April 25, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Punisher, FOR, Sniperz Bersatu Dalam “Gegaran Warisan”, Amir SYJ Turut Buat Kemunculan Istimewa

Spread the love

Peminat muzik keras tanah air bakal disajikan malam penuh adrenalin apabila konsert Gegaran Warisan diumumkan berlangsung pada 18 Julai 2026, jam 8 malam di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Telok Panglima Garang.

Menariknya, acara anjuran Mentari Merah Entertainment dengan kerjasama Warisan Hall itu bakal menemukan tiga nama yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam dunia rock dan metal tempatan iaitu Punisher, FOR dan Sniperz, selain penampilan khas figura lagenda rock, Amir SYJ @ Sofea.

Dengan kapasiti terhad hanya 300 penonton, acara ini dijangka menjadi rebutan peminat yang mahu menyaksikan persembahan lebih dekat dan intim bersama barisan legenda muzik keras negara.

Pengarah Urusan Mentari Merah Entertainment, Mohammad Noor Mustapha, berkata Gegaran Warisan bukan sekadar konsert hiburan, sebaliknya usaha menghidupkan kembali legasi muzik keras tempatan serta membuka ruang kepada generasi baharu mengenali sejarah scene tersebut.

 “Kami mahu cipta satu malam yang membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan gig underground. Pada masa sama, kami mahu generasi muda lihat sendiri siapa nama-nama yang pernah membuka jalan kepada muzik keras di Malaysia.

“Sebab itu kami pilih nama Gegaran Warisan selain ianya sebagai tanda terima kasih kami kepada Mohd Khair yang sering membantu kami dalam segala aspek. Ianya juga adalah simbol kepada legasi yang masih hidup dan terus bernafas,” katanya.

Menurutnya, pemilihan lokasi dengan kapasiti kecil juga dibuat bagi mewujudkan suasana lebih rapat antara artis dan peminat.

“Bila ruang lebih kecil, auranya lebih terasa. Penonton dapat lihat sendiri tenaga sebenar di atas pentas. Itu pengalaman yang semakin sukar dicari sekarang.”

Nama Punisher bukan asing dalam sejarah muzik bawah tanah tempatan. Kumpulan ini ditubuhkan sekitar tahun 1987 di Kuala Lumpur dan sering dianggap antara perintis gerakan thrash metal Malaysia. Mereka aktif menggegarkan pentas sekitar penghujung 1980-an termasuk Konsert Thrash di Stadium Negara dan beberapa gig besar lain ketika era kebangkitan metal tempatan. 

Punisher dikenali dengan muzik agresif, riff pantas dan pengaruh kuat daripada nama besar antarabangsa seperti Slayer, Exodus dan Metallica. Kehadiran mereka di Gegaran Warisan pasti menjadi tarikan utama peminat old school metal.

Punisher yang dianggotai Rosdan Baharom (vokal), Muhammad Ariffin (gitar/vokal), Zaid (gitar), Yunus (bass) dan Mohd Faris (dram) turut tidak sabar untuk kembali ke pentas besar dengan barisan lagu lebih agresif.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk “Black September”, “Wrath of the Machines” dan “Gout”, selain beberapa buah lagu lain yang masih dirahsiakan.

Rosdan menyifatkan konsert ini sebagai pengalaman berbeza buat Punisher kerana mereka bukan lagi sekadar berkongsi pentas dengan kugiran bawah tanah, sebaliknya bersama barisan kumpulan rock dan metal arus perdana.

“Keistimewaan konsert kali ini agak berlainan daripada sebelumnya, di mana sebelum ini kami cuma beraksi di pentas dengan grup bawah tanah. Kali ini kami beraksi dengan grup rock dan heavy metal,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa perbezaan genre bukan penghalang, sebaliknya sudah menjadi kebiasaan dalam dunia muzik antarabangsa.

“Tiada masalah genre yang berlainan sebab di luar sana Metallica pernah beraksi sebagai band pembukaan buat Ozzy Osbourne, begitu juga Anthrax dan lain-lain. Saya sendiri pernah menganjurkan Nemesis sebagai band pembukaan buat Bumiputera Rockers di Galactica suatu ketika dahulu,” tambahnya.

