April 30, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

JOY ‘SPLASH’ KUALA LUMPUR: ReVeluvs Dibasahi Percikan Emosi & Magis Pentas

Spread the love

Aura bintang Joy (Park Soo-young) benar-benar terasa apabila konsert solo sulungnya, 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH) singgah di Zepp Kuala Lumpur pada 25 April lalu, mencipta malam penuh emosi buat lebih 1,500 peminat setia, ReVeluvs.

Tidak sekadar persembahan biasa, JOY SPLASH tampil sebagai sebuah pengalaman intim yang menghubungkan Joy dengan peminatnya secara dekat dan peribadi sesuatu yang sudah lama dinanti-nantikan sejak kemunculan solo penyanyi itu.

Sebagai hentian penting dalam siri Asia yang turut meliputi Taipei, Hong Kong dan Bangkok , konsert ini mengukuhkan status Joy bukan sekadar ahli Red Velvet tetapi bintang solo dengan identiti tersendiri.

Malam dimulakan dengan lagu “Hello” yang terus menyuntik rasa hangat dalam dewan, sebelum Joy meneruskan momentum dengan deretan lagu seperti “Je T’aime” dan “La Vie En Bleu”. Suasana kemudian menjadi lebih dramatik apabila Joy mempersembahkan runut bunyi K-Drama popular termasuk “Introduce Me a Good Person”, “My Lips Like Warm Coffee”, “Yeowooya” dan “Shiny Boy”.

Sorakan semakin memuncak apabila Joy menghidupkan kembali nostalgia kumpulan Red Velvet menerusi segmen tarian bertenaga dengan lagu “Red Flavor”, “Feel My Rhythm” dan “Peek-A-Boo”  membuktikan karisma pentasnya kekal memikat.

Lebih menyentuh hati, Joy meluahkan rasa rindu kepada peminat dengan penuh ikhlas.

“Saya sangat merindui anda semua. Sangat hebat dapat berkumpul dan bertemu kembali seperti ini,” katanya, disambut jeritan gemuruh.

Interaksi dua hala menjadi nadi utama konsert ini. Salah satu momen paling mencuri perhatian apabila Joy membaca surat daripada peminat yang berkongsi bagaimana muziknya membantu mengatasi anxiety satu detik yang membuat suasana menjadi cukup emosional.

Segmen akustik pula memberikan pengalaman lebih eksklusif apabila Joy menyanyikan “Ice Cream Cake” secara acapella bersama peminat, seolah-olah satu kolaborasi spontan yang mengikat hubungan mereka lebih erat.

Konsert diteruskan dengan lagu-lagu seperti “Love Splash”, “Day by Day”, “Happy Birthday to You” dan “Scent of Green”, sebelum ditutup dengan encore penuh bertenaga menerusi “Zimzalabim”, “You Better Know” dan sekali lagi “Hello”.

Menariknya, kehadiran Joy kali ini melengkapkan ‘gelombang’ solo anggota Red Velvet di Malaysia. Sebelum ini, Irene dan Seulgi menerusi BALANCE World Tour serta Wendy dengan jelajah W: EALIVE turut mencipta momen tersendiri bersama peminat tempatan.

Namun di sebalik keterujaan itu, ramai ReVeluvs mula memasang impian lebih besar mahu melihat Red Velvet kembali bersatu di pentas Malaysia sebagai satu kumpulan penuh, selepas masing-masing berjaya menawan hati menerusi projek solo.

Dengan lebih 2 jam persembahan penuh interaksi, tenaga dan kejujuran, Joy berjaya membuktikan bahawa langkah solo ini bukan eksperimen tetapi evolusi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page