‘Budak Bola: Sorak!’ Gegar Gelanggang Flat, Kisah Remaja Terjerumus Dunia Judi Bola Jadi Taruhan
Bukan di pentas mewah, sebaliknya di tengah gelanggang futsal flat! Itu kelainan dibawa pementasan Budak Bola: Sorak! yang tampil berani mengangkat kisah realiti anak muda dengan pendekatan luar biasa.
Berlangsung di Gelanggang Futsal Flat Puchong Permai, teater jalanan ini menjanjikan pengalaman berbeza apabila penonton bukan sekadar menyaksikan persembahan, tetapi ‘hidup’ bersama cerita di tengah sorakan, gendang dan aksi bola sepak yang berlangsung secara langsung di depan mata.
Mengangkat kisah Budi, remaja 16 tahun berbakat besar dalam bola sepak, naskhah ini menyelami perjalanan hidupnya yang mahu keluar daripada kepompong kesempitan hidup. Namun, kegagalan membuka peluang menjadi titik hitam apabila dia mula terjebak dalam dunia perjudian bola sepak.
Perkenalannya dengan seorang bookie tempatan mengubah segalanya daripada sekadar bermain bola demi minat, Budi mula hanyut dalam permainan kotor demi wang dan kuasa.

Pengarahnya, Syafiq Syazim berkata, pendekatan pementasan di gelanggang futsal sebenar bukan sekadar gimik, tetapi satu usaha membawa seni kembali kepada masyarakat.
“Kami mahu penonton rasa sendiri suasana itu. Mereka bukan hanya menonton, tetapi berada dalam dunia yang sama dengan watak,” katanya.
Naskhah ini ditulis oleh Zaidy Zainudin yang terkenal dengan karya berteraskan realiti sosial, manakala watak Budi dibawakan pelakon muda Merah Muhaimin yang semakin mencuri perhatian.
Lebih menarik, setiap babak disusun seiring pergerakan di gelanggang sebenar menjadikan emosi, konflik dan aksi terasa lebih dekat dan ‘raw’. Penonton seolah-olah menjadi sebahagian daripada komuniti yang menyaksikan jatuh bangun seorang remaja mengejar impian.





Dalam pementasan ini, Budi bukan sahaja berdepan cabaran di gelanggang, tetapi juga konflik dalaman apabila kepercayaan bertukar menjadi pengkhianatan. Satu perlawanan besar bakal menentukan bukan sekadar kemenangan, tetapi harga diri yang semakin terhakis.
Pementasan bakal berlangsung di Gelanggang Futsal Flat Puchong Permai, Selangor pada 18 & 19 April 2026 bermula jam 8.30 malam.
Peminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM50 (Biasa), RM25 (Pelajar, Warga Emas & OKU) dan RM1,000 (Korporat – 20 tiket)
Tiket boleh didapati di: https://www.cloudjoi.com/shows/5312-budak-bola-sorak