Turut mencuri perhatian ialah FOR, kumpulan yang dikenali dalam kalangan peminat rock tempatan menerusi semangat muzik jalanan dan identiti tersendiri. FOR sering tampil dalam pelbagai gig komuniti serta acara underground, menjadikan nama mereka dekat dengan peminat setia scene tempatan.

Pengurus kumpulan FOR, Mohd Arifin, menyifatkan peluang yang diberikan ini sebagai satu penghargaan besar dan berjanji akan memberikan persembahan maksimum.

“Kami amat berbesar hati atas ruang dan peluang yang diberi dan berjanji akan memberi persembahan terbaik 200%,” katanya.

FOR kini dianggotai oleh Din FOR (gitar/ketua), Mie Senna (bass), JK (dram) dan Wanz Leybor (vokal). Kumpulan ini akan mengekalkan identiti Rock n Roll dan Hard Rock yang menjadi asas perjalanan muzik mereka, selain menjadikan pentas Gegaran Warisan sebagai platform promosi album terbaru berjudul “GEBANG MELANGIT” yang dilancarkan hujung tahun 2025.

Lebih menarik, FOR turut akan mengiringi penampilan khas figura rock tanah air, Amir SYJ/Sofea, sekali gus menambah nilai eksklusif kepada acara berkenaan. Secara keseluruhan, setiap kumpulan dijadualkan mempersembahkan sekitar 7 hingga 8 buah lagu, manakala Amir akan membawa 2 lagu khas untuk peminat.

Sementara itu, Sniperz dari Ipoh pula membawa sentuhan rock moden dengan elemen keras dan bertenaga. Nama mereka pernah tersenarai dalam beberapa platform muzik bebas dan dikenali dalam kalangan penggemar gig serantau

Sniperz yang ditubuhkan pada 2009 kini dianggotai Azmie selaku vokalis, Poi (gitar), Din (bass) dan seorang pemain dram sesi.

“Keistimewaan konsert kali ini kerana ia menampilkan tiga band yang mempunyai pengikut dan kekuatan muzik tersendiri. Sniperz masih mengekalkan genre muziknya iaitu Rock n Roll,” katanya.

Untuk persembahan pada malam itu nanti, Sniperz dijangka membawa antara enam hingga tujuh lagu.  Menurut mereka, sesi latihan juga berjalan lancar dan peminat boleh menjangkakan penampilan penuh bertenaga dengan imej celoreng tentera yang sinonim dengan kumpulan itu.

Sepanjang perjalanan seni, Sniperz sudah menerbitkan beberapa karya termasuk album pertama berjudul E7J (Ekspressi 7 Jiwa) pada 2013, single Ameera pada 2015 dan album ketiga M.I.S.I ‘17 pada 2017.

 “Bagi kami, ini pentas besar. Dapat berdiri bersama nama yang kami dengar sejak kecil adalah satu penghormatan. Kami datang bukan sekadar pelengkap line-up, tetapi mahu tunjuk Sniperz juga ada peluru sendiri.”ujar wakil Sniperz.

Gabungan Punisher, FOR dan Sniperz menjadikan acara ini seolah-olah pertembungan tiga generasi pemuzik rock tempatan.

Lebih istimewa, peminat turut dihidangkan kemunculan khas Amir SYJ @ Sofea, vokalis yang pernah mencipta fenomena bersama SYJ pada era Battle of the Bands pertengahan 1980-an.

Amir dikenang menerusi aura pentas luar biasa serta lagu-lagu seperti Orang Timur dan penampilannya yang cukup berkarisma. 

Tiket acara ini dijual pada harga RM90 sahaja. Lebih menarik, setiap pembelian tiket melayakkan penonton menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama RM1,000, hadiah kedua RM700 dan hadiah ketiga RM500, selain beberapa hadiah saguhati.

Berpaksikan slogan “Kerana Muzik Kita Bertemu, Dengan Irama Kita Bersatu, Kerana Muzik Kita Bersatu Menjadi Ikatan Silaturrahim”, Gegaran Warisan dilihat bukan sekadar konsert, tetapi pertemuan semula sejarah, generasi dan semangat muzik keras tanah air.

.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page