April 22, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Syafiq, Wawa Pertaruh Emosi Dalam Menduakan Cinta

Spread the love

Pasangan duet serasi, Ahmad Syafiq dan Wawa Shazwa kembali mewarnai persada muzik tanah air menerusi single terbaharu berjudul ‘Menduakan Cinta’, yang sarat dengan elemen emosi dan pengorbanan hati.

Lagu berentak balada itu menampilkan kematangan vokal serta sisi puitis kedua-dua penyanyi berkenaan dalam menyampaikan kisah cinta yang tidak kesampaian.

Sebelum ini, mereka pernah bekerjasama merakamkan semula lagu ‘Buat Insan Tersayang’ yang dipopularkan oleh Eddie Hamid dan Ashira, yang berjaya meraih lebih satu juta tontonan di YouTube.

Di bawah bimbingan komposer tersohor, Eddie Hamid, kedua-dua penyanyi itu diberikan kepercayaan penuh untuk menterjemah rintihan jiwa ke dalam melodi ‘Menduakan Cinta’.

“Kali ini, kami menguji keserasian dalam genre yang berbeza. Ia bukan sekadar lagu, tetapi satu rintihan jiwa. Menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan komitmen lebih daripada 100 peratus bagi memastikan naskhah ini benar-benar sampai ke hati pendengar,” kata Ahmad Syafiq.

Selain Eddie, lagu berkenaan turut dihasilkan bersama komposer Barr Hadif dan Aiman Zaidi, manakala liriknya ditulis oleh mereka bertiga bersama Hakim Hakimi dan Jaju.

Menurut Wawa Shazwa, lagu itu menyentuh konflik dua insan yang masih saling mencintai tetapi terpaksa berpisah demi ketentuan takdir.

“Ia menyentuh perasaan bersalah apabila seolah-olah ‘menduakan cinta’ yang pernah dibina. Walaupun perasaan sayang itu masih kuat, pilihan untuk berpisah terpaksa dibuat demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa proses rakaman dijalankan ketika dirinya sedang hamil lima bulan, namun tetap memberikan komitmen terbaik dari segi vokal.

Rakaman lagu tersebut dilakukan sebanyak dua kali bagi memastikan kualiti dan emosi yang disampaikan berada pada tahap terbaik, dengan kerjasama erat pasukan produksi serta arahan jelas daripada Eddie Hamid.

Menariknya, ‘Menduakan Cinta’ turut dipilih sebagai lagu runut bunyi (OST) bagi drama bersiri ‘Bayangan Lelaki Sempurna’ yang kini bersiaran dalam slot Akasia di TV3, setiap hari pada jam 7 malam.

Drama 28 episod itu dibintangi Adam Lee, Sweet Qismina dan Nadia Brian.

Lagu ‘Menduakan Cinta’ terbitan Nova Music Malaysia kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama, manakala muzik video rasmi lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page