April 15, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Nuanu Jadi ‘Kilang Hit’ Dunia! Artis Antarabangsa & Indonesia Berkampung Cipta Lagu

Spread the love

Residensi Muzik 6 Hari Di Nuanu Creative City Jadi Medan ‘Panas’ Kolaborasi Global, Dari Studio Ke Jam Session Tanpa Henti

Kredit Foto: Nuanu Creative City

Jika sebelum ini Bali hanya dikenali sebagai destinasi pelancongan santai, kini ia turut berubah menjadi ‘kilang muzik’ antarabangsa apabila Nuanu Creative City menjadi pusat tumpuan dunia kreatif menerusi Nuanu Music Residency yang berlangsung dari 6 hingga 11 April 2026.

Program intensif selama enam hari itu bukan sekadar bengkel muzik biasa, sebaliknya menghimpunkan artis, penulis lagu dan penerbit dari pelbagai negara dalam satu ruang kreatif untuk hidup, bekerja dan menghasilkan lagu bersama-sama tanpa batasan.

Dengan konsep ‘creative camp’, Nuanu dilihat berjaya menghidupkan suasana yang cukup unik apabila studio, sesi penulisan lagu, makan malam artis dan masterclass berlangsung secara berterusan, menjadikan setiap detik sebagai peluang mencipta karya baharu.

Antara nama antarabangsa yang terlibat termasuk Caleb Tasker, Narou, Sirachi, Bapari serta pelakon dan penyanyi Keiynan Lonsdale, selain barisan pasukan produksi dari Bodega Records yang turut memainkan peranan besar dalam proses kreatif program ini.

Tidak kurang hebat, industri muzik Indonesia turut ‘menghangatkan’ residensi ini dengan kehadiran nama seperti Tenxi, Novia Bachmid, Young Lex, Nayaka, Bas Boi, Anniysa, Imelda Lizal dan Suisei.

Paling mencuri perhatian ialah perkongsian Tenxi yang mengakui pengalaman tersebut membuka dimensi baharu dalam proses penciptaan muzik.

“Ini peluang yang jarang dapat sebab kami benar-benar cipta muzik bersama dalam satu ruang. Energy di sini lain macam, memang buat kita jadi lebih kreatif,” katanya.

Menurut penganjur, konsep residensi ini akan dijadikan program berulang sepanjang tahun, di mana setiap edisi akan menampilkan kolaborasi baharu antara artis serantau dan antarabangsa.

Pengarah Jenama dan Komunikasi Nuanu, Ida Ayu Astari Prada berkata, Nuanu dibangunkan sebagai ruang yang bukan sahaja mempamerkan seni, tetapi mencipta seni itu sendiri.

“Nuanu Creative City dibina sebagai ruang di mana kreativiti bukan hanya dipersembahkan, tetapi dicipta dan dikongsi bersama. Program ini membuktikan makna sebenar ‘Creative City’,” jelasnya.

Sementara itu, wakil Bodega Records, Chris Siegfried turut mengakui kekuatan utama program ini adalah suasana kolaboratif yang organik dan bebas.

“Apa yang membuatkan ia istimewa ialah persekitarannya. Semua orang tinggal dan bekerja bersama, jadi kreativiti itu berlaku secara semula jadi,” katanya.

Dengan berakhirnya program ini, Nuanu Creative City sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai destinasi kreatif global tempat di mana muzik bukan sahaja dicipta, tetapi dilahirkan daripada pertembungan budaya dunia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page