan lebih segar dan eksklusif menerusi gabungan nama-nama besar industri muzik tanah air.

Paling mencuri perhatian, Slam mempertaruhkan tiga figura gitar tersohor iaitu Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search bagi memperkukuh naratif konsert berkonsep unplugged tersebut.

Kehadiran trio berpengaruh itu bukan sekadar pelengkap, tetapi dijangka menjadi elemen pembeza yang mampu mengangkat dimensi persembahan ke tahap lebih premium dan berkelas.

Gitaris Slam, Shah Slam menegaskan, kolaborasi tersebut lahir daripada rasa hormat terhadap rakan pemuzik yang banyak menyumbang kepada landskap muzik tempatan.

“Ini bukan soal mengulang sejarah, tetapi mencipta pengalaman baharu. Bila nama-nama besar ini disatukan, nilai muzik itu sendiri akan bercakap,” katanya ketika sidang media yang diadakan di Rumah Kayu 1928, Kuang pada 5 Mei lalu.

Dalam masa sama, pemain dram Osman Khalid menyifatkan pencapaian jualan tiket setakat ini sebagai indikator jelas bahawa jenama Slam masih kukuh dan relevan.

“Kami terharu dengan sokongan peminat. Ini bukti karya-karya Slam terus hidup merentasi zaman,” ujarnya.

Dari sudut artistik, penyertaan Aznan, JoBranko dan Kid dilihat sebagai pertembungan tiga ‘signature’ berbeza yang pernah membentuk pelbagai karya ikonik muzik Malaysia sekali gus menjanjikan pengalaman bunyi yang lebih kaya, matang dan bernuansa.

Dengan katalog lagu malar segar yang kekal menjadi siulan ramai, The Grand Slam Unplugged 2 diyakini berpotensi mencipta satu lagi detik bersejarah bukan sahaja sebagai konsert nostalgia, tetapi sebagai manifestasi kekuatan karya tempatan yang terus bertahan.

Peminat masih lagi boleh mendapatkan tiket GRAND VIP – RM3000 (Couple Sofa), VIP (Gold) – RM468, PS1 (Silver) – RM388, PS2 (Platinum) – RM368  dan PS3 & PS4 – SOLD OUT

Tiket boleh didapati di laman rasmi www.ilassotickets.com/thegrandslamunplugged2


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page